Rasa-rasanya
pembaca karya Ridhwan Saidi yang terdahulu sudah sedia maklum bahawa penulis
berbakat besar ini memang tidak asing lagi dengan cubaan beliau menyatukan
objek-objek tertentu sebagai simbol yang membawa maksud yang amat asing dan
bertentangan. Mautopia, novel ketiga Ridhwan Saidi selepas Cekik dan Amerika bukanlah
suatu bacaan yang mudah. Terus-terang, dari kaca mata bacaan linear mungkin
sekali pembaca akan fikir yang Ridhwan Saidi berkemungkinan seorang yang
terlalu imaginatif ataupun seorang yang gila-gila.
Namun
begitu, harus dijelaskan bahawa Mautopia merupakan sebuah novel pengembaraan
distopik yang mengupas isu cinta terlarang dan konsep kepercayaan kepada Tuhan
(ini menurut pandangan saya) yang dipersembahkan melalui deskripsi-deskripsi
metafora yang mengelirukan. Kalau dalam novel Amerika pembaca akan disajikan
dengan lipas besar, debat tentang hidup di hadapan laut dan sup brokoli; dalam
novel Mautopia pula anda akan berkenalan dengan kek cawan berperisa paku dan
kaca, ikan pari masak asam pedas, sut manusoid, kerengga gergasi dan rumah
modular.
Ridhwan
Saidi sekali lagi akan membawa pembacanya untuk benar-benar berfikir tentang
apa sebenarnya maksud tersirat dalam kehidupan, akan mempersoalkan letak
dirinya dalam dunia dan menganalisa diri sendiri sama ada dirinya sama atau
tidak seperti apa yang dilalui oleh watak-watak dalam novel ini.
Ohgurubesarku,
aku mungkin sekali telah melanggar larangpantang-mu dan aku berkemungkinan
harus dihukum dengan memakan kek cawan berkacamu!
Mautopia
tidak ubah seperti bawang, punya banyak lapisan-lapisan yang kalau tidak kena
gaya dikupas akan ‘memedihkan mata’ kerana ia sememangnya bukanlah suatu bahan
bacaan realis. Walaupun novel ini hanya setebal 223 halaman dengan tujuh bab
sahaja, namun saya mengambil masa yang agak lama (kira-kira seminggu) untuk
habiskannya kerana terpaksa banyak kali berhenti dan ulang baca beberapa
bahagian tertentu kerana a) tidak faham dan b) cuba untuk faham apalah yang
sang penulis cuba hendak sampaikan. Berbanding dengan The Hunger Games yang dua
kali ganda lebih tebal dari Mautopia berjaya saya habiskan dalam tempoh dua
malam sahaja (mungkin sekali kerana jalan ceritanya mudah dan tidak memeningkan
kepala seperti Mautopia).
Apa
yang pasti, Mautopia bukanlah untuk semua orang. Hanya segelintir pembaca yang
merasakan dirinya bersedia dan mampu untuk mencerna karya sebegini sahaja yang
aku usulkan untuk baca. Bagi yang lain atau mereka yang berkira-kira mahu
mengenali bagaimanakah stail penceritaan Ridhwan Saidi, aku cadangkan agar mula
membaca karya beliau yang terdahulu seperti Cekik dan Amerika sebelum mencapai
naskah Mautopia ini. Bukan apa, aku takut pembaca baru akan berasa overwhelmed
dengan gaya penceritaan Ridhwan Saidi yang boleh disifatkan sedikit eksentrik.
Ulasan