255: [siri certot!] #01 - hilang.


Sebenarnya aku sering upload certot (cerpen ketot) aku di blog aku yang satu lagi. Tapi disebabkan oleh sebab-sebab tertentu, blog itu aku telahpun privatekan. Makanya, atas niat sekadar ingin berkongsi, aku bikin juga entri yang akan himpunkan certot-certot aku (sama ada yang dah published atau belum) kat dalam siri certot! ni.

Certot bertajuk 'Hilang' ini aku tulis bersempena dengan kontes Fixi baru-baru ini. Alhamdulillah, aku antara tiga yang bertuah yang memenangi senaskah novel 'Hilang' karya kedua Kak Dayang Noor. Novel sulung beliau, bertajuk 'Jerat' sudahpun aku ulas September tahun lepas. 

Bulan ini, rilis pula 'Hilang'. 

klik SINI untuk beli secara online.

Aku belum berkesempatan untuk baca 'Hilang' sebab naskah yang aku menangi itu masih lagi berada di Pulau Pinang dan ketika kalian sedang membaca entri ini aku (mungkin, insyaAllah) dalam perjalanan pulang ke kampung halaman yang tercinta. Aceewah.

Anyways, without further due... enjoice!


-----


Soraya celikkan mata. Kepalanya terasa maha berat, seperti mahu tertanggal dari leher. Semuanya tampak normal, cuma bilik yang tadinya kemas tersusun kini berantakan. Kurang setengah jam tadi dia baru sahaja disamun. Dua orang lelaki bertopeng Ultraman datang menyerbu setelah dia mendengar pintu kamarnya diketuk. Yang seorang laju sahaja himpit dia ke lantai, hujung pisau dapur kemas teracu ke lehernya menyeyapkan dia kalau dia meronta. Yang seorang lagi laju sahaja menggeledah biliknya.

“Mana? MANA? KAT MANA KAU SIMPAN?!”

Entah apa yang dua setan itu cari Soraya tidak tahu. Dia cuma seorang pelajar senibina tahun akhir yang baru sahaja usai praktikal di sebuah firma. Proses menterbalikkan dekor bilik itu memakan masa tidak sampai dua minit namun masa terasa bergerak maha perlahan, seperti setengah jam lamanya. Mungkin kerana gagal menemui apa yang dicari, dua brengsek itu bergegas keluar. Sebelum itu, satu penumbuk padu tepat diberi ke wajah Soraya, betul-betul di tengah-tengah matanya. Yang lagi seorang menyepak perutnya sehingga Soraya terduduk. Pandangan Soraya segera berpinar, berbintang sebelum bergelap. Tinggallah Soraya kembali sendiri dengan pintu bilik dihempas kasar.

Itu kisah setengah jam tadi.

Soraya pandang sekeliling, pastikan tiada apa yang hilang. Wang tabungannya untuk ke Krabi bulan depan bersama kekasihnya Mellinda masih tersisip kemas di dalam perut bekas pensel Domo-kun. Laptop Acer milik kekasihnya itu juga tidak terusik. Soraya belek fail-fail di laptop, khuatir ada yang diusik atau dipadam. Blackberry jumpa di stesen Hang Tuah yang kini miliknya itu juga tidak dikebas sialan dua ekor itu. 

Habis apa yang hilang?

Soraya tongkat tubuh untuk ke muka pintu. Payah. Mukanya terasa sengal dan agak sukar untuk bernafas. Dia tidak berani untuk sentuh kawasan yang sakit itu sebab dia yakin hidungnya patah. Dengan segala kudrat bersisa Soraya keluar dari biliknya. Seorang perempuan Cina sedang mendukung Pekingese berjalan laju-laju menembusinya. Soraya kini tahu apa yang hilang. 

Nyawanya sendiri.

Ulasan