Ini pula percubaan kedua aku untuk kontes yang sama, merebut senaskah CERPEN NADIA KHAN.
Eh, sangkut pula terpilih untuk menang.
Alhamdulillah.
=)
Nohman Affifudin seluk poket jeans. Yang keluar hanya gumpalan benang dan kertas lunyai entah apa. Wangnya sudah habis. Dompetnya kosong. Poket lagi satu berisi kunci motor, Nokia butterfly dan sekotak rokok. Dia tidak tahu hendak buat apa. Masa semakin suntuk sebenarnya. Matahari semacam sudah tidak berapa nampak di sebalik KLCC.
Ketika itu dia terkenangkan restoran masakan Melayu miliknya di perdu bandar. Tak begitu maju, tapi lebih dari hidup segan mati tak mahu. Ramai juga yang puji masak lemak tempoyaknya menggiurkan. Dia senyum hambar. Air liur terasa payah hendak ditelan, sepayah dilema yang bergumpal dalam hatinya kini. Dia tahu dia tidak punya banyak masa. Gelap sikit nanti datanglah mereka dan semuanya bakal berakhir. Dia dulu adalah masuk TV nyanyi sikit-sikit, keluar Mangga. Tapi itu kisah sebelum nikah. Sekarang dia kelesa mahu terhegeh-hegeh cari publisiti. Perutnya sudah mancung dan kugirannya sudah lama bubar. Rakan yang lain-lain menghala objektif masing-masing menjauh dari mahsyur. Bininya pula jadi tukang masak, tukang kasir dan tukang sapu restoran yang taat.
Sekarang Farid hendak laptop baru, Farhah mahu basikal untuk ke sekolah, Fasyah perlu ditadikakan, Farihin harus disusukan. Semuanya butuh wang. Objek yang Nohman tiada.
Di kaki lima yang menghadap KFC itu dia terjelepuk duduk. Orang hilik-mudir langsung tidak pedulikannya. Dari tingkap kaca restoran ayam segera itu Nohman nampak seorang pondan sedang duduk sendirian, meratah ayam goreng sambil tangan kirinya terpegang senaskah novel Bisik. Farhah merajuk semalam sebab novel itu tidak dibelinya.
Entah macam mana dia teringat akan sekeping kad yang terselit dalam peti suratnya kelmarin. Kad ringkas warna kuning pucat dengan nama dan nombor telefon. Iklan sebenarnya. Hatinya bolak-balik, antara mahu telefon atau tidak. Dalam keterdesakan dan kesuntukan masa ini Nohman tahu dia tidak punya banyak opsyen.
PWTC.
Pinjaman Wang Tanpa Cagaran.
Dengan jari-jari yang terketar-ketar, Nohman Affifudin dail nombor yang tertera pada kad tersebut.
Panggilan berjawab.
KOMEN dari juri tunggal, Wani Ardy yang sehingga ke hari ini aku masih belum pernah bertemu empat mata apatah lagi mahu dia menurunkan signatur pada naskah Langit Vanilla yang aku ada (yang separa lunyai sebab kerap benar aku ulang-baca) :
Ada tiga perkara yang saya suka tentang cerpen ini. Pertama, watak Nohman Affifudin sebagai bekas artis suam-suam kuku yang sudah berkahwin, beranak-pinak, dan memulakan perniagaan sendiri bila tidak popular lagi. Fenomena ini biasa berlaku namun watak sebegini jarang-jarang diterokai oleh para penulis. Kedua, saya suka bagaimana penulis kreatif mendefinisikan PWTC sebagai Pinjaman Wang Tanpa Cagaran dan bukan PWTC yang kebanyakan kita jangkakan. Ketiga, saya suka penghujung cerita yang membenarkan pembaca bebas berfikir sendiri tanpa membuatkan pembaca itu berasa marah dengan cerita yang tergantung.
Ulasan