Sebenarnya aku sudah lama tidak ketemu dengan kau. Terlalu lama. Hakikatnya apabila aku tinggalkan kota Shah Alam sekitar enam tahun sudah, kita seperti tiada peluang untuk bersua muka. Beberapa bulan selepas itupun kau sudah tukar nombor telefon dan khabarnya sudah tukar tempat kerja.
Aku tambah sedih.
Bukan aku tidak pernah mahu hubungi kau, tetapi sebenarnya aku tidak tahu hendak mula di mana. Aku tanyakan pada Farid, rakan serumah kau itu dan dia sendiri yang cakap kau sudah balik kampung di Pahang. Itu kisah dua tahun sudah. Sebenarnya aku hendak cari kau semula sebab aku rindu. Rindu dengan keletah selamba kau dan ketidakpedulian kau terhadap dunia. Rindu atas keberanian kau mencabar dunia dengan sepasang tangan lincah kau.
Ternyata Tuhan seperti mahu yang baik-baik sahaja berlaku ke atas aku. Alhamdulillah, aku bakal bergraduasi hujung Oktober nanti dan sekarangpun aku sedang mengerjakan ijazah sarjana di USM. Berkat usaha gigih aku ternyata berbaloi. Mungkin apa yang kau bilang pada aku saat kita berkongsi Coke dan fries di McDonald's beberapa tahun sudah itu ada benarnya.
Masin betul mulut (atau patutkah aku sebut tangan?) kau.
Kau cakap aku bakal dikenali oleh sebab tulisan aku. Kau cakap aku ada sesuatu yang istimewa. Kau cakap aku boleh pergi jauh dengan hanya keletak-keletuk di papan kekunci. Kau cakap kau akan beli apa yang aku tulis. Nah, syukur aku sudah bergelar penulis kini dan aku tahu di manapun kau ini kau pasti bangga.
Apapun... emel kau kelmarin bikin aku senyum tak sudah-sudah.
Aku dapat tahu kau ada di Putrajaya kini dengan kerja baru di bawah suatu kementerian. Baguslah. Setidaknya gaji kau tetap tidak seperti komisyen dan wang sara hidup yang kau dapat dari meniaga dulu. Aku tidak mahu tengok kau susah. Kita sama-sama susah terlalu lama. Sejak sekolah lagi aku sudah susah bersama kau.
Boleh tahan juga ligat kau. Ya, aku tidak segan menyatakan yang aku menyelongkar gambar-gambar Facebook-mu, liking-liking semahunya. Tak salah, kan? *gelak nipis* Eh... ingat tak yang aku pernah koyakkan beefburger McD separuh dan berikan pada kau usai kita meniaga dulu? Itu kisah lama, tapi aku tahu kau mesti takkan lupa.
Ah, tak sabarnya mahu ketemu kau nanti!
Cepat-cepatlah ponteng cuti kerja dan datang sini!
Aku rindulah pada kau, Suffian!
Aku janji akan belajar video di bawah ini dan kita ikut sama-sama, ya?
Ulasan