202: [siri ulasan buku] #09 - amerika karya ridhwan saidi.


Aku ambil masa kira-kira dua minggu untuk habiskan Amerika, novel terbaru karya Ridhwan Saidi. Agak lama memandangkan aku harus berhenti membaca untuk memberi ruang kepada kerja-kerja ilmiah yang lain (urrggh, menjadi mahasiswa tahun akhir sebenarnya tidak seronok ye!). Sepertiga selesai membaca, aku singgah ke blog si penulis novel, kurius ingin tahu apa pendapat beliau tentang respons pembaca yang lain.



Jujur aku ingin jelaskan di sini, Amerika ternyata kekal kepada trademark Ridhwan Saidi. Ceritanya bukan konvensional dan semestinya bukan untuk semua orang. Seperti Cekik, novelnya yang terdahulu, Amerika akan membuat pembaca terfikir tentang banyak hal-hal duniawi dan juga spiritual. Salah seorang kenalanku meminjam-baca novel ini dan selepas tiga hari dia pulangkan semula kepadaku dengan wajah yang perplexed dan menyampah.

“Tak logik dan merapu!” ujar dia ketika kami bertemu di hentian bas.

Aku hanya senyum. Sejujurnya aku gemar akan Amerika. Aku gemar efek symbolism yang digunakan di dalam novel ini. Bagi aku, Ridhwan Saidi menulis bukan dengan hanya berpandukan satu konsep sahaja yang ingin beliau terapkan di minda pembaca. Sebaliknya, beliau berharap agar simbol-simbol ini sebenarnya bebas diinterpretasikan oleh pembaca. Dalam erti kata lain, beliau mahu pembaca mengorek sendiri prior knowledge yang mereka ada dan baurkan dengan helaian-helaian halaman novel ini.

Ada beberapa perkara yang aku kira sengaja diselitkan oleh penulis di dalam novel ini. Mungkin untuk menyuntik unsur humor atau mungkin juga sekadar ketidaksengajaan bawah sedar ketika penulis asyik menghentam keyboard sewaktu sedang menulis. Entahlah. Antaranya, aku kira nama watak-watak Ramlee, Awang dan Murshid mungkin sekali suatu homage si penulis terhadap seorang lagi penulis prolifik, Ramlee Awang Murshid. Lipas raksasa, elemen strawberi dan sup brokoli pula pada pendapat aku merupakan suatu pancaran visual sesuatu yang lebih besar.

Aku kira lipas itu sendiri melambangkan masyarakat Malaysia. Kalau dilihat menggunakan kaca mata literature, sifat fizikal lipas itu sendiri saling tidak tumpah seperti masyarakat Malaysia. Lipas merupakan hidupan yang amat liat untuk mati. Heck, kalau sudah terpotong kepala pun ia masih boleh hidup berhari-hari lamanya! Begitu juga dengan rakyat Malaysia. Bagi aku, secara kolektifnya rakyat Malaysia merupakan warga yang gigih dan pantang mengalah (walaupun bagi aku tidaklah segigih warga matahari terbit). Perhatikan pula bagaimana representative lipas itu diceritakan dalam novel Amerika. Dalam satu babak pada lima peratus terakhir novel ini, ia membantu Murshid memanjat struktur bangunan entah apa entah untuk sampai ke puncak. Sekali lagi aku seperti dapat tafsir bahawa lipas itu saling tidak tumpah seperti tangan-tangan masyarakat Malaysia yang cukup prihatin, tambah-tambah lagi kalau ketika berlakunya kemalangan jalan raya. Ramai yang akan hulurkan bantuan, tetapi ramai juga yang akan sekadar tolong tengok. Exactly macam lipas. Dan, seperti lipas juga, rakyat Malaysia sebenarnya tidak mampu untuk menolak bahawa mereka bersedia untuk tinggal di dalam kondisi yang sedikit kotor, tidak seperti warga negara selatan Johor yang perlu kunyah gula-gula getah dalam persembunyian kerana khuatir disaman. Soal pembuangan sampah, sungai tercemar dan sebagainya seperti suatu trend bagi rakyat Malaysia dan mereka semacam sudah imun untuk tinggal bersama-sama sampah (rujuk kawasan perumahan kos sederhana dan rendah, terutama sekali pangsapuri sekitar Seksyen 13 Bandar Baru Bangi), serupa seperti kehidupan seekor lipas.

Cukup-cukuplah tentang lipas.

Amerika seharusnya dibaca dengan hati, minda dan jiwa yang terbuka. Pembaca tidak boleh mempunyai pandangan sempit ketika meneliti baris-baris ayat dalam novel ini kerana bagi aku ia bukanlah suatu baha bacaan linear reading yang mudah. Banyak subplot berselirat, imbas muka dan keterbukaan budaya dan buah fikiran yang bagi aku terkadang tidak sesuai untuk anak-anak muda. Terkadang aku anggap novel ini agak grafik, lebih-lebih lagi apabila menyentuh segmen di mana ada wataknya sedang bersenggama.

Amerika merupakan tempelak kepada societal disparity, dan ia digarap secara telus sehingga kau hampir terlepas pandang pada bacaan pertama.

Ada bahagian-bahagian tertentu di dalam novel ini yang tidak masuk akal, semacam ia ditulis ketika penulis sedang khayal atau separuh sedar kerana mengantuk. Watak-watak di dalam novel ini juga terkadang aku kira agak tidak logik kerana perinciannya tidak sepadan dengan deskriptif fizikal dan latarbelakangnya. Sebagai contoh watak Dahlia Sanni, gadis berambut hijau (mungkinkah terilham dari watak Kate Winslet yang seringkali bertukar-tukar warna rambut dalam filem Eternal Sunshine of a Spotless Mind?) yang gemar ponteng sekolah tetapi mempunyai minat mendalam terhadap fesyen dan falsafah. Kalau dilihat dari perspektif realistik, susah benar hendak cari budak sekolah yang quirky tetapi pintar secara semula jadi seperti Dahlia. Namun Amerika merupakan sebuah karya fiksyen, makanya apapun sebenarnya boleh terjadi. Kalau hendakkan sesuatu yang benar-benar realistik, sila letak kembali novel ini dan pergi baca novel cinta stok muntah hijau keluaran penerbit arus perdana yang lain (yang aku enggan sebut di sini kerana khuatir dikecam oleh golongan kipas-susah-mati pembaca novel keluaran penerbit tersebut). Menyentuh tentang watak-watak dalam novel Amerika ini, aku bersetuju dengan ulasan Mamü Miguel Ellezda Vies yang menegaskan bahawa watak-watak di dalam novel ini barangkali juga merupakan suatu representative bawah sedar bandar-bandar yang ‘dilawati’ oleh Murshid. Oh, dan aku juga seperti dapat kesan yang si penulis merupakan peminat Harry Potter kerana tidak habis-habis menggunakan perkataan ‘kau-tahu-apa’ yang seterusnya dijebak sebagai Voldemort oleh salah seorang daripada watak dalam novel ini. Comel!

“Kita boleh gunakan satu anekdot. Ada kawan sekelas Lia kat sekolah ni, couple dua orang duduk sebelah-sebelah. Mereka makan bersama, pergi sekolah bersama, balik sekolah bersama, ke kelas tuisyen bersama, tunggu bas bersama, berjalan-jalan bersama, dari siang sampai malam. Waktu malam bila di habitat masing-masing, diorang tak putus sms sampai pagi. Basically, diorang ni mengadap sesama sendiri setiap hari sepanjang hayat selamanya. Apa yang orang panggil sehati sejiwa.”
- Lia, Bab 15, halaman 88.

Apa yang pasti, abaikan jalan ceritanya yang pada pendapat aku sedikit all over the place, abaikan juga debat di hadapan sup brokoli dan air soya di antara watak-watak di dalam novel ini, abaikan juga babak epik Murshid dan Ramlee yang ‘terperangkap’ di tengah-tengah perarakan demonstrasi (yang semacam terlalu familiar bunyinya); dan betul-betul ambil masa untuk hayati bagaimana Murshid menyusuri hidup di kota kotor Kuala Lumpur dengan menara KL yang gemar mengintai, survivability-nya ketika di bumi asing dan kompleksiti perasaan kasih dan sayangnya yang berbaur antara gadis-gadis (dan janda) yang dia temui dan kalian pasti akan bersetuju dengan aku – bahawa novel ini memang lain dari yang lain.

Dengar khabar novel ini hanya dicetak sebanyak 500 naskhah, jadinya aku adalah antara lima ratus pembaca bertuah yang mempunyai novel rare ini. Oh, kalau tergiur untuk pegang dan baca sendiri bolehlah ke SINI untuk pesan secara atas talian.

=)

Ulasan

[sutera kasih] berkata…
mmg cover depan tu ada lipas ekkk?????????
shandye. berkata…
@[sutera kasih]: ha ah. memula ingat objek2 mcm lipas, brokoli dgn strawberi yg ada pada kulit depan novel ni saja2 dimasukkan... tapi sebenarnya ia merupakan representative sesuatu yang amat mustahak kepada keseluruhan novel. huhuhuhuhuhu....
ajako berkata…
Benar2 memerlukan masa yang panjang untuk menghabiskan membaca novel ini, namun sy masih sukar menghadam sebaiknya isi novel ini. Mungkin itu sebabnya 'perut' saya masih kurang enak dengan hidangan ridhuan saidi ini. Namun masih terserah kepada pembaca kerana masing2 punya citarasa berbeza.