388: persiapan diri untuk menulis sempena NaNoWriMo (dan apa yang aku lakukan sebelum, semasa dan selepas proses menyiapkan manuskrip [bahagian #3]

Ini merupakan bahagian terakhir dalam siri artikel tiga bahagian sempena NaNoWriMo. Bahagian pertama boleh dibaca di sini, dan bahagian kedua boleh dibaca di sini.

Kali ini kita akan bersembang tentang bagaimana hendak mengekalkan momentum untuk menulis, tips untuk memotivasikan diri dan juga hal-hal yang berkaitan.

Baiklah.

*cicip teh*

Pilih satu masa khusus, tetapkan masa tersebut, tetapi beri ruang untuk tidak terlalu terikat pada jadual tersebut.
Kebanyakan daripada kita tak punya kelebihan khusus untuk menulis secara sepenuh masa sebab ramai penulis yang aku kenal ada kerja tetap yang berbeza daripada minat dan kebolehan menulis mereka. Namun ini tidak menjadi batu penghalang kepada mereka untuk menjadi ekstra bijak dalam pembahagian masa, masih sempat menyiapkan manuskrip di samping melangsaikan kerja-kerja harian dan juga rutin-rutin lain.

Pendek kata, bagi aku kunci kejayaan menyiapkan sesebuah manuskrip ada 2, iaitu:

  1. Konstan menulis
  2. Tahu waktu yang paling sesuai (dalam perkataan lain: optimum) untuk menulis dan bersedia untuk membuat komitmen terhadap penjadualan tersebut.

Bagi aku, tak perlu suatu rutin rigid untuk menulis. Memadailah kalau kita sekurang-kurangnya luangkan paling tidak sejam ke dua jam sehari untuk menulis. Kurang lebih, jumlah patah perkataan bakal bertambah, dan juga ini untuk memastikan bahawa plot, watak dan latar tempat/masa yang kau dah sediakan tu sentiasa segar dalam fikiran kau.

Sebab itulah program tahunan macam NaNoWriMo ni bagi aku merupakan suatu platform yang paling sesuai untuk kau konstruk suatu displin waktu menulis dan mampu menulis secara konstan dan sentiasa ada iltizam untuk terus menulis dan akhirnya menyiapkan manuskrip tersebut.

Ada orang mampu menulis separuh hari sehari, mencecah ribuan patah perkataan sehari. Ada orang cuma boleh tulis seribu-dua sebelum mula berasa bosan atau ketiadaan idea. Tak kisahlah berapapun, yang penting kau kena tahu kemampuan sendiri dan stick to that.

Macam aku, kalau aku dah ada rangka asas untuk sesebuah manuskrip, aku akan cuba untuk menulis sekurang-kurangnya dua jam sehari (selalunya pada waktu malam selepas jam 11 malam) dan cuba untuk kekal menulis dalam kadaran sebegitu. Kalau dalam dua jam tu aku boleh tulis sekitar 2 ribu patah perkataan, 2 ribu kali 6 hari dah 12 ribu perkataan. Pejam celik, tiga empat bulan dah siap 1 manuskrip.

Tapi word count aku tak menentu. Kadang-kadang dalam dua jam tu boleh cecah lebih dari dua ribu. Kadang-kadang, aku bukak manuskrip dan cuma betulkan tanda baca sikit-sikit, simpan dan tak sentuh dah untuk hari tersebut. Tak kisah. asalkan manuskrip disentuh setiap hari.

Itu penting.

Tulis hari-hari, tapi beri ruang untuk otak rehat.

Ini juga penting.

Perasan tak yang aku cuma menulis 6 hari seminggu, dan bukannya setiap hari?

Ini adalah kerana aku akan 'hadiahkan' 1 hari berehat untuk aku tidak menulis. Selalunya hari rehat ni aku gunakan untuk keluar dengan kawan-kawan, pergi settle-kan urusan peribadi atau habiskan masa dengan membaca buku.

Dengan cara ini, secara tidak langsung aku akan termotivasi dengan sendirinya bila aku tahu yang dalam seminggu ada waktu menulis 6 hari, dan aku akan look forward for that 1 hari 'bercuti' tu.

Tapi terpulanglah. Ada orang tak kisah dengan 'hari senggang' ni dan boleh je menulis setiap hari tanpa henti. Ikut suka hatilah. Ini cara aku, sebab aku rasa kalau hari-hari menulis aku rasa lemas dalam cerita yang tengah aku bangunkan tu, dan akhirnya akan burnout. Pernah jugaklah beberapa kali rasa macam nak give up sewaktu tengah menulis KOYAK dulu sebab aku cuba untuk push diri sendiri menulis tiap-tiap hari. Nampak gayanya metode 1 hari cuti bagi aku itu jugak yang paling efektif bagi aku. Jadi, aku amalkanlah untuk diri sendiri.

Yang penting harus ada motivasi, dan jangan pulak paksa diri sendiri. Ada hari-hari yang kita super-productive, ada hari-hari yang kita tepu tak tahu nak tulis apa. Yang penting, asalkan manuskrip bersentuh itu sudah cukup bagus bagi aku.

Beri ganjaran-ganjaran untuk teruskan motivasi
Aku selalunya pecahkan manuskrip aku kepada beberapa bahagian 'kecil' terlebih dahulu. Sebagai contoh, kalau dalam fikiran aku rancang nak tulis sesebuah manuskrip yang mungkin berdurasi sekitar 60-70 ribu patah perkataan, aku akan bahagikan sususan rangka plot kepada tiga bahagian kecil, setiap satunya sekitar 20 ribu patah perkataan.

Jadi, setiap kali aku sampai ke patah perkataan 20 rib pertama aku akan bagi ganjaran kepada diri sendiri. Tak kisahlah apapun, asalkan kita beri ganjaran sebagai motivasi untuk teruskan menulis. Selalunya aku akan belanja diri sendiri pergi makan tempat sedap-sedap, atau mungkin beli baju baju atau pergi buat rawatan rambut dan muka. Apa-apalah. Asalkan kita dapat raikan kejayaan menulis setakat itu.

Usah rasa rendah diri dan cemburu dengan 'kepantasan' menulis rakan-rakan lain
Menulis ni suatu kerja yang membosankan sebab kita akan bekerja secara sendirian untuk sejumlah waktu yang panjang. Hanya diri sendiri, komputer, tangan dan otak yang ligat berfikir.

Jadi sesekali lepas menulis, molek jugalah kalau kita bersosial dengan orang lain. Menerusi media sosial aku dah jumpa ramai rakan-rakan penulis lain. Ada di antara mereka yang tak suka berkongsi progress penulisan yang sedang mereka usahakan. Ada yang rasa bangga letak teaser kat Instagram, Twitter atau Facebook.

Pernah jugalah aku rasa demotivated bila terbaca news feed salah seorang rakan penulis ni yang sakan dok upload gambar word count buku barunya selang beberapa waktu.

Nasihat aku: usah hiraukan orang yang macam ni.

Biarlah kita dengan kerja kita. Jangan cuba nak bersaing dengan orang lain sebab kita sendiri yang tahu kemampuan dan kelajuan kita untuk menulis. Jadi, tak perlulah rasa iri hati dengan progress report rakan penulis lain. Itu urusan mereka. Yang penting, kau ambil masa kau sendiri untuk siapkan manuskrip kau.

*

Baiklah, cukup sahaja setakat ini. Artikel ini bakal bersambung (lagi, kot?) di bahagian seterusnya.

Selamat menulis semua!

=)

Ulasan