Usai membaca Ngeri karya Gina Yap
Lay Yoong, aku tidak boleh mengelak daripada merasakan ada pengaruh filem
bergenre thriller-horror seperti
francais Saw dan Scream di mana garapannya amat bijak (atau mungkin juga tidak
keterlaluan untuk aku bilang hampir sempurna) membuat pembaca terus-terusan
tertanya-tanya siapakah pembunuhnya yang sebenar. Penceritaannya juga aku kira
tidak konvensional kerana dipersembahkan lewat cuplikan perbualan telefon, sesi
berbalas emel dan juga transkrip kenyataan yang disediakan oleh pihak polis. Stail
penceritaan sebegini secara tidak langsung mengekalkan mood suspens sepanjang cerita.
Bahasa yang digunakan juga mudah
dan terasa segar, macam bagaimana anak-anak remaja masakini bercakap antara
satu sama lain. Namun begitu, pada pendapat aku Ngeri hampir menepati jangkaan
aku. Ia masih lagi belum cukup ngeri. Mungkin kerana aku sudah terbiasa
menonton filem bergenre thriller-horror
seperti Saw, Scream, Halloween dan The Hills Have Eyes, menyebabkan aku mendambakan
Ngeri yang lebih ganas dan ngeri.
Aku bersetuju dengan Luc Abdullahdalam ulasan beliau yang menyuarakan rasa kurang puas hatinya terhadap olahan
watak-watak di dalam novel ini yang dikira agak lemah berbanding watak-watak
mangsa di dalam subplot. Paling ketara adalah watak Detektif Hema yang pada
pendapat aku amat flat dan terkadang
terasa seperti underdeveloped
sedangkan ia memainkan watak yang agak mustahak kepada keseluruhan penceritaan.
Ngeri dimulakan dengan tiga orang
penuntut jurusan perfileman di Universiti Filem Masyhur bernama Joanne, Rehan
dan Samuel yang dikehendaki menyiapkan satu tugasan berkumpulan; di mana mereka
perlu mencadangkan konsep filem pendek yang ingin mereka rakamkan. Namun begitu,
pensyarah mereka Prof. Bazri seringkali menolak mentah-mentah konsep yang
mereka bentangkan dengan alasan konsep yang mereka ketengahkan itu tidak realistik
atau terlalu kompleks untuk dieksekusikan.
Situasi mulai menjadi tegang
apabila konsep sulung yang diketengahkan oleh mereka bertiga keesokan harinya
menjadi tajuk utama akhbar. Suatu pembunuhan yang mirip benar dengan skrip yang
Samuel tulis telahpun terjadi dan ini menimbulkan rasa cuak di kalangan mereka
dan juga pensyarah mereka sendiri. Mengandaikan yang ia hanyalah suatu
kebetulan yang tidak disengajakan, mereka bertiga hanya pandang sebelah mata
dan mencadangkan konsep yang baru. Walaubagai manapun, Prof. Bazri tetap
menolak konsep filem mereka itu, dan seperti yang dijangka-jangkakan keesokan
harinya konsep itu menjadi suatu realiti dengan adanya satu lagi kes pembunuhan
ngeri yang menggunakan stail dan ciri-ciri yang serupa dalam skrip yang
dibentangkan itu.
Novel Fixi yang aku kira antara
paling nipis antara keluaran sebelumnya (Cekik juga agak nipis) aku dapat
habiskan dalam satu sesi pembacaan sahaja. Separuh jalan membaca aku sudahpun
dapat meneka dengan tepat siapakah pembunuhnya, tetapi aku tetap membaca hingga
selesai kerana mahu tahu bagaimanakah Ngeri disudahkan. Agak kecewa kerana
Ngeri tidak cukup berdarah, tidak cukup ganas, tidak cukup kejam.
Aku terpanggil untuk teringat
sedikit cuplikan novel It karya Stephen King, di mana seawal halaman 24 lagi
nuansa seram/kejam/ganas yang aku dambakan sudah wujud. Bagaimana badut aneh
itu berjaya memanggil George Denbrough yang kecil itu untuk berhenti di tepi
parit, menawarkan segugus belon multi-warna dan akhirnya menarik putus lengan
anak kecil itu dengan sekali rentap, membiarkan mayat anak kecil itu memandang
kosong ke langit yang kehujanan, tidak lagi bernyaw. Namun begitu,
membandingkan antara Ngeri dengan It ternyata agak tidak berketepatan tetapi
aku tidak dapat untuk mengelaknya.
"Shooting dokumentari biasanya tidak bergantung kepada skrip. Skrip hanyalah sebagai panduan. Dokumentari bergantung kepada subjek yang terpilih untuk melambangkan topik itu, [...] Profesor hanyalah subjek untuk didokumentari. Dia berhak melakukan apa sahaja untuk mengubah jalan cerita dokumentari sepenuhnya. Dialah cerita utama dalam dokumentari yang dibintanginya."
- Samuel, minggu 17, halaman 185.
Apa yang boleh aku katakan ialah
aku AMAT MENYUKAI penyudah novel Ngeri walaupun ia agak klise dan mampu dijebak
dengan mudah. Aku amat-amat megesyorkan Ngeri dibaca, khususnya remaja-remaja
muda dan tidak mustahil kalau suatu hari nanti ia dijadikan teks wajib dalam
komponen sastera di sekolah-sekolah. Mudah-mudahan.
Ulasan
Terima kasih untuk review ini. Sememangnya amat berguna untuk saya apabila mengetahui feedback daripada pembaca supaya saya boleh memperbaiki seni lagi. Keep the reading spirit going!