243: [siri ulasan buku] #17 - licik karya sham hashim & julie anne.


Novel duet pertama terbitan FIXI yang bertajuk LICIK ini merupakan gabungan duo Sham Hashim dan Julie Anne. Jangan tertipu dengan ilustrasi kulit depan novel ini, tiada babak di mana wataknya bertopeng dan menghadiri parti masquerade seperti apa yang aku harapkan. Sedikit kecewa di situ. Apa-apapun, ada kisah menarik di sebalik pembikinan novel ini. Menurut Julie Anne (yang amat ramah dan kelakar ketika beliau ditemui di PBAKL tempoh hari), beliau sendiri seperti tidak mahu percaya yang  beliau akan terlibat dalam pembikinan novel ini. Menurut Julie lagi, LICIK sebenarnya hampir mungkin tidak akan diterbitkan kerana penulis asalnya Sham Hashim dikatakan terlalu sibuk untuk menyiapkan manuskrip tersebut. Projek ini terbengkalai untuk suatu masa yang panjang sehinggalah tauke FIXI, Amir Muhammad mengeluarkan tawaran kepada sesiapa yang mahu ambil draf-draf yang telah ditinggalkan oleh Sham Hashim untuk disiapkan menjadi sebuah manuskrip. Long story short, Julie mendapat tanggungjawab tersebut dan dengan pantas LICIK berjaya disiapkan.

Membaca beberapa bab awal LICIK aku asyik terbayangkan filem Catch Me If You Can dan Pisau Cukur kerana kemiripan jalan cerita dan perincian watak. Kita diperkenalkan dengan Fira (yang asyik aku bayangkan dilakonkan, jika LICIK difilemkan, oleh Fazura) dan Alias, pasangan anak-beranak kaki tipu yang bermula daripada tiada kepada ada segala-galanya. Namun disebabkan salah percaturan semuanya berantakan dan mereka anak-beranak harus bermula dari bawah semula. Mereka ditemukan dengan Sadik (yang digambarkan sebagai sangat kacak, aku asyik terbayangkan Remi Ishak… damn he’s hot, dan seorang heart-breaker yang juga merupakan seorang kaki tipu).

“First step, carik mangsa. Fira kena carik mangsa yang berpotensi untuk ditipu. Kedua, pancing cerita. Fira kena pancing cerita pada si mangsa. Ketiga, stress. Fira kena buat situasi tu jadi terdesak ataupun tertekan. Langkah keempat, alpa. Bila mangsa tu alpa je, Fira kena cepat-cepat ambil peluang. Kelima… mmmm… cabut lari!”
- Fira, bab 2, halaman 17.

Maka bermulalah sekuens demi sekuens perancangan penipuan antara Fira dan Sadik (dengan bantuan Alias) yang mendebarkan. Modus operandi mereka berbeza-beza; kadang-kadang goda-pikat-rompak-lari, kadang-kadang pancing-tipu-tukar-lari, kadang-kadang tipu-palsukan-larikan-tukar. Macam-macam. Ternyata kombo penulis Sham Hashim dan Julie Anne berjaya membina sebuah dunia licik konspirasi penipuan yang dilakukan oleh Sadik dan Fira. Syabas dan salutasi kepada kedua-dua penulis.

Kekuatan LICIK adalah pada kepantasan pergerakan plotnya. Pembaca tidak akan mahu lepaskan pegangan pada naskah novel itu dan terus membaca sehingga selesai. Aku sendiri habiskan membaca LICIK dalam hanya dua kali sesi duduk baca. Bahasanya mudah, urban dan dialog antara watak-wataknya natural dan terkadang aku rasa seperti pernah bertemu dengan seorang gadis licik, cantik bergaya bernama Fira (walaupun Fira yang aku kenali mungkin sekali bukan seorang con artist). Sepertiga menghampiri penyudah novel, aku bertemu dengan curve-ball yang tidak disangka-sangka, menyebabkan perubahan momentum novel ini secara mendadak. Sekali lagi aku ucapkan syabas kepada kedua-dua penulis kerana twist pada plot yang mulanya aku jebak pengakhirannya. Nah, aku berjaya terangkan sesuatu yang aku suka tentang novel ini tanpa mendedahkan sebarang spoiler. Hebat  bukan? (oh, terangkat bakul sendiri sekejap)

Tetapi kadang-kadang aku rasa LICIK ditulis agak terburu-buru berdasarkan dua faktor; a) ada beberapa bahagian yang aku rasa seperti kurang dihurai/terang dengan lebih terperinci (oh, ia hanya setebal 272 halaman dan punya 15 bab tidak termasuk prolog dan epilog) dan b) watak Khairi aku kira gagal kerana setelah dua kali habis baca aku masih lagi kurang faham tentang mengapa dan bagaimana dia membantu Fira (terutama sekali pada bahagian-bahagian akhir novel tersebut).

Plus points untuk LICIK, Julie Anne ternyata menggunakan apa yang beliau tahu tentang negeri kelahiran beliau dengan baik kerana tujuh puluh peratus lokasi yang digunakan dalam LICIK berlaku di seberang semenanjung Malaysia. Aku amat teruja dan kagum dengan perincian tentang bandaraya Kuching (which obviously aku tidak pernah pergi tetapi teringin benar mahu pergi suatu hari nanti) yang dipaparkan dalam novel ini. Lagi satu, aku tergelak besar membaca nama-nama watak sampingan yang membuat kemunculan di dalam novel ini. Datin Suzanawathy Erodrikromo, Dato Sulaiman Akhlaken, Tan Sri Adha Ku Kay Shah… seriously Julie, seriously? Aku hampir tersembur kopi yang aku minum pertama kali terbaca nama Tan Sri yang secara ironiknya kelakar itu.

LICIK, novel bahan bacaan yang sesuai dan relevan untuk semua. Mesti baca kalau kalian sudah baca PECAH dan KASINO kerana aku kira LICIK berada dalam kategori genre yang sama. Kalau belum novel yang aku sebut tadi, usai baca LICIK dengan kadar segera anda perlu dapatkan naskah novel-novel tadi dan baca. Hahaha… =)

Ulasan