Membaca MURTAD karya Hasrul
Rizwan membuatkan aku acapkali teringat akan filem-filem aksi Hong Kong ataupun
Taiwan (Replacement Killer, A Better Tomorrow, dan entah berapa judul filem Chow Yun-fat yang lain) – banyak benar aksi tembak-menembak dan bergocoh di sana-sini. Di
Twitter, kalau menurut kicau-kicau yang ber’hashtag’ #MURTAD, banyak yang
memuji dan mengatakan bahawa novel sulung karya penulis yang lebih dikenali di
Twitter sebagai @MatGorn ini wajar dijadikan filem. Melihat kepada kejayaan
berlambak-lambak filem-filem aksi sepak-terajang dan tembak-menembak yang
menyemak di panggung tempatan, tidak sukar untuk membayangkan kejayaan yang
serupa untuk novel Murtad kalau ia difilemkan. Memang ternyata selera penonton
filem Malaysia gemarkan filem aksi yang santai (lihat sahaja KL Gangster) atau
jenaka separa slapstik (Adnan Sempit), maka kalau gabungan kedua-duanya
merupakan resepi untuk sebuah plot cerita yang bakal digemari oleh kebanyakan
penonton filem tempatan.
Murtad memperkenalkan dua watak
utama, Adam dan Akhil, pasangan kembar seiras (eh, sama macam dalam novel Hilang karya Dayang Noor!) dari Kedah yang datang berhijrah ke Kuala Lumpur
untuk memulakan hidup baru setelah kematian ibu mereka. Rentetan demi rentetan
kejadian yang berlaku pada awal novel membawa mereka berdua bertemu dengan Mr.
T yang akhirnya memberikan mereka jawatan sebagai seorang pembunuh upahan yang
ditugaskan untuk membunuh mereka yang keluar dari agama Islam. Ya, tidak
dinafikan elemen teras dalam novel ini agak berat sebenarnya. Namun penulis
ternyata bijak untuk mengimbangkan fahaman beliau terhadap topik tersebut
dengan mengambilkira kesemua sudut pandangan sebelum mengembangkan plot cerita
dengan berteraskan konsep hukum hudud iaitu ‘mereka yang murtad dan enggan
kembali ke Islam haruslah dibunuh’.
Menurut Stephen King dalam sebuah
rencana beliau yang aku sudah lupa tajuknya apa, seseorang penulis itu
sebenarnya menulis dan mengembangkan idea daripada suatu teras yang klise.
Begitu juga dengan Murtad di mana pada hemat aku tidak terlepas daripada klise.
Plot ‘boy meets girl, boy falls for girl, boy loses girl, boy fight to win girl
back’ seperti apa yang ada dalam Murtad sudah terlalu banyak kali diulangpakai
oleh kebanyakan penggiat filem dan novel. Namun si penulis bijak mengolah
Murtad agar kesegaraman terhadap idea sentralnya tidak hilang. Namun begitu,
tidak aku nafikan bahawa cerita Murtad ini agak predictable dan biasa-biasa
sahaja. Sepertiga baca aku sudah boleh jebak penyudahnya bagaimana. Cuma mungkin epilognya agak tidak terjangkakan sebenarnya.
Kekuatan tunggal yang aku lihat
di dalam novel ini terletak pada kebijaksaan penulis dalam bermain kata-kata. Dialog
yang dituturkan ternyata segar dan terasa real. Adam dan Akhil bertutur mirip
seperti kebanyakan orang Utara yang aku temui – kasar dan tidak berselindung. Lucunya, banyak benar perkara atau hal yang terjadi di dunia nyata diselitkan di dalam novel ini. Sebagai contoh, insiden pergaduhan di sebuah restoran makanan segera yang pernah mendapat liputan media gara-gara ada pekerja yang bertumbuk dengan pengunjung. Ada juga novel Fixi lain seperti Kelabu dan Langit Vanilla (oh, yang ini bukan dari Fixi) disebut dalam cerita. Ada juga (parodi mungkin?) kemunculan si Nipis, hero bidan terjun dari novel Zombijaya membuat kemunculan ringkas di halaman 243. Seperkara
lagi, plot cerita bergerak pantas, selanjar dan mudah untuk dibaca. Cuma
sesekali ada juga terselit bab-bab imbas kembali seorang watak bernama Pak
Talha. Similariti antara Pak Talha dengan Mr. T (selain daripada klu nama
kedua-duanya) membuatkan pembaca mudah menjebak apa yang akan berlaku
seterusnya. Siapa sebenarnya Pak Talha dan Mr. T, sewajarnya aku biarkan ia
sebagai rahsia kerana mahukan pembaca reviu ini yang masih lagi belum
mendapatkan naskah Murtad untuk mengetahuinya sendiri.
Namun begitu, kekurangan Murtad
yang paling ketara adalah kurangnya perincian terhadap dua watak paling penting
dalam novel itu, iaitu Akhil dan Adam. Ya, mereka berdua adalah kembar seiras
dan semstinya punya banyak persamaan dari segi tutur kata dan gerak-laku. Namun
secara realistiknya, begitu ramai pasangan kembar yang aku kenali yang amat
berbeza sifatnya. Kadang-kadang aku sendiri keliru kembar yang mana sedang
berbicara dan perbuatan yagn itu dibuat oleh siapa kerana susah untuk aku
bezakan antara duanya. Mungkin itu strategi separa sedar sang penulis
sebenarnya, mahu pembaca ikut terkeliru dengan situasi kembar seiras sebegitu.
Apa-apapun, penulis tidak
terlepas daripada perwatakan stereotaip arketaip seorang ‘hero’ bagi Akhil dan
Adam. Mereka dipaparkan sebagai seorang yang jujur, berani, ikhlas dan sanggup
mati demi menegakkan keadilan; dan keadilan ini dipaparkan dalam bentuk
keagamaan. Sekali lagi, sebuah klise yang diperbahui menjadi segar apabila
diketegahkan dalam situasi moden. Jelasnya penulis ternyata mahu menulis
sesuatu yang pada mulanya mungkin santai, namun apabila dikaji secara falsafah
dan ideologinya pekerjaan yang dilakukan oleh Adam dan Akhil ini, apakah
pembaca akan bersetuju? Menurut pemerhatian aku dan pembacaan aku terhadap
ulasan-ulasan novel ini daripada orang lain, ada dua puak fahaman yang terbit. Pro
dan kons. Ada yang sokong, ada yang tidak. Sejujurnya terpulang. Secara islamiahnya,
hukum hudud itu harus (atau wajib, aku sendiri sebenarnya kurang jelas) namun
di Malaysia ini aku kira agak sukar untuk aplikasikan hukum hudud secara total
memandangkan kita hidup berlapisan etnik dan bangsa pada amnya. Makanya tinggalkan
Adam dan Akhil yang pada mata aku sepasang Randian hero yang tidak kesampaian.
Membunuh manusia murtad adalah pekerjaan mereka dan membelasah budak rempit itu akan diletakkan seperti mengisi masa lapang sepertimana hobi mengumpul setem atau menggubah bunga bagi manusia normal umpamanya.
- Murtad, bab 16, halaman 135.
Murtad tidak aku syorkan untuk remaja kurang matang dek kerana kontennya agak tidak berkesesuaian, tambah-tambah lagi dengan lambakan kata-kata kesat yang ditabur sesuka hati dalam dialog-dialog yang dituturkan oleh watak-watak di dalam novel ini. Namun aku amat-amat syorkan peminat Fixi untuk membaca Murtad, lebih-lebih lagi kalau kalian sudah membaca Pecah, Zombijaya dan dan Hilang kerana aku fikir Murtad punya banyak elemen sampingan yang berbaur (atau mungkin penulis sendiri sedikit terpengaruh dengan gaya dan lentur cerita tiga novel yang disebut tadi) dengan baik sekali. Akhir sekali, menurut rating yang aku tinggalkan di Goodreads, aku berikan 4 bintang daripada 5. Jangan tanya kenapa tidak boleh beri lima bintang sebab kalau kalian baca ulasan ini sendiri pun kalian boleh jebak kenapa.
Oh, aku sedang tunggu SUAMI dan ISTERI pula. Kapan doank mau sampe??
Ulasan