151: impresi pertama; krusial atau boleh diabaikan?


Adalah impresi pertama sangat penting?

Berapa banyak antara kalian yang benar-benar dedikasikan masa untuk bersiap dan berdandan untuk menghadapi impresi pertama?

Temuduga, janji temu pertama, hari pernikahan. Ini adalah contoh yang butuhkan impresi pertama yang aku kira cemerlang.

Bohonglah kalau aku bilang aku tidak ambil pusing tentang penampilanku jika aku hendak hadapi temuduga atau mahu ke janji temu pertama dengan jejaka yang bakal bertemuku buat julung-julung kalinya.

Aku ingat lagi aku hadiri temuduga MedSI di USM sekitar empat tahun sudah yang melayakkan aku untuk ditempatkan di UKM kini. Ketarnya bukan main, mengalahkan ketar aku ketika aku disorongkan ke bilik bedah enam belas tahun yang lalu. Oh, itu kisah lama.
Aku. Semestinya BUKAN gambar sebenar.

Aku gosok kemeja dan slack malam sebelum aku harus hadiri temuduga tersebut. Berkali-kali aku usahakan agar tiada kedut dan cela walau sedikitpun. Pagi itu bila aku pakai, aku tambah yakin. Dua hari sebelum itu pula aku telah habiskan empat puluh lima ringgit hanya untuk satu haircut. Berbaloi sebab tampak kemas. Untuk lebih yakin, aku sarungkan seluar dalam yang baru aku beli. Aku kenakan tali leher pinjaman Along (sebab aku tidak punya tali leher lain kecuali yang jalur biru-putih dari PFS). Aku susun semua dokumen, sijil dan testimonial di dalam fail bersampul jernih dan berkali-kali aku semak sehingga aku puas hati. Kuku siap dipotong dan semua bulu-bulu wajah aku cukur rapi.

Orang yang masuk sebelum aku cuma ambil masa 20 minit. Orang sebelumnya sekitar 15 minit. Makanya aku jangkakan ia tidak akan ambil masa yang panjang. Mungkin panel penemuduga hanya mahu tanya serba-sedikit tentang diri kita, soalan-soalan am dan selesai. Aku harap sangat.

Padahal malam sebelumnya aku sudahpun pulun hafal nama-nama senarai menteri dalam kabinet, belek-belek dan ulang-ingat Perlembagaan Persekutuan dan baca tujuh ke lapan akhbar yang lepas-lepas. Makannya aku harap sangat aku bersedia.

Akhirnya aku dipanggil masuk. Menggeletar masa hulurkan folder berisi dokumen-dokumen penting aku. Tiga panel penemuduga, seorang daripadanya yang duduk di tengah-tengah seorang wanita bertudung. Ada kerusi tunggal menghadap mereka. Aku duduk di situ. Air liur masuk perut macam Niagara Falls.

Soalan demi soalan ditembak keluar. Semuanya aku jawab dengan hela ‘Bismillah’ di bawah nafas. 45 minit berlalu. Manik-manik peluh terbit di pelipis.

Salah seorang daripada mereka tanya: “Kamu tahu siapa warga Malaysia yang tersenarai dalam senarai Forbes 100 Most Influential People?”

Dalam hati aku menyumpah-seranah: "How the hell should I know? I don't even read that effing Forbes to begin with!"

Aku jebak bilang Pak Lah sebab ketika itu dia PM kita.


Si penemuduga bilang minta aku cari dan ketemu sendiri jawapannya dalam majalah Forbes bila pulang nanti.

Ok, agak celaka di situ. Sloppy.

Penemuduga paling hujung minta aku berhujah spontan. Tajuknya: ‘Wajarkah pesakit minor diberi kelayakan untuk tidak menjalani pembedahan jika dia tidak membenarkannya?’

Oh, aku tidak lupa untuk beritahu yang hujah itu harus dalam Bahasa Inggeris, bukan?

Dipendekkan cerita ketiga-tiga penemuduga sebenarnya sengaja minta aku buat semua itu kerana mereka bosan dengan calon-calon sebelumnya. Jadinya memandangkan aku tampak macam boleh tahan, mereka laju sahaja tanyakan soalan yang bukan-bukan.

Alhamdulillah September ini aku bakal memasuki tahun akhir dan insya-Allah bakal habiskan pengajian dengan segulung ijazah di dalam genggaman.

Bayangkan kalau aku tampil dengan imej begini...
Aku kira antara faktor terbesar kenapa aku berjaya nailed temuduga itu adalah dari segi apa yang aku pakai pagi itu, disamping juga dengan persediaan aku (walaupun mereka haram tidak bertanya tentang kabinet menteri, Perlembagaan Persekutuan mahupun isu-isu semasa yang lain).

Aku bayangkan aku ulang-main sesi temuduga itu dengan aku memakai kemeja keronyok, rambut panjang serabai dan bawa fail portfolio yang tidak tersusun. Berkemungkinan besar aku tidak akan berada di sini.

Makanya aku percaya, impresi pertama itu adalah amat-amat f*cking crucial.

Ulasan