383: persiapan diri untuk menulis sempena NaNoWriMo (dan apa yang aku lakukan sebelum, semasa dan selepas proses menyiapkan manuskrip) [bahagian #1]

Baiklah, jadi kau berhajat untuk menulis sebuah buku.

Artikel ini ditulis oleh seorang penulis muda yang baru mempunyai dua novel, beberapa cerpen tersiar, dan itu sahaja. Resume-ku tidaklah se-gah mana kalau hendak dibandingkan dengan orang lain di luar sana; namun aku tetap berasa terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu tentang bagaimana hendak menulis yang telah berkesan buatku, dan diharap dapat membantu kalian jua (Insya-Allah).

Memandangkan lusa NaNoWriMo bakal bermula, rasanya moleklah aku turunkan artikel ini sebagai bantuan, ya tak?

Baiklah.

*teguk kopi*

Menyediakan rangka (outline), suatu kemestian atau tak buat pun tak apa?
Soalan ini selalu juga ditanyakan kepadaku oleh pembaca novel-novelku. Sebenarnya, kalau mengikut aku, sama ada kau jenis yang harus duduk dan sediakan rangka asas novel secara terperinci dahulu, ataupun jenis yang terus sahaja menulis sebaik sahaja mendapat suatu idea am, kedua-duanya sama boleh dipraktikkan. Kedua-duanya ada pro dan kontra masing-masing.

Aku ambil contoh peribadi. Ketika sedang mengusahakan novel sulungku, BISIK, aku cuma bergantung pada suatu idea asas - aku mahu tulis suatu kisah yang memperihalkan tentang seorang lelaki bernama Mikael. Dia punya rakan rapat. Seterusnya dia melalui kejadian aneh yang dia sendiri tidak boleh huraikan. Itu sahaja. Aku tidak merancang. Itu sahaja asas yang aku ada. Jadi, aku buka MS Word, dan terus sahaja mengarang suatu ringkasan pendek tentang peribadi watak utama aku itu, iaitu Mikael. Selebihnya, runtunan cerita selepas itu, dan sebagainya secara magisnya datang dengan sendirinya tatkala aku mengembangkan ciri-ciri dan peribadi watak Mikael ini. Hasilnya: bab pertama untuk draf pertama itu mengalami proses ulang-taip berkali-kali sehinggalah aku berpuas hati dengan jalan cerita yang sedang aku imaginasikan.

Aku ambil pula contoh novel keduaku, KOYAK. Entah kenapa kali ini aku merancang untuk membuat suatu struktur khusus, huraikan plotnya dengan teliti dari A ke B hinggalah bertemu Z. Dengan siapa watak itu bertemu, apa dia buat dan sebagainya. Semuanya aku perincikan di dalam rangka asas yang aku bangunkan terlebih dahulu sebelum aku mula mengarang bab pertama.

Ada pula beberapa penulis yang aku kenali yang memang gemar membuat rangka. Siap dengan peta minda, lengkap dengan anak panah segala bagai untuk membentuk sebuah jalan cerita sebelum dia mula mengarang.

Pernah tengok rangka asas Harry Potter yang disediakan oleh J. K. Rowling?

gambar diambil dari sini.
Perhatikan bagaimana beliau memperincikan plot-plot yang bakal ditulis dengan sebegitu rupa (plot utama dan subplot), judul setiap bab, apa kejadian yang bakal terjadi untuk setiap bab dan seterusnya.

Makanya, tiada dua metode khusus yang boleh diikuti. Kalau hendak sediakan rangka pun bagus, tak sediakan rangka pun tak mengapa sebenarnya.

Aku tidak gemar untuk membuat perancangan sebegitu, ini adalah kerana pada kebanyakan waktu, aku sendiri tidak pasti akan penyudah sesebuah manuskrip yang sedang aku usahakan (dan selalunya aku akan sediakan dua-tiga penamat alternatif yang akan aku pilih di kemudian hari selepas aku selesai draf pertama). Aku lebih suka melihat sendiri bagaimana watak-watakku berkembang dan apakah cerita yang bakal mereka persembahkan kepadaku.

Namun begitu... walaupun tak sediakan sesebuah rangka khusus, ada moleknya sediakan satu senarai nota-nota ringkas yang boleh dirujuk agar plot yang dikarang menjadi tertib,  kemas dan konklusif.

Kenali watak-watak yang hendak dibangunkan
Menyebut tentang nota ringkas pada poin di atas, ia berkait rapat dengan poin ini. Membangunkan sesebuah novel tidak lengkap tanpa watak-watak yang bergerak/berinteraksi antara satu sama lain. Makanya, menciptakan watak yang meyakinkan pembaca itu suatu hal yang amat-amatlah mustahak dan jujur aku jelaskan, paling payah hendak dibuat sebenarnya. Aku sendiri terkadang apabila membaca kembali tulisan-tulisan lamaku, ada saja yang aku ingin tambah/buang/baiki tentang watak-watak yang telah aku bangunkan dalam cerita-ceritaku. Makanya, menyediakan nota ringkas yang boleh dirujuk dengan mudah benar-benar membantu untuk menjana sesebuah watak yang meyakinkan pada bacaan pembaca.

Aku selalu mulakan dengan yang paling asas. Namanya siapa, visual amnya (ketinggian, warna rambut, warna mata), dan apakah kekuatan dan kekurangan mereka. Kemudian, aku kembangkan lagi dengan memberikan mereka personaliti berdasarkan pekerjaan apa yang mereka selalu lakukan.

Oleh itu, mari kita buat latihan ringkas ini: andai kata kau ingin tulis cerita tentang seorang petani moden bernama Abu. Isikan ciri-ciri fizikalnya terlebih dahulu dan seterusnya pejamkan mata. Selepas itu, kau bayangkan suaranya bila dia bercakap, adakah dia seorang yang sengau, berlidah pendek, elokuen dalam bahasa Inggeris (walau kerjanya seorang petani?) dan sebagainya. Selepas itu, cepat-cepat taip/tulis perincian itu pada nota ringkas kau dan simpan.

Nah. Selesai satu tugasan. Mudah, bukan?

Nota itu seterusnya boleh dikembangkan lagi mengikut keperluan manuskrip kau. Lukis kalau perlu. Sebab itulah aku tidak boleh tidak daripada menegaskan kepentingan mempunyai sebuah buku nota/conteng/idea jika kau serius mahu menulis. Perincian berikutnya tentang watak Abu ini mungkin sekali dia juga seorang penggemar Coke (dan membenci rasa Pepsi atas sebab-sebab yang tertentu), seorang vegetarian (sebab dia seorang petani?) dan punya suatu perkataan atau frasa yang dia sering guna ketika perbualan (cthnya: "Kau ni dah kenapa? Eh! *dia seorang yang gemar menyebut 'eh' di hujung ayatnya, entah kenapa, tabiat sejak kecil barangkali). Tulis perincian tersebut dan simpan kerana ia bakal membantu tulisan kau kelak.

Bina latar tempat yang konkrit
Selesai dengan watak-watak, tak lengkap kalau mereka ini hidup dalam vakum. Makanya, haruslah disediakan pula latar tempat untuk mereka 'hidup' dan berinteraksi antara satu sama lain. Kalau novel saifai, mungkin Abu si petani ini tinggal di planet Tattoine yang terletak 5 juta waktu cahaya dari bumi, punya iklim dan cuaca yang jauh berbeza daripada apa yang kita ada di bumi. Kalau novel fantasi, mungkin si Abu ini tinggal di pinggir Shire, hidup di dalam rumah pendek macam kolong berbentuk bulat ala-Hobbit.

Rancanglah dengan teliti.

Satu tips yang aku mahu kongsi dengan kalian ialah selalu ambil gambar (oh, bukan selfie, ya!) persekitaran. Bagi mereka yang telah membaca BISIK dan KOYAK, pastinya akan bertemu dengan tempat-tempat yang agak familiar seperti UKM dan sebagainya. Ini adalah kerana, sebelum aku mula menulis, aku sendiri telah pergi ke tempat-tempat yang aku hendak watak-watak aku kunjungi, ambil gambar-gambar setiap ceruk yang mungkin mereka bakal jelajahi (kerana selebihnya kau boleh bayangkan sendiri atau reka sahaja).

Tetapi bagaimana pula dengan tempat yang tidak wujud seperti hospital InTraMeRC dalam KOYAK? Jawapanku mudah sahaja. Tempat itu adalah bayanganku terhadap gabungan beberapa bangunan (hospital semestinya) yang pernah aku kunjungi.

Apa-apapun, membangunkan latar tempat bukan boleh dibuat sehari-dua. Ia bergantung kepada seberapa banyak perincian yang kau mahu beritahu pembaca dan berapa banyak perincian yang kau mahu pembaca bayangkan sendiri. Jadinya, fikirkan juga tentang infrastruktur kewangan lokasi tempat yang hendak kau guna itu, matawang yang bakal watak kau guna, ciri-ciri kerajaan yang menguasai tempat tersebut dan sebagainya. Ini penting untuk menyuntik seberapa banyak realisme atau informasi kepada pembaca.

Ia menjadi mudah jika latar tempat itu berlangsung pada persekitaran yang common. Tetapi, perincian sebegitu mustahak jika latar tempat manuskrip kau berlangsung di tempat yang langsung tidak menyerupai mana-mana lokasi yang pernah kau kunjungi.

Bayangkan situasi begini: ada dua watak yang sedang kau bangunkan; Abu si petani moden tinggal di pinggir sebuah kota. Dia hidup serba sederhana di dalam pondok menghadap sawah. Seribu kilometer daripada situ pula ada satu lagi watak bernama Senah (bakal love interest Abu, mungkin?) yang tinggal di kota metropolitan, hidup di apartmen sempit yang kotor berdebu, trafik yang menikam kalbu, dan harga barang yang cekik darah. Nampak jukstaposisi yang aku lakukan ini?

Tulis apa yang kau tahu... atau buat kajian terlebih dahulu
Poin ini ada berkait rapat dengan artikel yang pernah aku tulis dahulu.

Kita semua sedia maklum dengan fahaman 'Tulis apa yang kita tahu'.

Tetapi bagaimana pula jika manuskrip yang hendak dibangunkan itu merupakan sesuatu yang kau sendiri langsung tak tahu, dan kau tak tahu (atau tak mahu) reka? Jawapannya adalah membuat kajian.

Bayangkan menuulis sebuah babak di mana watak itu sedang berinteraksi di sebuah latar tempat yang berlaku pada kurun ke-13. Disebabkan kita tidak punya banyak informasi tentang latar tempat/masa yang hendak diceritakan, mesti payah hendak mula menulis ayat pertama dalam bab tersebut, bukan? Sebab itulah pentingnya kajian.

Habis ringkas: Google. Semua benda ada di hujung jari. Belek laman-laman web berkenaan dengan topik yang hendak kau ceritakan itu, simpan, atau bookmark laman tersebut, salin apa-apa yang kau rasa perlu.

Lebih gigih: pergi perpustakaan. Ya. Jangan tak tahu, untuk novel BISIK aku dulu ada beberapa babak dalam buku tersebut yang aku tak jumpa cari dalam Google dan aku bertemu informasi yang aku inginkan di perpustakaan UKM di Kampus Medikal di KL. Maka gigihlah aku ke sana, berbekalkan kontak seorang kenalanku yang sedang menuntut di sana, kad matriks dan komputer riba, aku masuk ke perpustakaan medik itu macam rusa masuk kampung. Mujur kenalanku banyak membantu untuk aku memperoleh informasi yang aku perlukan. Nampak tak betapa gigihnya aku? *tepuk bahu sendiri dengan bangga*

Dan poin ini sedikit sebanyak berkait rapat dengan tips ambil gambar aku tadi. Sebabnya, dengan mengambil gambar-gambar lokasi (dan semestinya orang awam juga) tempat yang bakal kau gunakan sebagai latar masa, sedikit sebanyak ia menjadi asas kepada kajian yang sedang kau usahakan.

Lebih gigih lagi: pergi temubual orang. Ini aku pernah buat untuk novel keduaku: KOYAK. Atas bantuan kenalanku di HUKM tadi, aku dapat menghubungi seseorang yang memang kerjayanya dalam bidak kedoktoran, lebih spesifik lagi, psikologi. Sesuai benar dengan ciri-ciri watak Dr. Iesmawi yang sedang aku bina dalam novel tesebut. Jadinya aku usaha untuk aturkan sesi temubual dengan beliau. Alhamdulillah, mujur dia tidak menolak, malah berbesar hati untuk membantu setakat mana yang termampu. Sudah tentulah aku harus sogok dengan membelanja makan dsb. *ehem*

Selebihnya, diskusi kami dibawa ke e-emel. Aku dan dia bertukar-tukar e-emel, dan aku banyak bertanyakan tentang kerjayanya. Tidak lupa juga aku banyak mengambil nota tentang cara percakapannya, bagaimana gerak tubuhnya, apa yang dia pakai dan sebagainya sebab itu juga mustahak sebagai salah satu sumber kajian yang boleh mengukuhkan lagi watak/latar novel yang sedang aku usahakan ini.

Jujur aku bilang: membuat kajian dengan teliti dan tertib sebelum, semasa dan selepas menulis sesuatu manuskrip adalah sangat-sangat mustahak. Ini adalah untuk mengelakkan daripada pembaca kau menunjukkan cela atau kesilapan fakta yang kau tulis (cthnya bangunan tertentu yang tak sepatutnya berada bersebelahan dengan suatu bangunan lain, tetapi dalam novel kau, kau tulis ia letak bersebelahan).

Lagipun, dengan kajian yang baik, naratif yang bakal kau tulis akan lebih mudah ditulis, lancar dan kemas. Percayalah.

Menulis sebuah manuskrip bukanlah kerja enteng, namun boleh dilaksanakan!
Banyak kali juga ketika aku menulis, aku berasa seperti mahu jerit; "Ah, persetankan ini!" dan padam semua yang telah aku tulis. Banyak kali juga aku hendak menangis (dan telah menangis di bawah meja). Namun begitu, aku sedar bahawa tiada rasa yang lebih euforik daripada menghasilkan sebuah draf pertama, tekan enter lima kali, letak ke tetapan tengah dan taip lima huruf keramat yang kau nanti-nantikan: TAMAT.

Dengan sedikit persiapan rapi, luangan masa, dan ketetapan hasrat, semua orang boleh menulis. Itu aku yakin. Sebab aku percaya semua orang di dalam dunia ini punya cerita yang hendak mereka kongsikan, antara mahu dengan tidak sahaja. Itu kau perlu tanya diri sendiri.

*

Baiklah, cukup sahaja setakat ini. Artikel ini bakal bersambung di bahagian seterusnya.

Selamat menulis semua!

=)

Ulasan