385: persiapan diri untuk menulis sempena NaNoWriMo (dan apa yang aku lakukan sebelum, semasa dan selepas proses menyiapkan manuskrip [bahagian #2]
"Hamek kau!" |
Kita dah sentuh tentang kajian, perician watak, latar tempat/masa, penyediaan rangka (outline) dan juga kepentingan membuat nota pendek dan juga mengambil gambar.
Kali ini, kita pergi lebih mendalam lagi, dan aku bakal berkongsi serba-sedikit tentang apa yang aku buat semasa dan selepas menyiapkan sesebuah manuskrip.
*tarik nafas*
Agak banyak juga yang kita cover dalam bahagian sebelumnya, bukan? Harap ada tips yang berguna untuk kau praktikkan.
Hehehe...
Ketahui gaya penulisan diri sendiri.
Kau dah ada watak yang bagus dalam minda, dan watak itu berada di dalam latar masa/tempat yang kau sudah selesa dan sedia untuk tulis. Kau juga sudah sediakan outline serba ringkas tentang apa yang bakal yang kau hendak tulis.
Jadi, apa lagi?
Kalau kau seorang pembaca tegar Fixi, pastinya kau sudah baca banyak variasi tulisan daripada pelbagai novelis di bawah syarikat Indie (bukan Hindi) itu. Nadia Khan dengan dialog-dialog tajam dan realistiknya, Ridhwan Saidi dengan gaya pop-kultur tersendirinya, Faizal Sulaiman dengan fahaman humanistic-approach dan situational story-nya dan macam-macam lagilah.
Setiap satu daripada mereka punya gaya penulisan yang memang jauh berbeza. Kalau letak sebelah-menyebelah, memang agak mudah untuk kesan siapa tulis apa tanpa lihat tajuk dan penulisnya. Serius.
Jadi, sebelum kau mula menulis, kau kena tahu apa gaya penulisan kau (sebab setiap orang punya gaya yang walau lebih kurang sama, tetap boleh dibezakan). Rujuk novel-novel kegemaran kau dan teliti bagaimana ayat-ayat yang ditulis oleh pengarang itu disusun. Pelajarinya dan cuba untuk adapt. Kalau kau rasa macam tak serasi, maknanya gaya penulisa sebegitu tidak sesuai untuk kau.
Bagaimana hendak tahu gaya penulisan itu sesuai dengan kita atau tidak, itu aku tidak punya jawapan spesifik. Aku selalunya akan siapkan bab pertama, cetaknya dan berikan pembaca tegarku (biarlah dia kekal misteri siapa) yang aku boleh percaya berikan kritikan habis jujur yang pedas untuk dia nilai. Kalau dia kata bagus, maka baguslah. Pendek kata, kau tiada pilihan selain terpaksa try-test-cuba sehinggalah kau bertemu dengan gaya yang benar-benar serasi dengan alur fikiran dan persembahan naratif kau.
Pilih tempat yang sesuai untuk menulis.
Dalam erti kata lain, di mana tempat kau bakal menghabiskan sejumlah masa untuk menaip/menulis. Ini sangat penting. Sama penting macam mencari rumah yang paling sesuai untuk disewa/dibeli. Kau kena cari lokasi yang paling sesuai dengan kondisi dan keselesaan kau.
Bagi aku, tempat aku menulis tidak lain tidak bukan adalah bilik tidur merangkap bilik kerjaku sendiri. Ia punya pengudaraan yang baik, akses ke tandas/dapur/ruang depan yang mudah dan lebih penting: ada privasi. Ada pintu yang boleh ditutup (supaya aku tak diganggu oleh benda-benda lain dari luar, kucing aku contohnya atau emak aku yang akan suruh aku tolong dia di dapur).
Ada orang selesa menulis menggunakan buku nota, gaya habis old-school macam menulis karangan SPM. Serius. Tak tipu. Aku kenal seorang penulis yang gemar menyiapkan setiap satu daripada babnya dengan menulis di atas kertas terlebih dahulu sebelum ditaip semula pada komputer. Ada juga yang mampu menaip satu bab penuh hanya dengan mengketik pada kekunci BlackBerry-nya sambil-sambil melepak bersama rakan-rakan di mapley.
Serius, ini juga aku tak tipu sebab aku kenal seorang penulis yang menghasilkan 70 peratus novelnya dengan menaip di BB.
Ada juga yang bajet hipster, hanya boleh menulis kalau di Starbucks, dikelilingi orang dan hiruk-pikuk barista. Mungkin sekali aroma kopi itu membantu. Entahlah. Ada yang lebih moden (seperti aku) yang menaip di komputer riba atau mesin taip. Makanya, pastikan terlebih dahulu metode apakah yang kau selesa sebab kau bakal luangkan masa yang banyak menaip/menulis.
Faktor yang harus dititik-beratkan juga adalah seperti berikut:
- Adakah tempat tu selesa atau 'bertuah' buat kau. Ada orang tidak boleh menaip di tempat lain melainkan duduk di kerusi meja kerjanya, menghadap tingkap yang punya pemandangan laman depan rumahnya. Kalau dia cuba menaip di tempat lain, satu apapun tak tertulis. Merujuk kepada contoh lokasi aku di atas, jujur aku beritahu yang aku tidak sebegitu boleh menulis di tempat lain melainkan di dalam bilik tidur merangkap bilik kerjaku. Di situlah aku telah hasilkan dua novelku dan hampir kesemua cerpen-cerpen yang pernah tersiar.
- Selesa. Ini mustahak. Dalam erti kata lain, tempat kau menulis seelok-eloknya punya semua benda tanpa kau perlu bergerak banyak keluar dari situ. Aku selalu bawa sebotol air masak bersama jika aku mahu menulis (sebab aku akan cicip sedikit sesekali ketika letih menulis) dan juga ruang itu seeloknya bebas daripada gangguan. Kalau kebetulan aku berseorangan di rumah, aku tidak kisah biarkan pintu bilik terbuka sebab kucing aku bebas keluar masuk memerhati (kadang-kadang dia juga secara tidak langsung boleh menjadi mangkin inspirasi kepada cerita yang sedang aku karang), tetapi kalau ada orang lain di rumah aku akan pastikan yang pintu bilik itu bertutup rapat agar aku tidak diganggu. Jangan lupa juga bawa sedikit snek/makanan kalau kau jenis yang boleh menulis sejam-dua tanpa henti. Keropok cekedis, biskut ataupun kuih yang boleh dimakan sedang kau berehat seketika mencari ilham harus ada tersedia di dalam ruang menulis itu.
Bila waktu yang sesuai untuk membuat tetapan format?
Di zaman moden ini, kebanyakan penulis tidak lagi menulis menggunakan pen dan kertas. Semuanya jadi lebih mudah dengan adanya word processor seperti MS Word.
Rata-rata penulis baru selalunya akan membuat sebegini:
- Buka word document baru. Terus taip 'Bab 1' dan taip ayat berikutnya.
- Untuk perenggan baru akan tekan space bar lima kali, untuk selangkan antara dua perenggan akan tekan Enter sekali.
- Untuk pergi ke bab berikutnya, tekan Enter sebanyak mana sehingga muka surat itu menginjak ke halaman berikutnya.
Ini salah. Percayalah. Pertama, ia akan menyukarkan diri sendiri ketika kau hendak tambah/tolak sesuatu di kemudian waktu (sebab terkial-kial mencari bahagian yang sepatutnya). Kedua, kau tak boleh expect setting dalam komputer kau bakal sama bila ia dibaca oleh editor kau kelak (kalau kau berniat hendak hantarnya untuk penerbitanlah).
Secara amnya, ini adalah peraturan habis ringkas yang semua penulis perlu tahu (rasanyalah, sebab aku dah tanya banyak penulis dan hampir semua setuju dengan metode aku).
- Untuk perenggan, guna kekunci 'Tab'. Tekan sekali sudah memadai.
- Guna font yang sedap mata memandang (Times New Roman, saiz 12) dan double spacing pada saiz kertas A4 atau letter. Senang di mata sendiri, senang di mata editor kemudian.
- Guna fungsi Page Break. Jangan tekan Enter banyak kali untuk tukar halaman berikutnya sebab nanti bila kau tambah/tolak sesuatu dari manuskrip kau, semua benda akan jadi huru-hara.
- Guna header dan footer. Pada header, letak judul tentatif manuskrip tersebut, beserta dengan nama pena kau. Pada footer, nombor muka surat.
BONUS TIPS (utk MS WORDS):
- Aku akan activate tetapan 'Navigation Pane' dan 'Ruler' pada tab VIEW.
- Aku juga akan guna fungsi 'Heading 1' pada tab HOME dan kemudiannya aku tukar menjadi nama Bab yang sedang aku tulis. Jadi, setiap bab akan tersusun kemas menjadi semacam suatu siri tabs memanjang pada navigation pane di sebelah kiri ketika aku menulis.
Tapi ramai jugak yang tak guna cara aku. Ada yang lebih suka simpan setiap satu bab dalam fail berasingan, disimpan dalam satu folder. Terpulanglah. Ikut keselesaan dan cara kau tulis dan sunting manuskrip kau.
Prolog. Perlu atau tidak?
Serius. Ini juga sebenarnya terpulang. Tetapi bagi aku, sebaik-baiknya tak perlu mulakan manuskrip dengan prolog.
Dalam erti kata lain, tulis je dulu sampai selesai, lepas tu baca balik dan tanya diri sendiri, "Kalau manuskrip ni ada prolog, ada beri kesan apa-apa tak?" dan "Kalau aku buang prolog ni akan terjejas teruk tak jalan cerita buku ni?"
Selalunya dua soalan penting di atas akan muncul bila kau sedang sunting draf pertama kau nanti. Prolog ni semacam teaser-lah bagi buku kau, memberi hint-hint awal tentang apa yang pembaca bakal temui dan terokai ketika membacanya. Tetapi selepas kau baca, dan kau dapati yang kalau tak ada pu tak apa, baik padamkan saja.
Tetapi peraturan ini berbeza sedikit dengan epilog.
Epilog ni macam bab habis akhir yang menceritakan apa yang terjadi selepas semua benda dah settle dalam cerita kau, kira macam penamat yang habis final-lah, the grand finale. Bagi aku, epilog ni perlu dalam sesebuah manuskrip berdasarkan tiga faktor utama:
- Ia sebagai penanda bahawa buku ini bakal ada sambungan, sebab dalam epilog kau akan tulis sedikit teaser tentang apa yang bakal terjadi lepas tu.
- Ia sebagai pelengkap cerita. Tetapi kisah dalam epilog ni selalunya berlaku dalam durasi jauh dari bab akhir manuskrip tu, contohnya 5 tahun selepas adegan dalam bab akhir, dan kau nak cerita apa terjadi kat watak-watak kau.
- Pengukuh kepada ending yang kau dah buat dalam bab akhir. Contohnya dalam bab akhir orang jahat mati, jadi dalam epilog kau ceritalah yang hero akhirnya kahwin dengan kekasihnya dan hidup bahagia (ok, klise).
Ayat pertama dalam bab pertama harus power.
Ini merupakan nasihat yang diberikan oleh salah seorang pensyarah aku bila dia dapat tahu (lebih kepada terkantoi sebenarnya) yang aku sudah menerbitkan BISIK dan sedang dalam proses menulis sekuelnya, iaitu KOYAK.
Sekali lagi, tiada peraturan atau formulasi khusus untuk menghasilkan ayat pertama yang power dalam bab pertama manuskrip kau. Petua aku: tulis je dulu. Edit kemudian.
Ada penulis suka mulakan ceritanya dengan dialog, ada suka mulakan dengan situasi, ada suka mulakan dengan fakta. Ada pelbagai resepi yang boleh dicuba dan dipelbagaikan. Tak kisah macam mana kau mulakan ayat pertama kau, tetapi satu tips yang boleh kau cuba ialah print dua-tiga bab pertama manuskrip kau (sama ada yang dah siap atau tidak) dan tunjukkan pada seorang pembaca yang kau boleh percaya berikan kritikan paling jujur. Highlight ayat pertama dalam bab pertama manuskrip tu dan tanya pada dia lepas dia baca, apa pendapat dia tentang perenggan tu.
Selalunya, dalam kes aku, draf pertama memang huru-hara, tapi masuk draf kedua, ketiga dan yang terakhir selalunya dah habis solid sebab kau dah sedia maklum tentang kekurangan dan kelebihan manuskrip kau, dan semestinya dalam proses beberapa draf tu kau dah baiki mana yang kurang. Tapi hal ini molek kita cerita pada bahagian berikutnya dengan lebih terperinci.
Tahu limit harian menulis sendiri.
Ada orang boleh duduk tercokoh kat meja study tu dan menaip dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari. Solid. Siap 1 bab sehari.
Ada orang boleh tulis 2000 perkataan sehari. Ada orang ikut mood dia.
Yang penting, disiplin dan tahu masa yang paling sesuai bagi otak kau aktif menulis, dan juga limit harian untuk kau menulis.
Bagi aku, entah kenapa, mungkin sebab faktor sunyi (kot?) aku memang boleh menulis dengan baik selepas jam 11 malam ke atas, dan selalunya akan berhenti menulis sekitar 2 pagi (atau lebih, kalau tiba-tiba tersyok pulak menulis hari tu). Siang hari payah sikit nak menaip. Pernah cuba, tapi otak macam tak mahu jalan, ada je alasan merepek yang menyebabkan aku tak boleh nak menaip waktu siang (nak keluar pergi tengok wayanglah, ada drama best kat tv, gangguan kucing, kerja-kerja lain yang tertunggak, mak ajak pergi shopping, dll).
Jadinya, cuba perhatikan pola menulis yang paling kau selesa dan cuba kekal dalam jadual sebegitu.
Macam aku, kalau aku sedang usahakan satu-satu manuskrip, terus-teranglah aku cakap memang akan tak cukup tidur sebab aku menulis waktu tengah malam, lepas tu kena bangun awal pagi untuk buat kerja lain pulak. Mengantuknya jangan cakaplah. Tapi nak buat macam mana, dah itu je waktu yang paling best untuk otak aku beri ilham untuk menulis.
Beruntunglah mereka yang jenis boleh menulis pada bila-bila masa, di mana-mana jua dan dalam apa kondisi sekalipun. Asal tengah riba laptop, boleh je siapkan sekurang-kurangnya suku bab.
*
Baiklah, cukup sahaja setakat ini. Artikel ini bakal bersambung (lagi) di bahagian seterusnya.
Selamat menulis semua!
=)
=)
Ulasan