192: [siri ulasan buku] #07 - jerat karya dayang noor.


Jika hendak menyimpulkan novel Jerat karya Dayang Noor dalam hanya satu patah perkataan sahaja, aku akan memilih perkataan 'unputdownable'. Novel setebal 303 halaman ini bermula dengan kisah dua orang individu penting kepada keseluruhan plot cerita dibunuh secara kejam, dan watak utamanya pula yang bernama Shereen nyaris maut dalam satu kemalangan. Akibat daripada kemalangan itu Shereen koma, hilang ingatan dan harus bermula dari sifar; mengupas satu persatu kisah silamnya dalam jejak untuk menyiasat perkaitan dua pembunuhan itu dan juga cubaan bunuh ke atasnya.

Penulisnya, Dayang Noor, ternyata bijak menggunakan ilmunya yang mendalam terhadap dunia IT, teknologi komputer dan pembinaan software dalam novel ini. Berkhidmat sebagai seorang Eksekutif IT, tidak mustahil untuk penulis menggunakan pengetahuan yang ada untuk menjadi teras utama kepada penceritaan dalam Jerat. Bahasa yang digunakan mudah dan direct to the point. Aku akui, terlalu banyak code switching antara Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, tetapi bukankah kita rakyat Malaysia moden bercakap sebegitu? Jerat sarat dengan terminologi sistem komputer yang kadang-kadang membikin aku garu kepala sendiri sebab tidak faham. Lebih-lebih lagi pada suku terakhir novel tersebut apabila watak-wataknya bermain dengan sistem server, kod-kod komputer yang kompleks dan istilah-istilah khusus perkomputeran yang aku akui amat sedikit yang aku tahu.

Jerat bergerak dengan agak laju, tanpa aku sedari aku sudah membaca tujuh puluh halaman dalam satu sesi bacaan. Ternyata amat sukar untuk aku berhenti membaca kerana ingin segera tahu apa yang bakal Shereen lakukan selepas ini. Pembaca akan ikut terbawa untuk berasa simpati dan mahu Shereen agar lekas tersentak dan memperoleh ingatannya kembali kerana tanpa dia sedari sebenarnya dia berada di tengah-tengah gunting dalam lipatan yang pada bila-bila masa sahaja berkemampuan untuk menamatkan riwayatnya setelah cubaan sulung untuk membunuhnya sebelum ini ternyata gagal. Konspirasi di belakang tabir syarikat, ditambah pula dengan skandal sesama pekerja yang berlaku selepas waktu pejabat berbaur menjadi suatu kisah penuh suspens. Terasa macam membaca kisah Nancy Drew versi dewasa pun ada juga.

Terkadang aku fikir ada bagusnya Shereen hilang ingatannya. Gara-gara amnesia yang dialaminya, Shereen mampu bersikap polos dan berwaspada terhadap orang di sekelilingnya. Semua orang berpotensi untuk menjadi ancaman kepadanya. Transisi Shereen yang seolah-olah ‘lahir kembali’ diceritakan dengan kemas, dengan imbas kembali yang tersisip kemas dalam perenggan-perenggan pendek agar momentum keseluruhan cerita tidak terjejas. Shereen yang dahulu dan Shereen yang sekarang memang jauh berbeza. Dia sendiri akui dan mula mempelajari bahawa dia yang dahulu merupakan seseorang yang banyak bergelumang dengan dosa. Hikmah dia terlantar koma dan hilang ingatan, inilah titik tolak untuk dia berubah menjadi individu yang lebih baik.

Melia, perempuan yang so-called BFF kepada Shereen, Rizwan yang dulunya suatu ketika dahulu pernah berpacaran dengan Shereen, Tash rakan satu wad dengan Shereen ketika dia terlantar di hospital sebaik sahaja sedar dari koma yang panjang dan juga Adele, kenalan lama Shereen yang sanggup berhenti kerja dari Microsoft di luar negara semata-mata untuk kembali ke syarikat lama; keempat-empat watak ini memainkan peranan yang amat krusial kepada keseluruhan jalan cerita. Sukar untuk aku jangka siapa yang sebenarnya dalang dalam kisah ini.

Siapa sebenarnya yang benar-benarkan Shereen mati?

Itulah yang akan sentiasa bermain di fikiran pembaca.

"Don't be too surprised, darling. Perempuan zaman sekarang ramai yang dah tak kisah. Tapi ramai jugak yang terpaksa buat macam tu, kalau tak jantan-jantan tu buat tak layan. Kita layan nafsu dia, baru dia layan kita baik-baik. Guys use love for sex, women use sex for money. That's life, dear."
- Melia, bab 9 halaman 116.

Kalau diteliti, keempat-empat watak yang disebutkan tadi punya alasan untuk mahu lihat Shereen mati. Enggan untuk membikin suatu spoiler, aku hanya boleh simpulkan bahawa pengakhiran Jerat merupakan suatu yang tidak aku sangka-sangkakan. Apa yang pasti, hal yang aku sudah suspek terhadap watak Melia itu ternyata akuret seperti jangkaanku tatkala membaca epilog novel Jerat ini.   

Ulasan

SUDUT MATA SAYA berkata…
wah! kau dah beli jerat! jeles!
[sutera kasih] berkata…
rajinnnya baca buku tebal2 ^^

ni kira review buku dh kan..menarik2
shandye. berkata…
@SUDUT MATA SAYA: beli masa ke event Art For Grab tempoh hari. mmg best! wajib baca!
shandye. berkata…
@[sutera kasih]: hehehe... sementara assignment tak banyak, sementara masih ada masa senggang macam ni la sempat baca. nnt bila dah mula bz dgn tesis dan sebagainya mesti dh takde masa nk baca novel. hehehehe....
SUDUT MATA SAYA berkata…
untunglah blh pegi art for grabs sbb dekat. aku yg kat pulau ni tak dpt nak jejak pun.
Pondok Usang berkata…
ku tambah komen ini jadi 6.. =)