058: [siri ulasan buku] #02 - cekik karya ridhwan saidi.

Cekik hasil nukilan Ridhwan Saidi bukanlah novel fiksyen yang boleh dijadikan bahan bacaan ringan. Pertama kali aku disajikan dengan hasil tulisan Ridhwan Saidi adalah dalam antologi Orang Macam Kita. Di situ, beliau tampil dengan cerpen Sulalatus Anilingus, sebuah karya yang aku sendiri tidak faham pada bacaan pertama. Begitu juga dengan Cekik. Pembaca akan acapkali berhenti membaca hanya untuk menarik nafas menghembuskan kekeliruan sebelum meneruskan pembacaan. Serius!

Penulis bijak memanipulasi perspektif pembaca, digaul sebati dengan penggunaan perkataan dan konstruksi ayat yang tampak mudah tetapi sebenarnya sarat dengan analogi yang berbelit. Gaya bahasanya mudah, dengan naratif penceritaan yang terus-terang tanpa berselindung. Namun begitu Cekik bukanlah bacaan ringan dari kulit ke kulit. Acapkali pembaca akan terpanggil untuk ulangrujuk bab-bab terdahulu hanya untuk memahi bab yang sedang dibacanya dan dengan harapan bakal memahami bab-bab mendatang.

Kita diperkenalkan dengan Warith, seorang anak muda yang lari daripada Kampung untuk ke Bandar. Dia seorang lelaki naïf yang punya sifat kurius yang amat tinggi. Dia ditemukan dengan Suria, seorang wanita awal tiga puluhan yang kesunyian. Mereka bertemu, merapat dan akhirnya menjadi pacar. Namun perjalanan hidup mereka terhinjut apabila Warith mendapat berita bahawa bapanya di Kampung telah mati dibunuh. Perlahan-lahan plot Cekik terungkai dengan setiap satu imbas muka yang berlaku. Suria dan Warith punya lipatan sejarah tersendiri yang berselirat sehingga ada ketika pembaca mungkin akan terkeliru atau mungkin juga akan tersenyum kerana terdapat foreshadowing yang berjaya dikesan. Pemerhatian yang Warith lakukan melalui kaca matanya seakan menurut perspektif seorang anak kecil yang terperangkap dalam tubuh seorang remaja.

Terdapat juga dikotomi pemberian maksud kepada subjek-subjek khusus (seksualiti dan keagamaan contohnya) apabila wujudnya unsur simbolisma yang kuat. Penulis menggunakan petunjuk-petunjuk yang tampak am seperti restoran makanan segera McDonald’s dan juga mee segera dan juga rekabentuk sebuah masjid dan menjukstaposisikannya dengan hal-hal yang lebih khusus seperti seksualiti dan keagamaan. Seterusnya jika diteliti, novel ini juga menyentuh tentang integriti kaum Melayu khususnya dan letaknya kaum itu di bumi Malaysia, dengan berpusatkan pada elemen-elemen seperti budaya, agama dan kedudukan sosial kaum itu sendiri. Penegasannya kabur dan mungkin tidak dapat difahami oleh semua orang namun itu yang aku faham dan cerna lewat pembacaan novel ini.

Ada yang berpendapat bahawa novel ini agak ‘grafik’ dan berbaur pornografik kerana ia sarat dengan sexual innuendos yang pada pendapat aku memang disengajakan oleh penulis kerana sudah pastinya belia punya sebab tersendiri untuk menulis sebegitu rupa. Aku sebenarnya tidak kisah dengan konten sebegini. Dalam Bab 10, halaman 218 penulis ada menyebut bahawa: 

"[J]ika kamu merasakan sesebuah penulisan novel itu membuang masa lebih daripada apa yang kamu suka, ianya adalah porno." 

Tiada sebarang kejutan baru dalam novel Cekik. Pembaca sudah mungkin berjaya mengekspaktasi penyudahnya setelah sepertiga membaca novel ini. Namun apa yang membuat ia merupakan suatu bacaan yang mengasyikkan adalah kita akan turut dibawa untuk mendalami kompleksiti dua watak ini dan apakah perkaitan kedua-duanya dengan pembunuhan bapa si Warith. Penulis berjaya mengawal ritma plot dengan memastikan ia mempunyai momentum yang baik: tidak terlalu meleret dan tidak pula terlalu pantas. Walaubagaimana pun, aku bersetuju dengan saudara Fadz, pengakhiran novel ini terasa seperti terburu-buru hendak cepat habis dan seperti main-main.  

Ulasan

lylaROCKprincess berkata…
I'm on page 59 for this book..
I agree with you..
kena baca banyak2 kali untuk betul2 faham apa yang ingin disampaikan...
huhu..
shandye. berkata…
selamat membaca. ya, Cekik bukanlah bahan bacaan konvensional. punya banyak intipati tersirat. ngee...