143 karya Pingu Toha merupakan sekuel kepada L.U.V.E yang baru sahaja aku ulas dalam siri ulasan buku tempoh hari. 143 menyambung kisah tertangguh dari L.U.V.E, mengambilkira kisah tiga pasangan manusia dalam tiga pembahagian plot cerita yang berbeza. Kisah pertama antara Uth dan Lana, kisah kedua antara Keri dan Elina dan kisah ketiga antara Vee dan Bucks. Setahun selepas berakhirnya ketidakhabisan kisah Uth dan Lana iaitu setahun selepas L.U.V.E, Uth kini bergelar seorang novelis, penulis lirik dan entah apa lagi kerja yang dia buat (aku tidak begitu ambil pusing). Lana masih berlakon, dan masih lagi mengharapkan agar Uth akhirnya memberanikan diri untuk menyuarakan isi hatinya agar mereka akhirnya boleh bersatu.
Sekali lagi pembaca disajikan dengan kisah cinta bersegi-segi dalam 143 sehinggakan ada beberapa ketika aku mula rasa keliru (campur bosan sebab pergerakan plotnya yang agak perlahan). 143 merupakan sebuah novel tebal. 521 halaman yang sarat dengan komplikasi turun-naik emosi si Uth, Lana, Elina, Keri dan entah siapa-siapa lagi ternyata pada pendapat aku gagal mencapai ekspaktasi aku kerana pada mata aku, L.U.V.E sudah cukup bagus tetapi 143 sedikit mengecewakan. Agak meleret dan aku ternanti-nanti puncak inzal (nah, cik Zara aku sudah pandai guna perkataan itu!) namun aku dikecewakan kerana penghabisan setiap bahagian sedikit hambar.
Plot cerita terungkai dengan baik, dengan tiga susunan kisah yang berbeza tapi saling berkait. Penulis bijak mempamerkan kreativiti penyampaian cerita sebab bukan sahaja ada naratif dan lontaran dialog (oh, bagi saya dialog watak-watak dalam 143 masih lagi cheesy dan tak natural, maaf) tetapi juga lirik lagu, sajak/puisi dan juga surat-surat dan emel. Ya, dengan mengaplikasikan elemen-elemen ini, penceritaan tampak realistik dan bersahaja. Sesuatu yang pada hemat aku merupakan kekuatan sebenar penulis. Namun, aku tidak nafikan 143 agak meleret naratifnya. Ada sesetengah chapters yang aku hanya baca sekali imbas sebab pada amnya aku sudah tahu apa isi kandungannya.
143 tiada sebarang kejutan. Seperti yang aku bicarakan pada awal tadi, ia dibahagikan kepada tiga aliran kisah tiga pasangan yang berbeza (yang semuanya punya perkaitan dengan Uth) namun penyudahnya tiada apa yang menerujakan. Aku enggan menyajikan sebarang spoiler tetapi sehabis (atau menghampiri habis) satu-satu bahagian (ingat, ada tiga bahagian kesemuanya) aku akan bilang pada diri sendiri, “Ceh macam dalam drama/filem _____.”) dan bikin aku geleng kepala. Salah-satu bahagian itu mengingatkan aku pada drama berantai Dejavu Di Kinabalu (mungkin kerana drama tersebut paling terkini yang aku tonton).
Namun 143 punya kekuatan tersendiri, lebih-lebih lagi dari huraian emosi setiap watak dalam ketiga-tiga bahagian cerita. Aku paling suka bagaimana Vee dipersembahan kepada pembaca (ingat, aku seorang pembaca yang amat pentingkan character development berbanding plot asas cerita) sebab aku rasa Vee merupakan seorang wanita yang kompleks tetapi berjiwa mudah. Bagi aku, kalau ceritanya mantap sekalipun tetapi wataknya mendatar macam kertas kajang aku akan simpan novel itu dan enggan baca hingga habis (contohnya siri Twilight Saga yang aku tidak habis baca kerana jelak dengan watak Bella Swan yang pathetic nak mampus itu. Di sini, penulis, yakni saudara Pingu Toha sekali lagi menayangkan kemahiran beremosi beliau dengan cemerlang kerana watak-watak dalam 143 aku kira hidup dengan penceritaan tentang pergolakan emosi masing-masing. Cuma aku kira agak kelakar (atau mungkin kurang macho/maskulin?) apabila watak lelaki seperti Uth dan Bucks yang bercerita. Entah, rasanya bab-bab nak beremosi bagai ini wajar dibiarkan khas untuk para wanita/gadis sahaja. Ya, tak?
Apa-apapun, 143 merupakan bahan bacaan yang 'agak' santai yang menarik. Wajar dibaca oleh golongan muda atau mereka yang perasan muda (macam aku, mungkin?).
Ulasan