206: [siri ulasan buku] #10 - zombijaya karya adib zaini.


Sukar untuk pandang Zombijaya, novel sulung karya Adib Zaini sebagai suatu karya yang serius. Novel yang menampilkan multiple characters dan multiple plots yang secara amnya berkisar tentang serangan pandemik wabak zombi dengan berlatarbelakangkan Kuala Lumpur (secara amnya) merupakan bacaan santai yang amat adiktif. Dengan penceritaan yang agak linear (ada beberapa bahagian di dalam novel menginjak masa ke belakang hanya untuk menceritakan perihal yang berlaku beberapa jam sebelumnya), pembaca akan terpanggil untuk meneruskan pembacaan dalam hanya sekali duduk. Aku sendiri habis membaca Zombijaya dalam tempoh 24 jam.

Menurut Adib Zaini, beliau mengakui bahawa menulis dalam Bahasa Melayu bukanlah forte beliau. Namun aku berani menafikan bahawa percubaan sulung beliau dalam Zombijaya merupakan sesuatu yang amat-amat dibanggakan. Tidak dinafikan naratif dan bahasanya agak longgar, dengan kesalahan penggunaan perkataan di sana sini (contohnya pada halaman 142, perkataan ‘memaparkan’ dalam ayat ‘Nora menanggalkan bajunya yang kotor, memaparkan coli hitamnya.’ kedengaran amat janggal sekali) tetapi ia tidaklah begitu penting. Lagipun, tidak hip dan urbanlah kalau terlalu menurut nahu tatabahasa ala DBP, tak gitu?

Harap maklum ulasan ini MUNGKIN mengandungi spoiler. Makanya bagi mereka yang belum habis baca atau mahu dapatkan novel ini barangkali mahu skrol laju-laju hingga ke perenggan terakhir untuk melihat konklusi ulasan novel ini.

Zombijaya merupakan sebuah kisah apokalips serangan zombi. Titik. Apa yang membezakan Zombijaya dengan Dawn of the Dead, The Walking Dead, Resident Evil dan bermacam-macam filem/adaptasi tentang zombi yang lain adalah Zombijaya berlangsung dengan berlatarbelakangkan Malaysia yang terkenal dengan komuniti multi-bangsa dan multi-agama.

“… melihat zombi-zombi ini makan apa-apa (sesiapa) sahaja yang ada tak kira jantina, tua, muda, miskin, kaya, bangsa, atau agama. Agak ironi melihat sikap prejudis manusia semasa hidup tamat bersama-sama nyawa mereka. Adakah matlamat 1Malaysia hanya akan tercapai apabila seluruh negara menjadi zombi?”
- halaman 181, bab 15.

Aku tabik kepada Adib Zaini kerana berjaya menzahirkan watak-watak yang realistik dan amat dekat di hati pembaca. Ada mat rempit berani mati bernama Nipis, cikgu sekolah bernama Ana, Sofia dan Nora yang merupakan agen MLM, Lisa dan Sanjiv dua budak sekolah dan macam-macam watak lagi. Memang sukar untuk imbangi banyak watak dan kembangkannya secara progresif dan konstan seperti apa yang terkandung di dalam Zombijaya dan sekali lagi aku ucapkan tahniah kepada Adib Zaini. Memang susah untuk menulis sebuah kisah yang mempunyai plot berselirat dan bertindihan dengan watak-watak yang banyak tanpa mengabaikan perkembangan watak.

Aku paling suka kepada perincian minute yang ada pada setiap watak yang dipersembahkan. Secara tidak langsung ia menambahkan lagi ‘jiwa’ dan keunikan setiap satu daripadanya. Sebagai contoh, Nipis seorang mat rempit berani mati tetapi tidak gemarkan telefon bimbit sehinggakan ada suatu ketika dia memakai topi timah hanya kerana dia terpaksa menggunakan telefon bimbit. Khuatir dia didatangi kanser otak katanya. Ironinya, Nipis yang tidak gemarkan telefon bimbit ini obses pula dengan segala macam teori konspirasi yang dia baca di internet. Aku tergelak sendirian membaca penemuan Nipis tentang konspirasi Putrajaya dibina kerana ada UFO pernah terhempas di situ dan di Putrajaya itu sebenarnya menempatkan sebuah ruang bawah tanah yang tahan serangan nuklear.

Zombijaya bergerak pantas, menceritakan bagaimana beberapa orang rakan baik yang baru pulang dari menonton pertunjukan bunga api bersempena dengan tahun baru dan kemudiannya diserang oleh seekor anjing liar. Salah seorang daripada mereka tercedera dan daripada situlah wabak zombifikasi bermula. Namun begitu sehingga sudah pembaca tidak akan tahu penyakit itu datang dari mana, apakah ada penawarnya (seperti yang diwar-warkan oleh salah seorang watak pada hampir penghujung novel), apakah signifikasi helikopter hitam yang mereka temui dan apa yang terjadi kepada VVIP dan orang-orang besar yang tinggal di Putrajaya.

Semua persoalan itu dibiar tergantung tanpa solusi, mungkin sekali untuk memberi ruang kepada pembaca untuk membuat andaian sendiri atau mungkin sekali Adib Zaini enggan untuk mendedahkannya kerana beliau terikat dengan jumlah perkataan sekitar 60K patah perkataan untuk sebuah novel terbitan Fixi. Atau mungkin juga ini semua strategi pemasaran untuk menerbitkan sekuel kepada Zombijaya? Dengan pengakhiran yang sebegitu rupa, tidak mustahil kalau Adib Zaini mahu menulis kontinuasi kepada Zombijaya dalam novel sekuelnya.

Oh ya, lupa hendak beritahu yang seperti saudara khairul k, aku memperoleh naskhah Zombijaya secara percuma kerana pihak Fixi mahu mengedarkan naskhah percuma novel tersebut kepada para blogger yang telah membuat sekurang-kurangnya tiga ulasan tentang mana-mana novel keluaran Fixi sebelum ini. Jangan marah ya, nanti kena jual! Kalian boleh baca ulasan tentang mana-mana novel Fixi dan novel-novel lain di SINI.

Plus points yang ada pada Zombijaya, novel ini tidak pretentious. Aku yakin benar tatkala kalian membaca Zombijaya, pasti kalian akan berhenti seketika untuk mengangguk dan bersetuju dengan apa yang ditulis. Lebih-lebih lagi menyentuh perihal rasuah, promiscuity dan kesalahan tegar Bahasa Inggeris di kalangan penutur warga Malaysia. Aku setuju benar dengan khairul k. Zombijaya bukan suatu bahan sastera yang mampan, tetapi hanya suatu bacaan ringan tentang kisah zombi di Malaysia.

Ulasan

cik fara berkata…
thanks buat ulasan zombijaya. :) nak beli jugak la. hehe.
shandye. berkata…
@cik fara: you're welcome! selamat membaca!! =)
Cik Bambam berkata…
novel aku beli 2-3 bulan lepas kan.. 1 page pon x baca lagi.. haruuuu jek~ hurmm..
shandye. berkata…
@Cik Bambam: hayoo... cemana leh jd cenggituh? klu tamo baca bak kat aku ajelah... biar aku abeskan sajork. hahahaha...