252: [siri ulasan buku] #18 - L.U.V.E karya pingu toha.


Sebelum aku membebel lebih jauh, aku aku ucap terima kasih kepada Pingu Toha sebab hadiahkan aku tiga novel keluaran Jemari Seni Publishing (JS). Tiga-tiga novel nukilan beliau. Makan hati, okay? Rupanya-rupanya lelaki kacak berkaca mata bernama Pingu Toha tu dah ada tiga novel bawah nama beliau. Terasa kecil bila duduk semeja dengan beliau tempoh hari. L.U.V.E merupakan novel pertama terbitan JS yang pernah aku baca. Yelah, selama ni asyik baca dan ulas novel terbitan FIXI je, sesekali ubah selera tak salah, bukan?

L.U.V.E karya sulung Pingu Toha boleh disimpulkan sebagai sebuah novel yang catchy namun klise. Plot yang terungkai jelas dengan landasan ala chic lit seperti kebanyakan karya komedi-romantik kebanyakan tulisan novelis Barat. Sesuatu yang boleh dipuji kerana bagi aku walaupun L.U.V.E biasa-biasa sahaja ceritanya, tetapi setidak-tidaknya ia tidak seperti novel cinta tipikal yang memenuhi toko buku bahagian Novel Melayu. Aku cakap L.U.V.E ini catchy sebab setiap babak demi babak ditulis pendek-pendek dan progressive jalan ceritanya selanjar dengan perkembangan watak. Pendek kata, tidak meleret dan merapu-raban.
Gaya bahasanya santai dengan banyak code-switching di sana-sini. Memang tipikal Pingu Toha. Kalau berbual dengan sang penulisnya secara bersemuka pun dia memang gemar berbahasa Inggeris campur-campur Bahasa Melayu. Almaklumlah, orang berpelajaran tinggi rasanya memang begitu barangkali? Cuma apabila membaca L.U.V.E aku agak terganggu dengan dialog-dialog watak-watak di dalam novel tersebut. Semacam sedikit forced dan tidak natural. Sebetulnya sebagai seorang lelaki berusia 23 tahun yang berpelajaran Sains Fizik, keluarga yang sedikit Western-oriented dan dikelilingi rakan-rakan yang ada di kalangannya bukan Melayu, tetapi dialog yang terpacul agak… skema.

Monolog dalaman yang digilirkan dengan plot sebenar agak terkesan cuma kadang-kadang aku rasa agak hiperbola (keterlaluan). Walaubagaimana pun aku suka sebab dengan cara itu kita dapat tahu isi hati si Uthman Huzir yang digambarkan sebagai sedikit pemalu dan punya inferiority complex. Jujurnya aku mencuba untuk suka pada watak Uthman (atau lebih dikenali sebagai Uth) tetapi kadang-kadang aku rasa macam mahu tampar dia dan tolak dia ke tengah jalan raya yang sibuk. Bagi aku sifat pemalunya terlalu tebal sehingga dia kelihatan agak emasculated dalam L.U.V.E. Buat bandingan sisi dengan si watak sampingan bernama Keri (yang hanya pada tiga halaman terakhir novel baru tahu nama penuhnya Ahmad Mukhri dan ternyata seorang Muslim), Uthman tampak tiada visi, tiada matlamat dan pada suatu bab agak pathetic.

Ok. Mungkin aku agak kejam terhadap watak Uthman. Tetapi aku akui Uthman bukan your typical jock in a business-suit, watak klise nak mampus yang sering kita jumpa dalam novel-novel cinta bahasa Melayu. Selalunya watak hero dalam kisah cinta novel bahasa Melayu mestilah a) kacak, b) berharta (antara sudah tahu dia kaya atau tidak, itu belakang kira), c) jahat dahulu kemudian akan dibaik dan dialimkan oleh watak heroin (atau sebaliknya), d) punya nama yang mampu buat anda dikejarkan ke hospital kerana tergeliat lidah menyebutnya, e) punya ego setebal Kamus Dewan dan f) walaupun egonya setinggi Everest tetapi dia punya daya sabar yang amat tidak logik tingginya. Dan Uthman tidak termasuk dalam ciri-ciri stereotipikal klise seperti yang dinyatakan di atas. Sebab itulah walaupun aku akui aku agak annoyed dan terkadang benci akan Uthman (sebab dia agak lembik!), pada masa yang sama aku suka Pingu Toha tidak menzahirkan satu lagi watak klise yang aku benci (baca: watak hero dalam novel Ombak Rindu, Seindah Sakura dll).

Hubungan jerat percintaan pentagon Uthman-Lana-Vee-Elina-Keri berbelit-belit tetapi diseimbangkan dengan baik. Cuma aku fikir L.U.V.E agak nipis dan semacam tidak puas baca. Elina dan Uth pernah ada lipatan sejarah bersama, tetapi entah macam mana boleh putus di tengah jalan dan kini masih bersahabat baik. Namun dalam diam masing-masing tidak nafikan yang cinta itu masih ada. Keri temannya si Uth cintakan Lana separuh mati tetapi dia seperti dapat rasakan yang dia bertepuk sebelah tangan sebab Lana menaruh hati terhadap Uth. Vee, teman serumah merangkap sepupu (kalau tak salah, aku baca L.U.V.E agak buru-buru untuk pastikan hal ini) kepada Lana pula syok habis pada Uth dan Uth tahu cuma Uth tidak dapat menerima Vee kerana hati Uth ada pada Lana. Tambahan pula si Vee itu aku baca agak psiko, clingy dan semacam orangnya. Creepy. Oh, dan siapa pula si Leo yang muncul di saat-saat akhir?

“We can be a little stupid at times, when emotion is overwhelming.”
- Elina. Bab 48, halaman 198.

Jadi apa penyudah kisah L.U.V.E? Siapa pilih siapa dan siapa pula yang akan kecewa gigit jari hingga bawa diri terbang merentasi samudera (dengan alasan… oh, klisenya… sambung belajar)? Sila beli/pinjam/curi L.U.V.E dan baca sendiri untuk tahu.

Oh, aku sekarang sedang baca 143, sekuel kepada L.U.V.E.

=)

nota kaki: Abang Fikret Rahman tu mesti cando, kan Pingu? #pitam

Ulasan