Setelah sedekad berlalu, sifu genre slasher-flick Wes Craven kembali dengan kontinuasi fracais Scream 4. Tiada beza daripada sekuel terdahulu kerana ia masih lagi menggunakan resipi yang sama. Apa yang beza hanyalah barisan pelakon muda yang dikira tidak ubah sekadar strategi pemasaran untuk menarik penonton baru datang ke panggung. Maklum sajalah jarak antara Scream 3 dan filem ini adalah 10 tahun, makanya sudah tentu suatu pembaharuan perlu dilakukan untuk memastikan kesegaran nuansa ceritanya.
Masih lagi mengekalkan konsep intro filem menampilkan babak ada gadis cantik-seksi-tetapi-bodoh-nyawa-pendek mati dibunuh seperti sekuel yang terdahulu. Agak tidak memeranjatkan apabila filem kali ini menampilkan muka-muka baru dan terkenal seperti Kristen Bell (Forgetting Sarah Marshall), Lucy Hale (Pretty Little Liars), Anna Paquin (True Blood) dan Shenae Grimes (90210) sebagai gadis-gadis intro. Cuma penulis sedikit kecewa kerana mereka hanya muncul sekejap dan tidak epik seperti Drew Barrymore dibunuh dengan penuh sadis dalam Scream (1996).
FIlem dimulakan dengan Sydney Prescott (Neve Campbell) kembali ke Woodsboro setelah sekitar 15 tahun berlalu sejak pembunuhan yang pertama berlaku di situ untuk mempromosikan buku autobiografinya yang terbaru, hanya untuk dikejutkan dengan mukadimah satu pembunuhan terancang oleh Ghostface. Ya, modus operadi si pembunuh bertopeng putih itu masih serupa – telefon mangsa terlebih dahulu, kejar-kejar di kawasan sunyi dan agak tertutup dan tikam dengan menggunakan pisau (yang nampak seperti pisau Rambo tetapi penulis kurang pasti). Sydney ditemukan semula dengan Dewey (David Arquette) yang sudah bergelar syerif veteran dan isterinya Gale Weathers (Courtney Cox) yang tidak lagi bekerja sebagai wartawan tetapi bercita-cita untuk menghidupkan semula kariernya yang sudah mati; dua wajah lama daripada siri Scream terdahulu yang masih lagi terselamat daripada dibunuh.
Jill Roberts (Emma Roberts), sepupu kepada Sydney dan Kirby (Hayden Panettiere) dan rakan-rakan sekolah mereka yang lain secara terus terbabit dalam situasi kucing-dan-tikus apabila satu demi satu rakan mereka maut di tangan Ghostface gara-gara kemunculan Sydney di Woodsboro. Mulanya penulis mengeluh apabila mendapati bahawa Hayden membawa watak bersifat Tatum (watak sampingan pembawa ceria dan kemeriahan) namun wataknya bukanlah tipikal gadis rambut perang bertetek besar yang bodoh kerana wataknya pintar, berpersonaliti dan berani. Oh ya, dan lakonan Hayden sangat mantap dalam filem ini. Dengan berdasarkan francais filem Stab (filem yang digarap berdasarkan kisah pembunuhan Woodsboro, dengan Sydney sebagai rujukan utama), Ghostface si pembunuh itu memanipulasikan elemen-elemen yang sepatutnya ada dalam sesebuah filem seram yang dibikin semula untuk era-21 seperti Halloween, Amityville Horror dan Saw.
Scream 4 mengambil intipati sebuah filem seram lama dan memodenkannya untuk dipadankan pada masa sekarang. Penggunaan iPhone, app suara Ghostface dan juga vlog harian merupakan hal terkini. Hakikatnya, sukar untuk mengkategorikan sama ada penulis suka atau tidak sambungan keempat filem Scream ini. Tiada sebarang pembaharuan ketara yang dilakukan oleh pengarahnya, baik dari segi sinematografi ataupun teknik penceritaannya. Namun, istimewanya francais Scream yang membuat penonton tertanya-tanya siapakah di sebalik topeng putih Ghostface itu masih lagi menjadi kekuatan kepada filem tersebut. Ya, olahan skripnya bijak seperti sekuel yang terdahulu. Penulis akui, sekali lagi tekaan tidak mengena. Dalam Scream 3, siapa sangka si pengarah wajah inesen Roman Bridger (Scott Foley) itu merupakan pembunuhnya. Dalam Scream 4 mungkin soalan “Siapa pembunuhnya?” boleh ditukar kepada “Mengapa dia yang membunuh?”. Kalau penonton bijak dan memerhati dengan teliti, pasti penonton boleh meneka dengan agak akuret.
Penggemar francais Sream pastinya mahu menonton sambungannya dalam filem ini. Bagi yang baru hendak mengenali Woodsboro dan kisah pembunuhan lampau yang dilalui oleh Sydney dan rakan-rakannya yang (masih) lagi terselamat, Scream 4 banyak membuat rujukan kepada sekuel terdahulu makanya penonton tidak akan berasa kehilangan. Secara amnya, Scream 4 masih mengekalkan formulasi yang sama dan tidak berusaha untuk menjadi filem lain. Ia merupakan perkaitan dan ekpansi daripada sekuelnya yang terdahulu. Dalam erti kata lain, ia tidak pretentious.
Ulasan
JP: im glad u like the review. this is my main blog. tqvm. hehehe....