Setelah banyak benar rakan-rakan di Facebook yang merekomendasikan agar aku tonton Looper, akhirnya lunas juga petang tadi aku tontoni bersama seorang teman. Aku yang memang secara rutin dan sengajanya akan mengugel dan membaca halaman wikipedia berkenaan dengan filem yang bakal aku tontoni (terutama sekali filem luar) kerana mahu punya 'idea kasar' tentang sesebuah filem yang bakal menjadi jamu mataku, buat kali ini enggan untuk berbuat sedemikian. Cukuplah dengan berbekalkan cuplikan seorang rakan Facebook yang memberitahu bahawa Looper mengisahkan tentang seorang pembunuh upahan yang diupah untuk membunuh seseorang dari masa akan datang, dihantar ke masa sekarang agar identiti mereka lenyap di masa sekarang dan mendatang.
Bagi mereka yang pernah melihat Brick, filem arahan pertama Rian Johnson, pastinya akan dapat merasakan kesamaan dari segi teknik penceritaan dan sinematografinya yang boleh dianggap sedikit noir walaupun Looper ini merupakan sebuah filem bajet besar untuk arus perdana.
I work as a specialized assassin, in an outfit called the Loopers. When my organization from the future wants someone to die, they zap them back to me and I eliminate the target from the future. The only rule is: never let your target escape... even if your target is you.
- Joe
Looper, diarahkan oleh Rian Johnson, bermula pada tahun 2044, berlatarkan Amerika yang kacau-bilau setelah ekonomi dan undang-undang mulai goyah. Ditambah pula dengan peratusan kecil rakyatnya yang mengalami mutasi genetik dan mempunyai kebolehan telekinesis, Amerika pada masa itu digambarkan tidak jauh bezanya dengan sekarang. Cuma ada kenderaan terbang dan kebanyakannya menggunakan tenaga solar ataupun elektrik, dan bangunan pencakar langit yang mengagumkan. 30 tahun akan datang, pada tahun 2074, time travel merupakan suatu kenyataan tetapi ia segera dianggap sebagai melanggar undang-undang dan suatu jenayah. Joe (Joseph Gordon-Levitt) bekerja sebagai seorang 'looper', agen yang ditugaskan oleh sebuah kumpulan penjenayah untuk menghapuskan orang yang dikehendaki di masa akan datang. Kumpulan penjenayah ini akan menggunakan time travel sebagai suatu medium untuk menghantar orang yang hendak dihapuskan ke masa sekarang agar orang itu dapat dibunuh dan kesannya tidak dapat dijejak pada masa akan datang (2074). Namun apabila durasi kontrak si looper ini akan ditamatkan oleh ketua kumpulan tersebut, dirinya sendiri dari masa akan datang akan dihantar untuk dibunuh oleh si looper itu sendiri untuk 'menutup kontrak' tersebut.
Hendak dijadikan cerita, Seth (Paul Dano) rakannya si Joe ini gagal untuk 'menutup kontrak'nya sendiri dan mengakibatkan dirinya dari masa akan datang terlepas di masa sekarang. Sebelum si Seth itu mati dikerjakan oleh konco-konco kumpulan penjenayah senaungan mereka, dia sempat memberitahu tentang The Rainmaker, sekumpulan manusia dari masa akan datang yang bertindak untuk mengawal dan menutup kesemua 'loop' yang bersisa. Gara-gara informasi tersebutlah yang menyebabkan Joe ragu-ragu untuk menyelesaikan kontrak terkininya (yang sebenarnya merupakan dirinya sendiri dari masa akan datang, lakonan Bruce Willis). Joe dari masa akan datang ini pula datang ke masa semasa untuk menjejaki tiga Rainmakers (yang sekarang masih lagi kanak-kanak) dan berusaha untuk menghapuskannya agar masa depannya terjamin.
Menuju ke penghabisan cerita, Joe dari masa akan datang telahpun menghapuskan dua daripada tiga Rainmakers yang berjaya dijejakinya dan yang tinggal hanyalah Cid, seorang anak kecil yang tinggal serumah dengan Sara (Emily Blunt) yang menumpangkan Joe masa sekarang yang berjaya bertemu mereka terlebih dahulu. Ketika Joe masa sekarang bertemu dengan pasangan Cid-Sara inilah baru penonton tahu keberkuasaan the Rainmakers yang sebenarnya. Mereka ini adalah orang-orang terpilih yang mempunyai kuasa telekinetik luar biasa kuatnya dan bakal menjadi sangat berkuasa di masa akan datang.
Jalan cerita Looper agak mengelirukan dengan imbas hadapan dan imbas kembali yang disisip secara rawak, namun penonton tidak tergaru-garu kepala kerana ia dipersembahkan dengan naratif dari kaca mata Joe dengan sangat baik sekali. Ya, Looper memang bertunjangkan konsep time travel tetapi ia tidaklah menjadi persoalan utama seperti dalam filem Primer (yang pada hemat aku hingga ke hari ini sebuah filem saifai bajet rendah tentang time travelling paling awesome setakat ini!). Sepanjang menonton Looper, begitu banyak persoalan moraliti yang berlegar di benak. Seharusnya penonton mesti tinggalkan sisi agama dan nikmati tema konflik etika dan moraliti yang diketengahkan dalam filem saifai ini.
Aku rasa pengarahnya tidak ketinggalan mahu selitkan tribut kepada filem-filem (yang pada hemat aku beri pengaruh besar ke atas beliau) seperti Pulp Fiction dan Natural Born Killers dengan memasukkan babak-babak krusial awalan introduksi Joe dan pertembungan epik Joe sekarang dan Joe masa depan di sebuah kafe tepi jalan. Cuma aku harus akui aku agak terganggu dengan mekap tebal yang pada mata aku agak fake pada Joseph Gordon-Levitt untuk membuatkan dia tampak mirip seperti wajah Bruce Willis. Aku sudah terbiasa dengan wajahnya yang segar dan jambu dalam Inception, Dark Knight Rises dan 50/50, terasa seperti melihat orang lain dan bukannya dia yang sebenarnya.
Looper bukan sekadar filem saifai enteng yang sarat dengan kesan khas seperti kebanyakan filem bergenre serupa. Ia mengheret penonton untuk berfikir apa yang wajar dan apa yang tidak dalam keterdesakan yang tidak disengajakan.
Ulasan