019: [siri ulasan filem] #01 - cun.

Jujur saya jelaskan bahawa saya jarang mahu menonton filem Melayu. Saya hanya akan terpanggil untuk menonton filem lokal jika ia telahpun mendapat reviu yang baik di internet atau jika ia adalah hasil air tangan pengarah yang saya kagumi (Allayarham Yasmin Ahmad adalah antara yang teratas dalam senarai pengarah yang paling saya sanjungi). Minggu lepas saya berkesempatan untuk menonton filem Cun, arahan Osman Ali. Saya tergerak hati untuk menonton hanya kerana bersandarkan beliau juga merupakan pengarah untuk filem Anak Halal, salah satu daripada filem lokal kegemaran saya. Makanya saya mahu menonton apakah kelainan yang beliau ingin tampilkan dalam Cun.

Rasanya memang sangat berketepatan untuk menggandingkan Remy Ishak (Atan) bersama Maya Karin (Luna) kerana ternyata mereka memiliki kemistri yang unggul. Luna merupakan pengacara rancangan gosip yang berkonsepkan ala-ala terjahan Melodi yang lari dari plastik kota setelah mendapati teman lelakinya curang dan akhirnya tersangkut di sebuah kampung kecil. Dia ditemani Tom yang dilakonkan oleh Faezah Elai, yang pada saya sendiri amat berkesan lakonannya sebagai gadis kasar yang ranggi. Secara peribadi, saya fikir lakonan Faezah Elai jauh lebih baik daripada lakonan Maya Karin.

Plot keseluruhan filem Cun agak tipikal dan stereotaip, namun ia disusun dengan agak kemas dan santai dan ternyata bukan hidangan berat seperti filem Anak Halal. Dengan berlandaskan acuan ‘girl meets boy, girl befriended with boy, boy falls for girl but girl got some unsettled past issues’, pengakhiran filem Cun sudah boleh dijangka sekitar 10 minit pertama ia bersiaran. Jika penonton mengekpaktasi kisah cinta yang sarat dengan drama dan emosi makanya ini bukanlah filem yang sesuai.

Pengikat dan penguat filem ini sudah tentunya Kartina Aziz sebagai Tok Chah, nenek kepada Atan yang tidak perlu dinafikan lagi kebagusan lakonannya. Beliau adalah antara pelakon kegemaran saya. Diversiti watak yang digalas oleh pelakon veteran ini memang mengagumkan. Berilah watak apa sekalipun saya yakin beliau mampu membawanya dengan cemerlang. Oleh itu, saya nampak jelas mengapa beliau adalah pilihan yang paling sesuai untuk memegang watak Tok Chah.

Nadia Nissa (oh, saya berusaha untuk mengugel sedikit latarbelakang pelakon ini namun tidak bertemu dengan apa-apa informasi; dia pelakon baru, benar?) yang memegang watak Manis, adik kepada Atan benar-benar memeranjatkan saya. Pertama, untuk menzahirkan watak gadis lembam bukanlah mudah. Salah ditafsir, watak itu tak ubah akan menjadi jester plastik yang menjengkelkan. Namun Nadia Nissa mengangkat watak Manis dengan baik dan berjaya meruntun gejolak emosi penonton melalui transisi perubahan perasaan yang dipaparkan oleh beliau. Ada ketika kita akan ketawa dek ketelusan Manis, dan ada ketika kita akan (hampir) menangis dan mahu memeluk-cium dan menggosok-gosok rambutnya apabila dia dilanda kesedihan. Lakonan Nadia Nissa jujur dan tidak nampak seperti dipaksa. Syabas diucapkan kepada beliau.

Ryan (Jehan Miskin) dalam salah babak dalam Cun
Namun dalam sesebuah filem pasti ada item-item yang kurang menyengat. Gandingan Jehan Miskin (Ryan) teman lelaki Luna, dan Ning Baizura (Candy) kurang berkeyakinan. Saya sendiri tidak tahu di mana silapnya. Salah satu daripadanya mungkin daripada kostum dan mekap keterlaluan yang dikenakan pada kedua-dua pelakon tersebut. Memanglah Candy merupakan penerbit rancangan gosip yang dikendalikan oleh Luna, namun wajarkah dia memakai mekap tebal beserta bulu mata palsu lagak burung merak yang sedikit sebanyak menjadi distraksi kepada penonton? Saya bayangkan watak Ning akan jauh lebih menyerlah jika beliau tampil dengan imej eksekutif tetapi tetap berperangai gedik. Begitu juga dengan fesyen rambut ala-Korea Ryan yang saya fikir kelakar tak bertempat. Ya, dia merupakan selebriti tetapi penggayaannya itu sedikit hiperbola dan tidak masuk akal. Entahlah, itu hanya pendapat saya.

Dengan berlatarbelakangkan sawah padi, rumah-rumah kampung dan juga kerbau yang dimekapkan, Cun berjaya membawa kesegaran baru pada penceritaan yang lama. Filem ini penuh dengan elemen kekeluargaan dan uniti yang sesuai untuk ditonton oleh famili, rakan-rakan ataupun bersama teman istimewa. *ehem*


Notakaki #1: Tak sabar hendak tunggu ‘Senjakala’ lakonan dua pelakon kegemaran saya iaitu si kachak Zaharin Adzhim dan si chomel Liyana Jasmay.

Notakaki #2: Remy Ishak sangat kachak dalam Cun. Sangat kachak. Sekian.

Ulasan