087: [siri ulasan buku] #04 - dendam karya affifudin omar.

Membaca Dendam hasil nukilan Affifudin Omar mampu membuat pembaca menyelami sisi gelap dunia perniagaan, konspirasi dalam perundangan dan keadilan, dan semestinya konflik pergolakan perasaan manusia. Tidak dilupakan elemen mistik dan spiritual yang kuat menjadi tunjang utama kepada intipati novel ini. Usai membacanya sekitar jam 3.30 pagi tadi, Dendam dapat dikonklusikan kepada dua poin yang utama, iaitu:

  • Ia hampir seperti membaca sebuah manual tentang all things evil (teknik menginterogasi, perancangan menyeludup dan memanipulasi wang, bagaimana hendak merompak bank dalam tempoh kurang dua minit dan oh banyak lagi!).
  • Menyiksa dan mendera tidak mampu menyelesaikan segala-galanya.


Kita diperkenalkan dengan Khalil Gibran, seorang lelaki berkumis yang punya daya penarik yang tersendiri; berkarisma dan pintar. Dari awal introduksi novel lagi kita ditambat dengan rentetan bagaimana dendamnya terhadap perlakuan orang di sekelilingnya secara tidak langsung telahpun memberikan foreshadowing tentang apa yang bakal berlaku ke atasnya dan juga orang-orang di sekelilingnya pada masa akan datang. Khalil Gibran menjadi saksi kekejaman berlaku ke atas ayahnya sendiri. Secara tidak langsung, Khalil Gibran sebenarnya sudah dipupuk dengan perasaan dendam yang menebal sejak kecil lagi, dan perasaan itulah yang mengheret dirinya menjadi seorang manusia yang kejam dan sadis. 

Plot cerita terungkai dengan baik, pembaca didedahkan dengan sedikit imbas muka oleh watak utama, mencukupi untuk mengekalkan momentum cerita. Permasalahan berpenjuru yang terdiri daripada dilema menjugel cinta, keluarga, harta, pangkat dan pendirian berbaur dengan agak baik dan konsisten sepanjang pengupasan plot. Namun hakikatnya Dendam merupakan novel yang sudah boleh dijangka. Separuh jalan membaca aku sudahpun dapat menghidu akan berlakunya happy ending yang klise. Aku akui, ini merupakan pertama kali aku membaca novel dalam Bahasa Malaysia yang bergenre sedemikian, makanya aku ada menaruh satu tahap ekspaktasi yang agak tinggi terhadap novel Dendam.

Walaubagaimana pun, aku amat menggemari bagaimana penulis amat bijak dan kreatif menceduk elemen dan kisah realiti yang benar-benar terjadi (seperti kes pegawai polis yang menembak mati seorang remaja yang memandu kereta, kisah VIP yang ditangkap menyimpan perempuan simpanan, rompakan bank bersenjata dengan menggunakan van sekuriti dan banyak lagi). Kesemua cuplikan kisah ini dirombak dan dipergunakan dalam penceritaan dan dimuatkan dalam Dendam, menjadi naratif yang berkronologi dan menarik untuk dibaca. Pembaca terpanggil untuk mengingat kembali kisah-kisah realiti itu kerana pembaca akan berkata; “Macam pernah baca kat surat khabar dan tengok kat TV.”

Rentetan hidup Khalil Gibran selama lebih dua dekad dipersembahkan dalam naratif yang sarat dengan informasi tentang hal-ehwal dunia kepolisian, ekonomi dan serba-sedikit tentang Asia Tenggara. Ini membuktikan bahawa penulis seorang yang berpengetahuan luas, kuat membaca dan mempunyai kuriusiti yang tinggi. Aku bersetuju dengan pemerintah kuku besi, pujian harus diberi kerana turut memasukkan fahaman Karl Marx dan Friedrich Nietzsche (antara nama yang aku ingat). 

“… Greek myth panggil orang-orang jahat – subhumans. Saya pun dulu kira subhumans la,”
- Khalil Gibran: bab 40, halaman 242

Seperti novel Pecah, aku berharap benar agak Dendam lekas-lekas difilemkan (atau mungkin dijadikan rantaian drama?) kerana aku dapat lihat potensi ia dizahirkan kepada bentuk visual bakal mampu menarik minat audiens untuk menonton. 

Ulasan