Sukar untuk pandang Zombijaya,
novel sulung karya Adib Zaini sebagai suatu karya yang serius. Novel yang
menampilkan multiple characters dan multiple plots yang secara amnya
berkisar tentang serangan pandemik wabak zombi dengan berlatarbelakangkan Kuala
Lumpur (secara amnya) merupakan bacaan santai yang amat adiktif. Dengan
penceritaan yang agak linear (ada
beberapa bahagian di dalam novel menginjak masa ke belakang hanya untuk
menceritakan perihal yang berlaku beberapa jam sebelumnya), pembaca akan
terpanggil untuk meneruskan pembacaan dalam hanya sekali duduk. Aku sendiri
habis membaca Zombijaya dalam tempoh 24 jam.
Menurut Adib Zaini, beliau
mengakui bahawa menulis dalam Bahasa Melayu bukanlah forte beliau. Namun aku berani menafikan bahawa percubaan sulung
beliau dalam Zombijaya merupakan sesuatu yang amat-amat dibanggakan. Tidak dinafikan
naratif dan bahasanya agak longgar, dengan kesalahan penggunaan perkataan di
sana sini (contohnya pada halaman 142, perkataan ‘memaparkan’ dalam ayat ‘Nora
menanggalkan bajunya yang kotor, memaparkan coli hitamnya.’ kedengaran amat
janggal sekali) tetapi ia tidaklah begitu penting. Lagipun, tidak hip dan
urbanlah kalau terlalu menurut nahu tatabahasa ala DBP, tak gitu?
Harap maklum ulasan ini MUNGKIN
mengandungi spoiler. Makanya bagi
mereka yang belum habis baca atau mahu dapatkan novel ini barangkali mahu skrol
laju-laju hingga ke perenggan terakhir untuk melihat konklusi ulasan novel ini.
Zombijaya merupakan sebuah kisah
apokalips serangan zombi. Titik. Apa yang membezakan Zombijaya dengan Dawn of
the Dead, The Walking Dead, Resident Evil dan bermacam-macam filem/adaptasi
tentang zombi yang lain adalah Zombijaya berlangsung dengan berlatarbelakangkan
Malaysia yang terkenal dengan komuniti multi-bangsa dan multi-agama.
“… melihat zombi-zombi ini makan apa-apa (sesiapa) sahaja yang ada tak kira jantina, tua, muda, miskin, kaya, bangsa, atau agama. Agak ironi melihat sikap prejudis manusia semasa hidup tamat bersama-sama nyawa mereka. Adakah matlamat 1Malaysia hanya akan tercapai apabila seluruh negara menjadi zombi?”
- halaman 181, bab 15.
Aku tabik kepada Adib Zaini
kerana berjaya menzahirkan watak-watak yang realistik dan amat dekat di hati
pembaca. Ada mat rempit berani mati bernama Nipis, cikgu sekolah bernama Ana,
Sofia dan Nora yang merupakan agen MLM, Lisa dan Sanjiv dua budak sekolah dan
macam-macam watak lagi. Memang sukar untuk imbangi banyak watak dan
kembangkannya secara progresif dan konstan seperti apa yang terkandung di dalam
Zombijaya dan sekali lagi aku ucapkan tahniah kepada Adib Zaini. Memang susah
untuk menulis sebuah kisah yang mempunyai plot berselirat dan bertindihan
dengan watak-watak yang banyak tanpa mengabaikan perkembangan watak.
Aku paling suka kepada perincian minute yang ada pada setiap watak yang
dipersembahkan. Secara tidak langsung ia menambahkan lagi ‘jiwa’ dan keunikan
setiap satu daripadanya. Sebagai contoh, Nipis seorang mat rempit berani mati
tetapi tidak gemarkan telefon bimbit sehinggakan ada suatu ketika dia memakai
topi timah hanya kerana dia terpaksa menggunakan telefon bimbit. Khuatir dia
didatangi kanser otak katanya. Ironinya, Nipis yang tidak gemarkan telefon
bimbit ini obses pula dengan segala macam teori konspirasi yang dia baca di
internet. Aku tergelak sendirian membaca penemuan Nipis tentang konspirasi
Putrajaya dibina kerana ada UFO pernah terhempas di situ dan di Putrajaya itu
sebenarnya menempatkan sebuah ruang bawah tanah yang tahan serangan nuklear.
Zombijaya bergerak pantas,
menceritakan bagaimana beberapa orang rakan baik yang baru pulang dari menonton
pertunjukan bunga api bersempena dengan tahun baru dan kemudiannya diserang
oleh seekor anjing liar. Salah seorang daripada mereka tercedera dan daripada
situlah wabak zombifikasi bermula. Namun begitu sehingga sudah pembaca tidak
akan tahu penyakit itu datang dari mana, apakah ada penawarnya (seperti yang
diwar-warkan oleh salah seorang watak pada hampir penghujung novel), apakah
signifikasi helikopter hitam yang mereka temui dan apa yang terjadi kepada VVIP
dan orang-orang besar yang tinggal di Putrajaya.
Semua persoalan itu dibiar
tergantung tanpa solusi, mungkin sekali untuk memberi ruang kepada pembaca
untuk membuat andaian sendiri atau mungkin sekali Adib Zaini enggan untuk
mendedahkannya kerana beliau terikat dengan jumlah perkataan sekitar 60K patah
perkataan untuk sebuah novel terbitan Fixi. Atau mungkin juga ini semua strategi
pemasaran untuk menerbitkan sekuel kepada Zombijaya? Dengan pengakhiran yang
sebegitu rupa, tidak mustahil kalau Adib Zaini mahu menulis kontinuasi kepada
Zombijaya dalam novel sekuelnya.
Oh ya, lupa hendak beritahu yang seperti saudara khairul k, aku memperoleh naskhah Zombijaya secara percuma kerana pihak Fixi mahu mengedarkan naskhah percuma novel tersebut kepada para blogger yang telah membuat sekurang-kurangnya tiga ulasan tentang mana-mana novel keluaran Fixi sebelum ini. Jangan marah ya, nanti kena jual! Kalian boleh baca ulasan tentang mana-mana novel Fixi dan novel-novel lain di SINI.
Plus points yang ada pada Zombijaya, novel ini tidak pretentious. Aku yakin benar tatkala kalian membaca Zombijaya, pasti kalian akan berhenti seketika untuk mengangguk dan bersetuju dengan apa yang ditulis. Lebih-lebih lagi menyentuh perihal rasuah, promiscuity dan kesalahan tegar Bahasa Inggeris di kalangan penutur warga Malaysia. Aku setuju benar dengan khairul k. Zombijaya bukan suatu bahan sastera yang mampan, tetapi hanya suatu bacaan ringan tentang kisah zombi di Malaysia.
Ulasan