120: [siri ulasan buku] #06 - kasino karya saifullizan tahir.

Aku agak terlambat untuk mendapatkan Kasino karya Saifullizan Tahir, novel kelima keluaran Fixi hanya kerana toko-toko buku di Pulau Pinang masih belum mengambil stok naskhah judul tersebut. Makanya aku kira ulasan ini kira-kira sebulan lewat daripada ulasan-ulasan yang telahpun blogger lain sediakan.

Satu perkara yang sering aku lakukan di bawah sedar sebelum aku mulakan apa-apa pembacaan (tambah-tambah lagi kalau penulisnya kurang aku kenali, maaf Encik Saifullizan!), aku akan mengugel dan mencari karya-karya beliau yang sebelumnya dan aku ketemu dengan cerpen Kota Itu yang telah tersiar di Mingguan Malaysia pada 14/01/2007 [BOLEH BACA CERPEN ITU DI SINI]. Kenapa aku gigih untuk berbuat sedemikian rupa? Saja. Aku mahu ambil feel dan rentak penulisan penulis itu sendiri.

aku punya edisi kulit seperti ini.
maklumlah, beli atas talian. teehee...
Membaca bab pertama novel Kasino yang dilungsurkan di laman sesawang rasmi Fixi pada mulanya tidak begitu menggiurkan aku untuk membaca keseluruhan novel ini. Usai baca bab pertama, aku simpulkan bahawa Kasino ini mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan yang kerugian besar dan satu-satunya metod untuk dia kembalikan keuntungan yang hilang itu adalah dengan berjudi di kasino.

Hakikatnya kesimpulan yang aku buat itu hampir akuret sebenarnya. Kasino mengisahkan tentang Dato’ Mohd. Narcissus Yusoff: seorang usahawan, lelaki (semestinya, d’oh!), lurus (walaupun ada juga beberapa momen dia bersama lelaki-lelaki jambu - sila rujuk Bab 7, halaman 148, baris 21), kaya (oh, butik Ermenegildo Zegna hantar SMS kepadanya memberitahu yang koleksi pakaian terbaru sudah siap dimuatkan di butik. Nampak sangat dia antara pelanggan tetap yang shopping sakan di situ!) dan punya hanya empat belas hari untuk mencari RM3.8 juta bagi mengelakkan diri daripada dihidu oleh SPRM.

Aku amat menggemari bagaimana plot Kasino terungkai; setiap bab diceritakan dalam bentuk satu hari dan pembaca dibawa menelurusi empat belas hari penuh naik turun Dato’ Narcissus dalam objektifnya mendapatkan duit berjuta-juta ringgit itu. Dalam bergelut dengan masa dan pelbagai masalah, sempat juga Dato’ Narcissus ini terbang ke Australia, bermain golf sana-sini, hadiri parti yang mewah-mewah dan semestinya berjudi di kasino.

Perkara yang aku tidak suka tentang novel ini:
  • Mungkin antara perkara yang menjengkelkan aku sepanjang pembacaan adalah bagaimana watak utama iaitu Dato’ Narcissus ini terkadang aku lihat seperti seorang cyborg dari planet lain (ruj: Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger) kerana hanya dengan melihat, Dato’ Narcissus sudah boleh mengetahui dres itu jenama apa, kasutnya cap apa, sampailah subang, rantai dan gelang yang perempuan yang dia pandang itu pun dia dapat tahu jenamanya. Menjadi seorang metroseksual itu adalah trademark kepada Dato’ Narcissus, cuma aku terfikir: banyak pula masa orang tua ni nak baca, belek dan hafal jenama-jenama pakaian dan aksesori wanita. Mungkin tidak akan kelihatan kelakar kalau deskripsi itu hanya pada apa yang dia pakai dan bukannya apa yang orang lain pakai (sebab secara logiknya mestilah tuan punya badan tahu jenama pakaian yang dikenakannya, betul tak?).
  • Banyak terma-terma sukan golf dan istilah-istilah yang eksklusif hanya digunapakai di kasino digunakan di dalam novel ini. Aku akui yang aku seorang yang buta golf, kalau tengok permainan golf di televisyen satu haram apapun aku tidak faham. Sistem skor, jenis kayu golf yang perlu digunakan, pakaian dan sebagainya diceritakan di dalam novel, tetapi terasa agak asing bagi aku (sehingga terpaksa mengugel). Namun begitu, usai membaca, sekarang aku sudah boleh berlagak sedikit kerana sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan par, birdie, eagle dan albatross. Oh, istilah kasino jangan cakaplah, terlalu banyak dan complicated sehingga ada satu bab aku terasa seperti mahu sahaja langkau kerana tidak faham walaupun membacanya berulang kali. Acapkali pembaca akan ketemu perkataan seperti croupier, shoe dan banker. Jujur, kalau mahu angkat dan baca naskhah ini, bersedia dengan Google di sebelah untuk membantu (melainkan anda sendiri pernah berjudi di kasino, makanya tiada masalah di situ).
  • Perjalanan ceritanya agak ringkas dan linear, terkadang terasa agak bosan. Watak utama perlu cekau RM3.8 juta dalam tempoh dua minggu atau dia diheret ke badan pencegah rasuah, watak utama pinjam sana-sini, dan akhirnya gadaikan nasib di meja pertaruhan di kasino. Konklusinya, adakah Dato’ Narcissus (yang berulang kali menegaskan dirinya seorang yang amat kacak) berjaya mengumpulkan wang itu dalam tempoh yang ditetapkan? Aku enggan dedahkan, spoiler pula nanti. Teehee…


Perkara yang aku suka tentang novel ini:
  • Menurut Wikipedia, Narcissus digambarkan sebagai seorang yang amat tampan dan sehingga pada suatu ketika obses dengan ketampanan dirinya sendiri. Masuk bab ketiga baru aku faham kenapa penulis meletakkan Narcissus sebagai nama watak utama novel ini. Dato’ Narcissus bukan sekadar tampan, malah ada beberapa ketika agak riak dan mengagung-agungkan ketampanannya (yang pada gambaran aku tidaklah sekacak mana, cuma dia memang seorang lelaki yang perasan lebih) dan tidak habis-habis mahu tegaskan yang dia kaya dan punya ‘senjata’ yang juga besar. Berketepatan dengan pemilihan nama Narcissus yang diangkat dari mitos Greek.
  • Aku akui tidak begitu mengikuti perkembangan politik lokal, hanya cukup sekadar tahu siapa yang jatuh bangun, siapa yang tuduh apa, siapa yang hanya omongan kosong dan siapa yang berkobar-kobar menegakkan benang yang basah. Dan aku angkat topi buat Kasino kerana berjaya menduplikasikan realiti sebenar dunia politik lokal. Sepanjang pembacaan, kita akan disajikan dengan karekter-karekter dua muka, kehidupan golongan VIP yang berbelit-belit dengan perempuan, arak, korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Terkadang aku seperti dapat rasakan yang Kasino ini merupakan suatu tempelak yang subtle terhadap apa yang berlaku di tanah air sekarang.
"Apa yang aku rasa Malaysia perlu baiki adalah dari segi hospitality. Orang Malaysia secara amnya berat mulut dan agak memilih bila nak berbuat baik dengan orang. Kalau dengan orang putih, atau orang asing, bukan main hormat dan tunduk lagi. Tapi denagn orang senegara, liat nak senyum. Sombong bodoh; kalau pandai macam aku tak apa juga."
- Bab 12, halaman 233.
  • Aku tidak habis-habis akan tertawa setiap kali tukang cuci Dato’ Narcissus yang bernama Mariska memunculkan diri. Bukan apa, aku asyik teringat akan Mariska Hargitay, bila teringat akan pelakon itu aku akan terbawa pula untuk terfikir akan filem jenaka The Love Guru lakonan Mike Myers dan Jessica Alba. Secara automatik setiap kali aku terbaca perkataan ‘Mariska’ di dalam Kasino, aku akan terpanggil untuk menyebut “Mariska Hargitay” sebagai ucap selamat seperti yang dilakukan di dalam filem tersebut.
  • Aku suka penyudah cerita novel ini walaupun sebenarnya ia memang sudah dijangka dari awal lagi. Okay, cukup. Aku tidak mahu ulas lebih lanjut kerana seperti yang aku tegaskan di atas, aku tidak mahu sajikan spoiler.


Yang pasti, Kasino bukanlah untuk bacaan semua orang. Isinya berat, tidak mungkin boleh diterima kebanyakan orang (yang aku kira tidak begitu tolerant dan terbuka lebih-lebih lagi menyentuh bab agama dan pendirian). Bagi aku, Dato’ Narcissus merupakan seorang lelaki yang in denial. Dia tahu apa yang dia lakukan (minum arak, seks bebas, berjudi dsb) itu sebenarnya salah tetapi tetap melakukannya hanya kerana dia mampu dan mahu. Ironinya dia juga seorang lelaki yang menjaga solatnya. Ada beberapa ketika, Dato’ Narcissus terus ambil wuduk dan kerjakan solat sebaik sahaja selesai bersenggama, dan ada juga ketika solat dikerjakan ketika dia dalam keadaan mabuk. 

Kontradiksi pendirian yang dipaparkan dalam Kasino adalah benar. Aku sendiri mengenali beberapa individu yang menjalani hidup seperti Dato’ Narcissus (oh, cuma minus memakai pakaian berjenama dan tidak memandu Porsche). Mereka menganggap yang dengan menjaga solat makanya diri mereka akan terpelihara dan sejahtera selalu, walaupun pada ketika-ketika lain mereka menggelumangkan diri dengan arak, perempuan dan segala macam maksiat lain. Aku juga tidak begitu pandai dalam bab-bab agama, namun aku tahu yang itu bukanlah cerminan Islam yang sebenarnya.

Apa-apapun, tepuk dada, tanya selera. Betul tak?

Ulasan

SUDUT MATA SAYA berkata…
membaca review pun dah cukup buat aku pening pale. tp takpe! ill buy it and read it. then, ill know myself.
shandye. berkata…
@SUDUT MATA SAYA: its a great read... tp macam yg sy cakap... bukan semua orang boleh digest cerita dia. agak berat dan mungkin akan kontradiktif dengan pemikiran pembaca dalam beberapa hal.
[sutera kasih] berkata…
agak berat jgk penceritaan buku ni ekk..huhu
xpernah lg dgr kes org solat time mabuk..

"Apa yang aku rasa Malaysia perlu baiki adalah dari segi hospitality. Orang Malaysia secara amnya berat mulut dan agak memilih bila nak berbuat baik dengan orang. Kalau dengan orang putih, atau orang asing, bukan main hormat dan tunduk lagi. Tapi denagn orang senegara, liat nak senyum. Sombong bodoh; kalau pandai macam aku tak apa juga."

suka quote tu..
shandye. berkata…
@[sutera kasih]: yup. novel ni bukan untuk orang kebanyakan. org yg open-minded dan bersedia utk baca masalah sosial golongan atasan rasanya boleh baca. btw, sy mmg suka quote yg sy syer tu... nicely written. hehehehe...
nn berkata…
boleh pinjam tak? macam menarik.

istilah kasino memang tak berapa nak tau. tau sikit-sikit sebab selalu main game dulu-dulu. istilah golf tau lebih sikit daripada kasino sebab selalu main game golf & terpaksa tengok golf kalau dah bosan sangat online bila bapak aku depan tv.
shandye. berkata…
@nn: hayoo... rasa mcm terpaksa bawak my entire collection of fixi books plak balik ukm nnt. byk bebenor org yg nk pnjam itu ini. hehehe....