Aku ambil masa kira-kira dua
minggu untuk habiskan Amerika, novel terbaru karya Ridhwan Saidi. Agak lama
memandangkan aku harus berhenti membaca untuk memberi ruang kepada kerja-kerja
ilmiah yang lain (urrggh, menjadi mahasiswa tahun akhir sebenarnya tidak
seronok ye!). Sepertiga selesai membaca, aku singgah ke blog si penulis novel,
kurius ingin tahu apa pendapat beliau tentang respons pembaca yang lain.
Jujur aku ingin jelaskan di
sini, Amerika ternyata kekal kepada trademark
Ridhwan Saidi. Ceritanya bukan konvensional dan semestinya bukan untuk semua
orang. Seperti Cekik, novelnya yang terdahulu, Amerika akan membuat pembaca
terfikir tentang banyak hal-hal duniawi dan juga spiritual. Salah seorang kenalanku meminjam-baca novel ini dan
selepas tiga hari dia pulangkan semula kepadaku dengan wajah yang perplexed dan menyampah.
“Tak logik dan merapu!” ujar
dia ketika kami bertemu di hentian bas.
Aku hanya senyum. Sejujurnya
aku gemar akan Amerika. Aku gemar efek symbolism
yang digunakan di dalam novel ini. Bagi aku, Ridhwan Saidi menulis bukan dengan
hanya berpandukan satu konsep sahaja yang ingin beliau terapkan di minda
pembaca. Sebaliknya, beliau berharap agar simbol-simbol ini sebenarnya bebas
diinterpretasikan oleh pembaca. Dalam erti kata lain, beliau mahu pembaca
mengorek sendiri prior knowledge yang
mereka ada dan baurkan dengan helaian-helaian halaman novel ini.
Ada beberapa perkara yang
aku kira sengaja diselitkan oleh penulis di dalam novel ini. Mungkin untuk
menyuntik unsur humor atau mungkin
juga sekadar ketidaksengajaan bawah sedar ketika penulis asyik menghentam keyboard sewaktu sedang menulis.
Entahlah. Antaranya, aku kira nama watak-watak Ramlee, Awang dan Murshid
mungkin sekali suatu homage si
penulis terhadap seorang lagi penulis prolifik, Ramlee Awang Murshid. Lipas
raksasa, elemen strawberi dan sup brokoli pula pada pendapat aku merupakan
suatu pancaran visual sesuatu yang lebih besar.
Aku kira lipas itu sendiri
melambangkan masyarakat Malaysia. Kalau dilihat menggunakan kaca mata literature, sifat fizikal lipas itu
sendiri saling tidak tumpah seperti masyarakat Malaysia. Lipas merupakan
hidupan yang amat liat untuk mati. Heck,
kalau sudah terpotong kepala pun ia masih boleh hidup berhari-hari lamanya!
Begitu juga dengan rakyat Malaysia. Bagi aku, secara kolektifnya rakyat
Malaysia merupakan warga yang gigih dan pantang mengalah (walaupun bagi aku
tidaklah segigih warga matahari terbit). Perhatikan pula bagaimana representative lipas itu diceritakan
dalam novel Amerika. Dalam satu babak pada lima peratus terakhir novel ini, ia
membantu Murshid memanjat struktur bangunan entah apa entah untuk sampai ke
puncak. Sekali lagi aku seperti dapat tafsir bahawa lipas itu saling tidak
tumpah seperti tangan-tangan masyarakat Malaysia yang cukup prihatin,
tambah-tambah lagi kalau ketika berlakunya kemalangan jalan raya. Ramai yang
akan hulurkan bantuan, tetapi ramai juga yang akan sekadar tolong tengok. Exactly macam lipas. Dan, seperti lipas
juga, rakyat Malaysia sebenarnya tidak mampu untuk menolak bahawa mereka
bersedia untuk tinggal di dalam kondisi yang sedikit kotor, tidak seperti warga
negara selatan Johor yang perlu kunyah gula-gula getah dalam persembunyian
kerana khuatir disaman. Soal pembuangan sampah, sungai tercemar dan sebagainya
seperti suatu trend bagi rakyat
Malaysia dan mereka semacam sudah imun untuk tinggal bersama-sama sampah (rujuk
kawasan perumahan kos sederhana dan rendah, terutama sekali pangsapuri sekitar
Seksyen 13 Bandar Baru Bangi), serupa seperti kehidupan seekor lipas.
Cukup-cukuplah tentang
lipas.
Amerika seharusnya dibaca
dengan hati, minda dan jiwa yang terbuka. Pembaca tidak boleh mempunyai
pandangan sempit ketika meneliti baris-baris ayat dalam novel ini kerana bagi
aku ia bukanlah suatu baha bacaan linear
reading yang mudah. Banyak subplot berselirat, imbas muka dan keterbukaan
budaya dan buah fikiran yang bagi aku terkadang tidak sesuai untuk anak-anak
muda. Terkadang aku anggap novel ini agak grafik, lebih-lebih lagi apabila
menyentuh segmen di mana ada wataknya sedang bersenggama.
Amerika merupakan tempelak
kepada societal disparity, dan ia
digarap secara telus sehingga kau hampir terlepas pandang pada bacaan pertama.
Ada bahagian-bahagian
tertentu di dalam novel ini yang tidak masuk akal, semacam ia ditulis ketika penulis
sedang khayal atau separuh sedar kerana mengantuk. Watak-watak di dalam novel
ini juga terkadang aku kira agak tidak logik kerana perinciannya tidak sepadan
dengan deskriptif fizikal dan latarbelakangnya. Sebagai contoh watak Dahlia
Sanni, gadis berambut hijau (mungkinkah terilham dari watak Kate Winslet yang
seringkali bertukar-tukar warna rambut dalam filem Eternal Sunshine of a
Spotless Mind?) yang gemar ponteng sekolah tetapi mempunyai minat mendalam
terhadap fesyen dan falsafah. Kalau dilihat dari perspektif realistik, susah
benar hendak cari budak sekolah yang quirky
tetapi pintar secara semula jadi seperti Dahlia. Namun Amerika merupakan sebuah
karya fiksyen, makanya apapun sebenarnya boleh terjadi. Kalau hendakkan sesuatu
yang benar-benar realistik, sila letak kembali novel ini dan pergi baca novel
cinta stok muntah hijau keluaran penerbit arus perdana yang lain (yang aku
enggan sebut di sini kerana khuatir dikecam oleh golongan kipas-susah-mati
pembaca novel keluaran penerbit tersebut). Menyentuh tentang watak-watak dalam
novel Amerika ini, aku bersetuju dengan ulasan Mamü Miguel Ellezda Vies yang menegaskan bahawa
watak-watak di dalam novel ini barangkali juga merupakan suatu representative bawah sedar bandar-bandar
yang ‘dilawati’ oleh Murshid. Oh, dan aku juga seperti dapat kesan yang si
penulis merupakan peminat Harry Potter kerana tidak habis-habis menggunakan
perkataan ‘kau-tahu-apa’ yang
seterusnya dijebak sebagai Voldemort oleh salah seorang daripada watak dalam
novel ini. Comel!
“Kita boleh gunakan satu anekdot. Ada kawan sekelas Lia kat sekolah ni, couple dua orang duduk sebelah-sebelah. Mereka makan bersama, pergi sekolah bersama, balik sekolah bersama, ke kelas tuisyen bersama, tunggu bas bersama, berjalan-jalan bersama, dari siang sampai malam. Waktu malam bila di habitat masing-masing, diorang tak putus sms sampai pagi. Basically, diorang ni mengadap sesama sendiri setiap hari sepanjang hayat selamanya. Apa yang orang panggil sehati sejiwa.”
- Lia, Bab 15, halaman
88.
Apa yang pasti, abaikan
jalan ceritanya yang pada pendapat aku sedikit all over the place, abaikan juga debat di hadapan sup brokoli dan
air soya di antara watak-watak di dalam novel ini, abaikan juga babak epik
Murshid dan Ramlee yang ‘terperangkap’ di tengah-tengah perarakan demonstrasi
(yang semacam terlalu familiar
bunyinya); dan betul-betul ambil masa untuk hayati bagaimana Murshid menyusuri
hidup di kota kotor Kuala Lumpur dengan menara KL yang gemar mengintai, survivability-nya
ketika di bumi asing dan kompleksiti perasaan kasih dan sayangnya yang berbaur
antara gadis-gadis (dan janda) yang dia temui dan kalian pasti akan bersetuju
dengan aku – bahawa novel ini memang lain dari yang lain.
Dengar khabar novel ini
hanya dicetak sebanyak 500 naskhah, jadinya aku adalah antara lima ratus
pembaca bertuah yang mempunyai novel rare
ini. Oh, kalau tergiur untuk pegang dan baca sendiri bolehlah ke SINI untuk
pesan secara atas talian.
=)
Ulasan