Jujur aku bilang ketika aku berada di gerai Fixi di Pesta Buku Antarabangsa 2011 tempoh hari, Kougar adalah naskhah pertama yang aku capai. Aku terpanggil untuk membelinya bukan kerana kulit depannya menampilkan separuh wajah wanita sedang mahu menggigit sebiji ceri dengan gaya penuh suggestive, tetapi kerana judulnya. Aku penggemar siri Cougar Town lakonan Courteney Cox, makanya aku separuh berharap agar novel ini juga mempunyai intipati yang serupa: wanita berumur yang jelita, lincah dan menggenggam lelaki di hujung jemarinya yang cantik dimanikur.
Kougar hasil nukilan Shaz Johar ini mengisahkan tentang Kisha, wanita bujang sekitar awal 40-an yang tinggal di bandar dan menjalani hidup sebagai seorang wanita moden yang berkerjaya. Dalam menelusuri hidupnya yang tidak terikat dengan mana-mana lelaki, dia terkait dengan Azril, anak muda yang mulanya diintip di dalam tren LRT dan akhirnya menjadi kekasihnya pula. Kisha juga bertemu dengan Emir, duda lanjut usia yang hanya mahukan keseronokan temporari tanpa sebarang ikatan. Di kampung halamannya pula, ibu Kisha telahpun mengatur strategi untuk menyatukan anak daranya yang sudah hampir ‘tarikh lupus’ dengan imam muda bernama Razif. Perlahan-lahan plot Kougar terlerai dengan setiap satu watak berkaitan antara satu sama lain dan kompleksiti mulai timbul dan mengusutkan perjalanan hidup Kisha.
Malangnya Kougar gagal menepati ekspaktasi aku. Ia bermula dengan baik, bab satu merupakan introduksi yang amat menggoda pembaca untuk terus membaca dan menyelak halaman demi halaman sehingga selesai ke kulit belakang. Bagi aku, apa yang kurang bukannya dari segi penceritaannya. Shaz Johar merupakan story-teller yang cemerlang, tetapi aku kurang berpuas hati dengan bagaimana watak Kisha dan Azril dibentuk dan dikembangkan. Terasa flat dan two-dimentional. Pembaca tidak disajikan dengan ciri-ciri penggoda dan si kaki 'ambil kesempatan' Kisha. Wataknya seperti kurang ‘perisa’. Terkadang aku seperti merasakan BFF Kisha iaitu si Suraya pula yang ter’overdeveloped’ dalam cerita ini. Perkaitan antara Azril dan Kisha aku rasa seperti tidak cukup kuat untuk membuat mereka terus bersatu menjadi sepasang kekasih.
Aku juga kurang menggemari bagaimana watak Emir dikembangkan. Bagi aku alangkah baiknya kalau wataknya dikembangkan lagi untuk menjadi lebih ‘jahat’ dan kompleks seperti arketaip seorang Don Juan, pesaing paling cocok untuk Kisha. Aku agak kecewa apabila watak Emir mati beransur-ansur begitu sahaja apabila sepertiga daripada novel ini selesai. Aku tahu Kisha pada amnya tidak menyukai Emir dan mempunyai situasi ‘love-hate relationship’ dengan lelaki itu. Mungkin juga Emir pada dasarnya hanya mahu ‘geli-geli’ dengan Kisha dan enggan sesuatu yang lebih konkrit dan serius, menyebabkan dia tidak begitu bersungguh dalam mengejar dan merebut hati Kisha.
Separuh perjalanan novel ini adalah antara hubungan Kisha dan Azril dan separuh lagi adalah antara hubungan Kisha dan Razif. Fokus cerita agak terjejas selepas itu. Bagi aku, plot antara kerumitan Kisha dan Azril baru sahaja mahu sampai ke klimaksnya apabila momentum keseluruhan cerita seolah-olah ‘ditarik’ balik dengan memperkenalkan plot baru iaitu kisah Kisha-Razif. Rasanya kalau saudara Shaz Johar diberi kelonggaran untuk menulis menjangkaui sekitar 60, 000 patah perkataan (atau mungkin juga menghasilkan sekuel atau trilogi, mungkin?) Kougar boleh menjadi lebih baik.
Namun apa yang aku benar-benar suka tentang Kougar adalah penulis nampaknya benar-benar faham dan mendalami gaya hidup seorang wanita moden di kota. Tutur-kata watak dalam Kougar, bagaimana mereka berinteraksi antara satu sama lain dan dengan situasi sekeliling di samping mentaliti dan perlakuan wanita (khususnya Suraya dan Kisha) mampu membuat pembaca menyelami watak tersebut dan ‘bersatu’ dengan mereka. Walaubagaimana pun, seperti yang aku ulas tadi, seperti ada sesuatu yang masih lagi kurang terhadap watak Kisha. Tidak cukup “Uumph!”.
Lagu satu yang aku benar-benar suka tentang Kougar adalah peleraiannya. Penyudah kisah Kisha dalam novel Kougar merupakan sesuatu yang tidak aku jangka-jangkakan; bukanlah sesuatu yang tipikal atau stereotaip walaupun aku akui agak klise. Aku benar berharap agar saudara Shaz Johar menyambung kisah Kisha dalam novel sophomore beliau. Aku mahu tahu apakah… oh, tidak mahu dedahkan spoiler di sini. Kepada sesiapa yang masih belum membaca Kougar atau bercadang untuk membacanya, aku amat-amat alu-alukan kerana walaupun ia suatu bahan bacaan yang agak santai (tidak rumit seperti Cekik dan tidak fast-paced seperti Pecah) tetapi Kougar mampu membuat kita terfikir dan mengevaluasi kembali hidup kita.
“Pelik betul orang KL ni kan? Dah tak tahu nak bezakan mana satu kawan, mana satu kekasih agaknya. Masa awak nak larikan diri dulu tu, awak anggap saya ni kawan jugak ke, Kisha? Macam mana pula masa kita main dulu? Semua tu atas dasar kawan je ke?”
- Bab 39, halaman 317.
Adakah kita sebenar-benarnya puas dengan pilihan yang kita buat, atau adakah kita membuat pilihan itu hanya untuk memuaskan hati orang lain?
Ulasan
Thanks for the comment. I really appreciate it. Since it's my first time doing a book review, I basically read some book reviews including yours to get an idea on how I should start. It is a good read. I really like it.
@jejaka anggun I agree! Please do a sequel.