143: berubah.


Berubah. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai changing. Semua orang tidak terlepas daripada berubah. Tambah satu angka dalam umur, kamu berubah jadi lebih dewasa. Tukar tempat kerja, kamu berubah untuk sesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Begitu juga dengan perhubungan, baik yang berlandaskan cinta mahupun sekadar persahabatan. Sehingga ke satu tahap pastinya kita tidak dapat mengelak daripada berubah. Dua orang perempuan yang sudah bersahabat sejak sekolah rendah sehingga kini pun lama-kelamaan akan berubah. Seorang sudah bertunang, seorang sambung belajar di tempat lain. Makanya mereka tidak lagi boleh hirup Frappucino sambil lengan berkait dan menelusuri MidValley untuk cuci mata dan usyar lelaki comel dengan sewenang-wenangnya.

Bagi yang bercinta, setelah sekian lama mengenali hati budi si lelaki/perempuan, pasti akan ada suatu ketika yang kamu terpanggil untuk berubah. Si dia tidak suka warna oren, makanya kamu terpaksa akur dan tidak pakai tudung Ariani warna jingga itu walaupun kamu memang suka tudung itu (dan telah berlapar sebulan untuk membelinya). Si dia suka gulai ketam makanya kamu gigih membeli sekilo ketam untuk diesksperimentasi agar kamu boleh hidangkan dia gulai ketam walaupun hakikatnya goreng telurpun kamu tidak reti.

Ya, berubah.


Namun sejauh manakah kita sanggup untuk berubah, lebih-lebih lagi kalau ia melibatkan orang yang kita sayang (ibu, ayah, kekasih, kawan, kucing peliharaan ataupun anak jiran sebelah yang cun itu).

Madah orang bercinta: lautan api pun sanggup diredahi.

Namun setelah bernikah, rasanya si suami hendak berpanas sekejap untuk tolong si isteri jemur kain pun liat gamaknya.

Just sayin’.

Aku juga tidak terlepas daripada berubah. Orang itu mengetahui yang aku masih lagi merokok pada awal Mei yang lalu dan dia ternyata berang. Lantaran itu dia memberi kata dua; cuba untuk berhenti atau dia tidak akan pulang ke Pulau Pinang untuk bertemu aku raya nanti (ya, pergaduhan ini berlaku pada bulan Mei lepas).

Amaran, peras ugut, gesaan. Panggillah apa sekalipun.

Kata-katanya itu buat aku terfikir: sejauh manakah sayangnya aku terhadap dia untuk melakukan apa yang dia minta. Tangan kiri, aku kira aku terkadang bergantung juga kepada nikotin. Tangan kanan, aku sesungguhnya mahukan kehadiran dia di Pulau Pinang kerana sudah agak lama benar kami tidak bertemu mata.

Sudahnya, petang suatu Sabtu di bulan Mei, aku duduk di sebuah warung, segelas Milo ais jadi teman, sekotak Dunhill jadi taruhan. Hingga ke malam aku duduk dan habiskan sisa rokok itu.

Esoknya, aku bertekad untuk tidak berasap lagi.



Sehingga hari ini.

Ya, semua orang akan berubah. Apa, untuk apa, atas alasan apa… semua itu tidak relevan. Apa yang penting adalah kita tidak akan terlepas daripada untuk berubah. 

Ulasan