Jika hendak menyimpulkan novel
Jerat karya Dayang Noor dalam hanya satu patah perkataan sahaja, aku akan
memilih perkataan 'unputdownable'. Novel setebal 303 halaman ini bermula dengan
kisah dua orang individu penting kepada keseluruhan plot cerita dibunuh secara
kejam, dan watak utamanya pula yang bernama Shereen nyaris maut dalam satu
kemalangan. Akibat daripada kemalangan itu Shereen koma, hilang ingatan dan harus
bermula dari sifar; mengupas satu persatu kisah silamnya dalam jejak untuk
menyiasat perkaitan dua pembunuhan itu dan juga cubaan bunuh ke atasnya.
Penulisnya, Dayang Noor, ternyata
bijak menggunakan ilmunya yang mendalam terhadap dunia IT, teknologi komputer
dan pembinaan software dalam novel ini. Berkhidmat sebagai seorang Eksekutif
IT, tidak mustahil untuk penulis menggunakan pengetahuan yang ada untuk menjadi
teras utama kepada penceritaan dalam Jerat. Bahasa yang digunakan mudah dan
direct to the point. Aku akui, terlalu banyak code switching antara Bahasa
Inggeris dan Bahasa Malaysia, tetapi bukankah kita rakyat Malaysia moden
bercakap sebegitu? Jerat sarat dengan terminologi sistem komputer yang
kadang-kadang membikin aku garu kepala sendiri sebab tidak faham. Lebih-lebih
lagi pada suku terakhir novel tersebut apabila watak-wataknya bermain dengan
sistem server, kod-kod komputer yang kompleks dan istilah-istilah khusus
perkomputeran yang aku akui amat sedikit yang aku tahu.
Jerat bergerak dengan agak laju,
tanpa aku sedari aku sudah membaca tujuh puluh halaman dalam satu sesi bacaan. Ternyata
amat sukar untuk aku berhenti membaca kerana ingin segera tahu apa yang bakal
Shereen lakukan selepas ini. Pembaca akan ikut terbawa untuk berasa simpati dan
mahu Shereen agar lekas tersentak dan memperoleh ingatannya kembali kerana
tanpa dia sedari sebenarnya dia berada di tengah-tengah gunting dalam lipatan
yang pada bila-bila masa sahaja berkemampuan untuk menamatkan riwayatnya
setelah cubaan sulung untuk membunuhnya sebelum ini ternyata gagal. Konspirasi
di belakang tabir syarikat, ditambah pula dengan skandal sesama pekerja yang
berlaku selepas waktu pejabat berbaur menjadi suatu kisah penuh suspens. Terasa
macam membaca kisah Nancy Drew versi dewasa pun ada juga.
Terkadang aku fikir ada bagusnya
Shereen hilang ingatannya. Gara-gara amnesia yang dialaminya, Shereen mampu
bersikap polos dan berwaspada terhadap orang di sekelilingnya. Semua orang
berpotensi untuk menjadi ancaman kepadanya. Transisi Shereen yang seolah-olah ‘lahir
kembali’ diceritakan dengan kemas, dengan imbas kembali yang tersisip kemas
dalam perenggan-perenggan pendek agar momentum keseluruhan cerita tidak
terjejas. Shereen yang dahulu dan Shereen yang sekarang memang jauh berbeza. Dia
sendiri akui dan mula mempelajari bahawa dia yang dahulu merupakan seseorang
yang banyak bergelumang dengan dosa. Hikmah dia terlantar koma dan hilang
ingatan, inilah titik tolak untuk dia berubah menjadi individu yang lebih baik.
Melia, perempuan yang so-called
BFF kepada Shereen, Rizwan yang dulunya suatu ketika dahulu pernah berpacaran
dengan Shereen, Tash rakan satu wad dengan Shereen ketika dia terlantar di
hospital sebaik sahaja sedar dari koma yang panjang dan juga Adele, kenalan
lama Shereen yang sanggup berhenti kerja dari Microsoft di luar negara
semata-mata untuk kembali ke syarikat lama; keempat-empat watak ini memainkan
peranan yang amat krusial kepada keseluruhan jalan cerita. Sukar untuk aku
jangka siapa yang sebenarnya dalang dalam kisah ini.
Siapa sebenarnya yang
benar-benarkan Shereen mati?
Itulah yang akan sentiasa bermain
di fikiran pembaca.
"Don't be too surprised, darling. Perempuan zaman sekarang ramai yang dah tak kisah. Tapi ramai jugak yang terpaksa buat macam tu, kalau tak jantan-jantan tu buat tak layan. Kita layan nafsu dia, baru dia layan kita baik-baik. Guys use love for sex, women use sex for money. That's life, dear."
- Melia, bab 9 halaman 116.
Kalau diteliti, keempat-empat
watak yang disebutkan tadi punya alasan untuk mahu lihat Shereen mati. Enggan untuk
membikin suatu spoiler, aku hanya boleh simpulkan bahawa pengakhiran Jerat
merupakan suatu yang tidak aku sangka-sangkakan. Apa yang pasti, hal yang aku
sudah suspek terhadap watak Melia itu ternyata akuret seperti jangkaanku
tatkala membaca epilog novel Jerat ini.
Ulasan
ni kira review buku dh kan..menarik2