374: [siri ulasan buku] #42 - pinjam karya anuar shah.

Apabila mendapat naskah berjudul PINJAM yang ditulis oleh seorang lelaki bernama Anuar Shah ini, payah untuk menyangka bahawa seorang peguam boleh menulis fiksyen kreatif sebegini. Mungkin kerana apabila kita mendengar profesion peguam, kita akan membayangkan seseorang yang serius, bekeng, tepat dan cepat, langsung tidak menyerupai karya pertama tulisan beliau ini.

Agak payah untuk melabelkan genre yang sesuai untuk diletakkan pada naskah ini. Separuh awalnya bagaikan ada acuan psychological-thriller, separuh pertengahannya pula aku menghidu elemen sai-fai, dan selebihnya ada juga bibit-bibit humanistic thriller. 

PINJAM merupakan sebuah karya yang bergerak perlahan, terlalu perlahan sebenarnya. Terlalu banyak back-story yang diceritakan sejak protagonis kecil, kemudian ada lagi menginjak kisah kisah pra-lahir protagonis yang diceritakan oleh beberapa lagi watak yang saling bertukar-ganti naratif, sehingga kau sebenarnya harus membaca karya ini dengan berhati-hati dan bijak membuat hubungkait antara watak-watak tersebut kerana khuatir kau akan putus asa dan akhirnya letak sahaja buku ini ke samping kerana 'letih' hendak berfikir (maklum sajalah, majoriti pembaca tempatan bukannya 'rajin' sangat hendak berfikir kalau hendak membaca naskah fiksyen santai *batuk* jeling group WhatsApp KRM *batuk* //inside joke//). Jujur aku katakan, naskah PINJAM ini hanya bermula untuk berasa menarik pada halaman 122 dan seterusnya kerana pada halaman inilah munculnya naratif tak bernama yang aku kira merupakan hook kepada keseluruhan cerita ini.

Teknik konstruksi naratif orang pertama pelbagai watak (first person point of view) yang digunakan dalam PINJAM mirip benar seperti konstruksi plot yang digunakan dalam novel keduaku iaitu KOYAK. Plot bergerak dalam kelajuan agak perlahan, dengan dibahagikan kepada 4 bahagian kecil iaitu 'Siakap Senohong', 'Gelama Ikan Duri', 'Bercakap Bohong' dan 'Lama-lama Mencuri' yang aku kira pintar namun tidak nampak relevan pembahagian sub-bahagian buku ini kepada empat. Nak katakan empat sub-bahagian ini merupakan penanda kepada perkembangan tumbesaran protagonis utama (seorang lelaki bernama Shahrom) pun tidak jugak, entahlah (#malasberfikir).

Selain daripada itu, snowball effect yang dibangunkan sedari awal pergerakan plot dalam PINJAM semacam kurang berkesan. Naratif cerita bagaikan hanya bermula pada 30 halaman terakhir dan aku mengandaikan bahawa jika aku membaca suku terakhir novel inipun aku tidak akan 'sesat' dan boleh memahami pergerakan cerita dengan hampir baik kerana banyak hal pada halaman-halaman terakhir inilah yang pada hemat aku merupakan dasar awal cerita dan yang selebihnya itu hanyalah back-story kepada keseluruhan cerita. Faham tak?


Agak kecewa dan berasa sedikit tertipu sebenarnya dengan keseluruhan premis cerita dalam novel PINJAM ini. Terlalu banyak ocehan yang tak sepatutnya ada diperpanjangkan semata-mata untuk memanjangkan naratif yang sepatutnya boleh diringkaskan lagi. Aku ambil contoh kisah sisi naratif Hasan dalam novel ini. Bagi aku, kalau sekadar diceritakan secara ringkasan pun tak menjejaskan naratif asal sebenarnya, tanpa perlu ditulis secara kritis dan terperinci, lengkap dengan anekdot dan lipatan cerita naratif Hasan itu sendiri. Ini yang menyebabkan naskah ini agak perlahan sebenarnya kerana aku tidak lihat fungsi naratif Hasan (dan juga beberapa lagi naratif watak lain dalam novel ini) diketengahan kalau kisah dasarnya hanyalah *SPOILER* kisah sebuah entiti misteri yang memasuki minda Zaharudin dan Shahrom dan seterusnya konflik perseteruan (yang bagi aku, apalah dendam Zaharudin pada Shahrom itu sebenarnya kalau setakat kisah bergaduh lebih-kurang sesama keluarga?) antara kedua-duanya yang akhirnya mengakibatkan salah seorang daripadanya terbunuh.

Kisah misterius entiti yang berkebolehan 'meminjam' dan memanipulasi minda manusia yang diketengahankan dalam PINJAM tidak diperjelaskan dengan baik, malah pada hemat aku bagaikan sengaja diceritakan secara sipi-sipi sahaja (aku hidu bahawa hal ini adalah kerana penulisnya mungkin, aku bilang mungkin, sengaja berbuat sedemikian kerana hendak memberi ruang untuk sekuel ataupun spin-off kepada PINJAM). Sayang, bagi sebuah naskah di mana bahasanya baik dan struktur naratifnya sudah bagus, ceritanya pula bagi aku biasa-biasa sahaja.

Ulasan