292: [siri ulasan buku] #24 - cerpen karya nadia khan.

Novelis bestseller FIXI yang berjudul KELABU, Nadia Khan, diberi penghormatan untuk mengumpulkan 17 cerpen dan 3 skrip filem penden karya beliau dalam koleksi yang secara kreatifnya dinamakan CERPEN.  Apa yang menarik tentang buku ini ialah bagaimana (hampir) setiap satu cerpen dan skrip filem pendek yang ditulisnya itu disusun secara progresif, bermula dari cerpen 'Mana Dia Pergi' yang katanya dihasilkan pada Oktober 2009 sehinggalah ke cerpen 'Nakahari' yang aku kira paling terkini (sebelum cerpennya dalam antologi BOLA, mungkin?). Dari situ kita sebagai pembaca dapat lihat perkembangan Nadia Khan sebagai seorang penulis yang berbakat besar dan berjiwa muda, daripada bertatih menyertai sebuah Bengkel Penulisan Cerpen sehinggalah dikenali ramai oleh penggemar novel-novel FIXI dan novel cinta bukan arus perdana.

Terkini, beliau terjebak pula dengan pembikinan drama 'Aku, Dia dan Tong Sampah' yang baru kelmarin ditayangkan di TV9. Syabas buat Nadia! Mana tahu lepas ini mahu cuba-cuba bikin skrip untuk filem pula, mohon calling-calling lah ye? (Ceh, macamlah dia ada nombor telefon aku).

Di bawah aku sediakan ulasan serba ringkas untuk setiap cerpen dan skrip filem pendek yang terkandung dalam koleksi CERPEN ini.

1. Mana Dia Pergi (ditulis pada Oktober, 2009)
Terus terang kalau pernah baca novel KELABU atau cerpen-cerpen beliau yang terkini, cerpen ini akan terasa agak raw dan penulis seperti masih lagi tercari-cari ritma atau stail penulisan beliau yang tersendiri. Tetapi, sejujurnya dalam banyak cerpen yang termuat dalam koleksi CERPEN, aku paling suka yang ini.

Kisah yang bertunjangkan konsep penyakit Alzheimer ini mungkin tidak begitu menggigit, tetapi cukup terkesan. Naratifnya digarap kemas dan tidak meleret-leret (macam satu cerpen yang bakal aku ulas kemudian). Pendek kata, straight to the point. Apa-apapun, aku ada belajar satu terma baru dari cerpen ini, iaitu delayed grief reaction, suatu hal yang sebenarnya agak dekat dan peribadi buat aku.

2. Puaka Pak Jaha (diterbitkan di Mingguan Malaysia, 27/12/2009)
Aku mengetahui yang Nadia Khan merupakan seorang graduan jurusan perubatan agak lewat sebenarnya. Selepas menulis ulasan untuk KELABU dan selepas bertemu beliau buat pertama kali ketika launching antologi KOPI dulu pun aku masih tidak tahu. Hanya selepas event itu selesai dan aku berborak santai dengan tauke FIXI barulah aku tahu yang Nadia Khan seorang graduan jurusan perubatan.

Membaca cerpen ini membuatkan pembaca akan menaruh harapan dan gambaran yang amat-amat terpesong daripada klimaks dan penyudahnya. Ternyata penulis memang menggunakan pengalaman dan ilmu tentang perubatan yang beliau ada dengan sebaik mungkin dalam cerpen ini (dan hampir semua karya beliau sebenarnya ada nuansa perubatan kalau diteliti dengan baik).

Apapun, aku bersimpati dan tabik hormat pada Pak Jaha. Bukan senang hendak cari lelaki sebegitu di Malaysia sekarang, ye tak?

3. Pinjam Masamu, Kak (diterbitkan di majalah Tunas Cipta, Mac 2010)
Aku sebagai antara pengunjung tetap hospital sudah sedia maklum yang kalau menerima suntikan intramuscular kebasnya menjengkelkan hingga dua-tiga hari lamanya. Cerpen yang mengisahkan cuplikan hidup seorang doktor muda di wad kanak-kanak ini antara cerpen yang meninggalkan kesan kepada aku sebagai pembaca, untuk menilai sejauh mana sebenarnya kerelaan kita untuk berbuat sesuatu.

Adakah kita melakukannya atas rela hati atau sebenarnya, disuruh atau apakah itu sekadar memenuhi kehendak masyarakat? Renung-renungkanlah apa yang aku tulis ini.

4. Lara Di Hati (diterbitkan di Mingguan Wanita, 5-11 Mac 2010)
Aku, seperti penulis, juga tidak berpuas hati kenapa tajuknya harus ditukar menjadi sebegitu sedangkan pada hemat aku tajuk asalnya (Baliklah, Cik Su) rasanya lebih sesuai dan harus dikekalkan sebegitu. Aneh. Mungkin pihak penerbitan majalah berkenaan mahu sesuaikan ia dengan tema kewanitaan yang menyebabkan tajuknya ditukar kepada Lara Di Hati.

Sekali lagi aku hairan dan bertanya; "Celah mana yang lara dalam cerpen ni?"

Tentang isu cinta tak kesampaian yang disampaikankah? #garukepala

5. Cikgu Din (diterbitkan di Berita Minggu, 21/03/10)
Selepas menamatkan praktikal selama 16 minggu di Melaka, aku punya perspektif yang amat berbeza tentang para pendidik yang kita panggil cikgu sekolah. Benar. Hakikatnya beban yang mereka galas tidak tertanggung oleh manusia biasa.

Di sekolah, menurut observasi aku, ada dua jenis cikgu sebenarnya: yang sekadar mahu lekas habiskan silibus dan yang mahu bukan sahaja kejar silibus tetapi mengajar manusia menjadi manusia. Aku rasa Cikgu Din dalam cerpen ini tergolong dalam kategori yang kedua.

6. Teleportasi (diterbitkan di Dewan Kosmik, Mei 2010)
Percubaan Nadia Khan dalam menulis cerpen bergenre fiksyen sains yang pada hemat aku cukup bagus dan boleh diperkemaskan lagi untuk menjadi lebih baik. Penyudahnya macam agak hambar dan aku fikir kalau beliau duduk dan tulis semula cerpen ini sekarang pastinya ia akan mempunyai penyudah yang lebih sempurna.

Mungkin juga boleh dikembangkan untuk dijadikan plot asas sebuah novel saifai. Siapa tahu.

7. Janji Kak Long (diterbitkan di Mingguan Wanita, 25 Jun - 1 Julai 2010)
Ini merupakan antara cerpen kegemarakanku dalan koleksi CERPEN ini walaupun pada mata aku lenggok bahasanya tidak se'Nadia Khan' yang aku kenal. Ceritanya mudah, tentang pengorbanan seorang wanita yang sanggup 'membakar dirinya' membesarkan seseorang yang bukan anaknya. Ya, agak klise kalau difikir-fikirkan. Telah banyak drama dan sinetron yang berteraskan konsep cerita sebegini sebenarnya.

8. Nasi Putih Daging Cincang (diterbitkan di Mingguan Malaysia, 10/10/10)
Aku tak pasti sama ada ini memang typo atau apa sebab dalam naskah yang aku ada tajuknya 'Nasi Putih Dagang Cincang' tetapi hakikatnya watak di dalam cerita ini tidak pula makan nasi dagang (ataupun nasi putih yang didagangkan sebelum dicincang?) sebab aku separuh yakin tajuknya adalah seperti apa yang aku tulis di atas (sebab aku pernah baca cerpen ini dalam akhbar, masa itu haram tak kenal siapalah Nadia Khan itu sebenarnya dan tidak tahu bakal berkongsi bumbung penerbitan).

Menggunakan konsep 'ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua' cerpen ini berputar tentang keluarga yang terpisah dan kemudiannya (mungkin?) bersambung semula gara-gara sepinggan nasi putih daging cincang. Pintar!

9. Epilog Damak
Faizal Sulaiman menggambarkan cerpen ini sebagai sebuah mock up. Ini bukan sebuah cerpen mock up ye saudara Faizal. Ini adalah sebuah fictitious parallel story yang ditulis dalam laras bahasa ala-hikayat yang dimodenkan. Aku akui tidak tahu banyak tentang cerita Sri Mersing kerana setelah sejak aku mula pandai membaca aku mendapat tahu yang prosa klasik dan segala macam hikayat ini bukan citarasa aku (walaupun di rumah tersusun naskah-naskah klasik seperti Sri Rama dan Hikayat Merong Mahawangsa yang dikumpul oleh ayah aku ketika di menuntut di UM dulu) jadinya cerpen Epilog Damak ini aku baca sepintas lalu sahaja. 

Kisah penerokaan cinta dari kaca mata Melur. Aku rasa sebab ia tidak disiarkan di Majalah Harmoni mungkin sekali kerana ceritanya biasa-biasa sahaja (atau mungkin juga terlalu 'klasik' untuk majalah tersebut?).

10. Anak Dinihari
Aku sendiri kenal beberapa blogger yang menjana pendapatan (baik yang tetap mahupun secara sampingan) melalui blog mereka. Ya, kebanyakan mereka ini (yang menjadikan blog sebagai sumber pendapatan utama/tetap) beritahu aku sebenarnya resepi untuk berjaya dalam hidup hanya dua iaitu minat dan rajin. Serius. Kalau kau minat sesuatu tapi kau malas hendak usahakannya, ia tidak akan datang terjelepuk ke ribaan kau (melainkan kalau kau main nombor ekor, itu haram okay?). Kalau kau rajin macam kerbau bajak tetapi mengerjakan benda yang kau tidak minat pun lama-kelamaan kau akan alami burnout dan akhirnya mula mahu buat kerja lain atau putus asa begitu sahaja.

11. Cili (tempat pertama Pertandingan Menulis Skrip 'kategori filem pendek' FINAS 2009, tetapi keputusannya diumumkan pada 2011)
Pak Rabu, si pengusaha kedai makan di mana gerai nasi lemaknya dibuka hari-hari yang akhirnya terpaksa juga tidak meniaga sehari gara-gara kehabisan cili. 

Short and simple.

12. Kopi Tiga Suku (tempat ketiga Pertandingan Menulis Skrip 'kategori filem pendek' FINAS 2009, tetapi keputusannya diumumkan pada 2011)
Shah dan Hana sepasang suami isteri. Shah dan Hana bahagia dengan kopi mereka. Tetapi bahagia mereka selesai, seperti kopi yang masih bersisa suku di dalam gelas itu.

13. Budak Baru (2011)
Kitaran hidup seorang individu (yang selalunya teruk dibambu dan terasa terbeban) gara-gara dirinya seorang freshie di tempat kerja, belajar untuk lebih banyak telan daripada bersuara jika mahu kekalkan survivability dirinya dan akhirnya kitaran itu lengkap apabila si freshie itu (setelah sekian lama menapakkan diri di tempat kerja tersebut) melihat ada 'budak baru' di tempat kerja tersebut. Tipikal. Mana-mana tempatpun berlaku hal yang sama sebenarnya.

Aku kira mungkin agak menarik kalau diolah untuk dibangunkan menjadi sebuah naskah untuk pementasan teater (tetapi setting-nya harus minimalis) dan diubah senarionya daripada tempat kerja ke tempat belajar. Tentu ada penggiat teater yang mahu cuba, bukan?

14. PWTC (2011)
Cerpen bertujangkan futuristik 50 tahun ke hadapan tentang gambaran bagaimana bangunan PWTC salah satu ikon Kuala Lumpur masih lagi di situ, sedangkan rakyat di sekitarnya telah membangun dan maju. Masih lagi menggunakan Amir dan Jun dari novel KELABU sebagai watak, namun menurut penulisnya ini bukanlah definitive ending untuk novel (yang pernah menjadi perdebatan hangat antara aku dengan seorang kenalan aku) tersebut.

15. Kopi Kola (2012)
Sudah diulas di SINI. Pergi baca. Aku malas ulas dua kali. Hahaha....

16. Kopi, Adele dan  Bubur Ayam McD
Cerpen yang menurut penulis diilhamkan selepas membaca cerpen Adib Zaini yang termuat dalam antologi KOPI, juga telah diulas di SINI. Tetapi kali ini dari kaca mata seorang perempuan. 

17. Cinta Sekeping Tisu (2003)
Lenggok bahasa slanga yang banyak diguna dalam forum internet atau blog ternyata digunakan dalam cerpen yang paling 'tua' dalam koleksi CERPEN ini dan ternyata inilah sebenarnya trademark Nadia Khan yang (pada hemat aku) menyebabkan novel KELABU menjadi sangat-sangat bestseller antara novel-novel FIXI yang lain. Pertama, temanya ialah cinta. Kedua, bahasanya dekat benar dengan demografik pembaca iaitu muda-mudi yang masih di universiti atau sekolah. Campur kedua-duanya dan (pada hemat akulah) itulah ramuan untuk sebuah novel yang laku.

Cakaplah apapun, tetapi itulah hakikat. Novel Melayu kalau temanya saifai, psychological thriller, atau apapun selain cinta memang agak liat hendak bergerak dari rak buku ke tangan pembaca. Serius. Ini diakui oleh beberapa pekerja Borders/MPH yang aku sibuk-sibuk tanya di awal kemunculan BISIK dulu.

Aku harap novel susulan Nadia Khan selepas ini masih lagi mengekalkan lenggok bahasa yang sama sebab bagi aku itulah kekuatan beliau untuk pancing lebih banyak pembaca yang mahukan bahan bacaa yang santai dan tak perlu serabutkan kepala sangat. Ye tak?

18. Ada Apa Dengan Kina
Ini antara cerpen kegemaran aku. Kisah si tunangan orang yang punya peluang kedua untuk menentukan hala tuju hidupnya sebelum bergelar milik orang.

19. Aku, Kesesatan dan Kelab Penari Bogel
Menurut cuplikan intro sebelum cerpen ini, aku jebak pastinya ia berdasarkan pengalaman peribadi si penulis sesat di kota asing. Betuk tak, Nadia Khan?

20. Nakahari
Kisah tentang kebimbangan seorang rakan tentang sebuah wabak fiktif bernama 'Nakahari' dan bagaimana dia bertemu cinta (ye ke?) yang akhirnya mungkin tidak akan berakhir dengan kebahagiaan.

Ulasan

FaizalSulaiman berkata…
:)

terima kasih dengan pembetulan ni shy :)
zuno berkata…
maybe its typo, sbb aku pon memula pelik, tp disebabkn cerita dia yg bapa die pergi jauh keluar negara sume, n maybe berdagang sana sini, so dibiarkan saja dgn tajuk itu..
zuno berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.