287: [siri ulasan buku] #23 - suami karya s. mara gd.

Terjemahan, dalam erti kata lain adalah menukar struktur/lenggok ataupun bahasa itu sendiri kepada bahasa lain. Menurut pembelajaran aku, ada tiga peringkat terjemahan kesemuanya; terjemahan literal/verbatim, terjemahan maksud dan terjemahan bebas. Terjemahan literal/verbatim bermaksud menterjemahkan sesuatu ayat tersebut secara perkataan demi perkataan atau frasa demi frasa, dalam bahasa Inggerisnya, word by word. Terjemahan maksud pula merujuk kepada suatu proses terjemahan ayat (contohnya daripada bahasa Indonesia ke bahasa Malaysia) dan tidak mengekalkan essence asal ayat itu sendiri dan sebaliknya menyuntik essence ayat terjemahan yang diminta. Dalam erti kata lain, penterjemah bebas menterjemah ayat yang dirujuk, asalkan masih dalam struktur dan konteks yang sama. Yang ketiga iaitu terjemahan bebas pula merujuk kepada suatu bentuk penterjemahan yang dalam erti kata longgarnya: bebas. Si penterjemah tidak terikat dengan struktur ayat atau apapun, asalkan maksudnya difahami oleh pembaca. Sebagai contoh, kalau ayat asalnya dalam bentuk dialog tetapi telah diterjemahkan dalam bentuk huraian dalam perenggan juga tidak apa kerana masih lagi menetapi ciri-ciri terjemahan bebas.

Itu serba-sedikit apa yang aku belajar tentang terjemahan. Kalau ada yang kurang/lebih mohon dijelaskan lagi di ruang komen.

Lelaki adalah lelaki. Dia bukan malaikat, dia cuma seorang manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan ego.
- Bibi Kus, bab 8, halaman 65.

SUAMI merupakan novel terjemahan dari FIXI yang kedua yang aku baca selepas Dosa. Sebenarnya bukan apa, aku mulakan ulasan novel SUAMI ini dengan membebel tentang terjemahan disebabkan pada hemat aku, terjemahan yang dilakukan dalam novel SUAMI agak sloppy dan terkadang rasa seperti mahu lekas habis dialihbahasa tanpa menitikberatkan struktur ayat dan keseragaman perenggan kerana terus-terang aku hendak jelaskan di sini, alihbahasanya bagus sehingga sebelum bab 20 sahaja, selepas itu ia mula terasa seperti langsung tidak diterjemah. Terlalu banyak perkataan/frasa dalam bahasa asal seolah-olah dibiarkan begitu sahaja tanpa diterjemah. Ya, tidak terganggu pun pembacaan aku sebenarnya (tidak seperti membaca DOSA yang banyak sekali perkataan/frasa yang dikekalkan tidak diterjemah tetapi aku suka pula ia begitu). Terus terang aku rasakan walaupun namanya novel terjemahan, tetapi aku tetap rasa seperti membaca sebuah novel Indonesia. Tiada bezanya. Dalam kotak minda aku, kalau sesebuah naskah itu sifatnya diterjemahkan, ia harus diterjemahkan menurut salah satu daripada tiga jenis terjemahan yang aku terangkan di atas. Itu pada pandangan aku. Bukannya aku hendak menyelar Nabila Najwa tidak membuat terjemahan yang baik, tetapi aku yakin dia punya pendirian dan sebab-musabab yang tersendiri.

Apa-apapun, SUAMI adalah sebuah novel Indonesia, makanya kita letakkan saja bahasanya sebagai itu. Dan aku juga mahu angkat topi kepada saudari penterjemah kerana sedia maklum, bukan sukar untuk menterjemah sesebuah karya, apatah lagi kalau karya asalnya diterbitkan buat pertama kali pada 1986.

End of discussion.

SUAMI dimulakan dengan agak menarik tetapi hambar, seperti makan megi yang sudah mahu sejuk. Pembaca dibawa untuk berkenalan dengan Maryati yang hendak dijodohkan dengan Supriyadi, anaknya Puan Cokronegoro yang digambarkan sebagai amat tampan dan berharta. Aku sebenarnya seperti mahu give up  baca dan angkat novel lain sebenarnya kerana hanya setelah sampai ke bab 15 di halaman 152 baru pembaca diperkenalkan dengan Kapten Polis Kosasih. Sampai di situ aku hampir-hampir sudah mahu tutup SUAMI dan fikir aku hanya akan angkat semula setelah bosan benar sebab tidak tahu apa misteri/tragedi/insiden yang bakal berlaku.

Ternyata aku silap.

Keterpaksaan aku untuk terus membaca membuatkan aku menemui suatu insiden yang menjadi titik-tolak kepada penyiasatan Kapten Polis Kosasih. Apa yang berlaku, itu aku biarkan lompong. Kalian harus beli dan baca sendiri.

Mentang-mentang menganggap dirinya berdarah biru, kita semua ini cuma seperti setengah kera di matanya.
- Gozali, bab 23, halaman 223.

Penulisnya bijak mengatur plot yang berjarak dengan baik walaupun kalau plot yang sama diangkat dan digerakkan pada masa sekarang terasa seperti kelakar dan tidak relevan. Pembaca harus ingat, SUAMI berlangsung pada latar pertengahan 1980an. Tiada telefon pintar, internet mahupun monorel. Plot yang bergerak perlahan pantas menjadi a quick page-turner apabila ada suatu insiden yang berlaku di kebun epal di belakang kediaman elit Puan Cokro. Apa, mengapa, siapa yang terlibat - itu aku serahkan sepenuhnya kepada kalian untuk baca dan temui sendiri.

Aku berikan SUAMI tiga daripada lima bintang atas beberapa kekurangan. Kalau tidak mungkin sekali aku beri empat atau empat setengah bintang:

  • Kompleksiti dan komposisi plot bergerak agak perlahan dan hanya mula rancak dan bersifat investigative pada bab 20 dan seterusnya. Makanya pembaca (atau mungkin hanya aku?) mulanya agak bosan untuk teruskan membaca.
  • Aku kira peleraiannya bijak namun agak predictable walaupun penyudahnya sebenarnya tidak puas aku baca. Beberapa soalan seperti 'kenapa?' dan 'ya, jadinya itu sahaja motifnya?' asyik berlegar seusai aku habiskan SUAMI. Agak kecewa sebenarnya.
  • Sebenarnya pada hemat aku, Kapten Polis Kosasih itu bukanlah bijak sangat dalam crime-solving investigation. Kalau bukan kerana sidekick-nya si Gozali itu rasanya misteri pembunuhan dalam SUAMI sampai sudah tidak akan selesai.
Apapun, SUAMI amat aku syorkan kepada semua lapisan pembaca. Gaya bahasanya, walaupun pada beberapa bahagian agak sukar untuk difahami (kerana nuansa bahasa Indonesianya masih lagi tebal) tetapi itu tidak bermakna ini suatu novel yang payah untuk dibaca dan difahami.

Ulasan