361: [siri ulasan buku] #37 - gantung karya nadia khan.

Aku secara harfiahnya melonjak kegirangan apabila boss besar Buku Fixi memberitahu aku yang novel keduaku bakal dilancarkan bersama-sama dengan novel kedua Nadia Khan. Jujur aku bilang, aku tumpang bangga dan terharu apabila diberi peluang untuk berkongsi lime-light dengan satu-satunya novelis Fixi di mana novel debutnya, KELABU, sudah entah berapa kali diulangcetak dan masih lagi mengungguli carta bestseller toko-toko buku sekitar Malaysia. Jadi apabila aku mendapat tahu yang Nadia Khan bakal muncul dengan novel keduanya yang berjudul GANTUNG, senyum aku sampai ke telinga.

Sebenarnya aku punya ekspaktasi yang agak tinggi untuk GANTUNG kerana bagi aku, KELABU merupakan antara novel terbitan Buku Fixi yang terbaik sehingga ke hari ini (aku punya senarai 10 novel Fixi kegemaran sepanjang masa tetapi atas sebab-sebab tertentu aku enggan dedahkan di sini, maaf ya?). Jadi apabila aku mula membaca GANTUNG, aku berharapkan sesuatu yang luar biasa, aku mengharapkan yang aku merasai sensasi yang kalau tidak serupa, lebih kurang sama seperti mana selepas aku membaca KELABU dua tahun yang lalu (dua tahun, gosh…lamanya!).

GANTUNG aku klasifikasikan sebagai novel psikologi/seram, setebal 293 halaman dan punya 44 bab tidak termasuk epilog. Itu konstruksi asas novel ini. GANTUNG berkisar tentang empat remaja sekolah (aku kira mereka ini pelajar tingkatan empat), Gibbs, Ray, KJ dan Troll yang bersekolah di sekolah elit bernama Sekolah Menengah Cemerlang Gemilang Terbilang. Ya, nama sekolahnya kelakar. Abaikan nama sekolah tersebut, ia bukanlah penting mana sangat pun. Empat bersahabat ini menjalani kehidupan sebagai pelajar berlandaskan prinsip Musketeer Code, suatu peraturan di mana tiada sesiapa di kalangan mereka tidak dibenarkan mempunyai kekasih tetap dan perempuan yang didampingi oleh salah seorang daripada mereka harus secara literalnya dikongsi bersama. Oh, naskhah GANTUNG ini awal-awal lagi harus aku jauhkan letaknya daripada dicapai oleh mereka yang di bawah umur kerana di dalamnya banyak sungguh adegan-adegan yang pada hemat aku amatlah tidak age-appropriate.

Aku tidak nafikan pada penelitian aku kekuatan sebenar penulisan Nadia Khan terletak pada kebolehan beliau untuk mencerna dan menghasilkan watak-watak yang bersifat bersahaja, walaupun tidak begitu dinamik (ada beberapa watak yang tidak mengalami sebarang perkembangan baik dari segi emosi, fizikal dan sebagainya), tetapi dekat dan relatable di hati pembaca. Seperkara lagi, aku juga lihat bahawa kekuatan mana-mana karya hasilan Nadia Khan terletak pada dialog-dialog yang dituturkan oleh watak-watak yang dibinanya. Jika diteliti, hampir 70% daripada keseluruhan teks dalam novel GANTUNG ini merupakan dialog. Plot cerita banyak bergerak atas bantuan dialog yang dituturkan, itu teknik yang digunakan oleh Nadia Khan. Beliau tidak perlu menjadi seorang penulis yang overtly descriptive, menghuraikan latar tempat dan masa agar pengisiannya dapat membantu pemahaman pembaca; hanya dengan lontaran-lontaran dialog yang apt, bersahaja dan realistik, beliau mampu menggerakkan plot dengan berjaya sekali. Ini kelebihan penulis yang aku nampak.

Baiklah, kembali kepada ulasan GANTUNG. Jujur aku beritahu, apabila sampai separuh aku membaca novel ini aku tidak nampak lagi hala tuju plot cerita. Ya, aku sedar yang wujud dua susunan plot yang sedang bergerak secara selanjar, di mana:

a)      Kisah Gibbs, Ray, KJ dan Troll di sekolah/asrama
b)      Kisah Khalil (seorang bekas pelajar yang tiba-tiba ‘dipanggil’ ke sekolah) dan watak “cikgu” yang sehingga ke bab terakhir barulah pembaca tahu nama sebenarnya.

Dua plot ini bergerak secara selanjar, di samping itu juga ada kisah-kisah sampingan si Jeremy dan Lina dan tak habis-habis diganggu oleh sejenis makhluk dan juga beberapa lagi kisah sampingan yang aku kira sengaja diada-adakan oleh penulis untuk throw off pembaca daripada menjebak apa yang bakal berlaku seterusnya. Di sini aku lihat kepintaran penyusunan plot yang dilakukan oleh penulis. Seperti kejutan yang berlaku di tengah-tengah novel KELABU, di mana pembaca ‘dipaksa’ untuk mengubah persepsi visualisasi terhadap Amir hampir 360 darjah, begitu juga yang berlaku dalam novel GANTUNG ini. Cuma bezanya twist itu diletakkan hampir ke dua-tiga bab paling penghabisan.

Masih ingat yang aku beritahu yang sampai separuh membaca aku masih tidak tahu hala tuju plot cerita novel ini? Nah, sepertiga pembacaan seterusnya, dua plot yang bergerak secara selanjar itu akhirnya bertemu di satu insiden yang tidak terduga dan pada ketika itulah semuanya mulai make some senses. Masuk bab 36, aku berjaya menjebak dengan hampir tepat apa sebenarnya yang berlaku dan siapa sebenarnya Khalil si bekas pelajar yang tiba-tiba muncul di sekolah itu. Aku enggan untuk dedahkan lebih lanjut kerana khuatir ia akan menjadi spoiler. Cuma bagi aku, bahagian selepas sub-bab kedua di epilog itu aku agak tidak boleh terima. Rasanya kalau Nadia sudahkan GANTUNG setakat sub-bab pertama epilog itu aku rasa sudah cukup bagus. Tetapi penyudahnya bagi aku yang menyebabkan naskhah ini hilang 1 bintang di Goodreads.

GANTUNG pada penelitian aku lebih terarah kepada aspek psikologi dalaman yang dialami oleh watak-watak itu, dan bukannya unsur mistik seram seperti novel ASRAMA (yang aku baca di Twitter dan Facebook, ramai yang membanding-bandingkan antara kedua-duanya). Elemen cetusan seram yang terhasil dalam beberapa babak-babak krusial dalam GANTUNG bagi aku lebih bersifat bersahaja dan terkesan. Ketepikan sentimen agama, ketepikan juga nuansa ketidaklogikan dan cuba nikmati dan hayati jalan cerita yang disampaikan di dalam GANTUNG.


Ini merupakan naskhah hasilan Nadia Khan yang bagus, namun pada hemat aku masih lagi tidak mampu menandingi kebagusan KELABU. Mungkin kerana genre-nya berbeza dan beliau sekadar ingin bereksperimentasi dengan tema remaja sekolah yang diangkat di dalam novel ini yang menyebabkan GANTUNG merupakan novel yang lain dari yang lain. Aku beri 3 setengah bintang untuk GANTUNG. Naskhah ini wajar dibeli dan dihadam oleh semua peminat penulisan Nadia Khan dan juga bagi mereka yang mahukan kisah remaja sekolah bukan kontemporari. 

Ulasan