Rasanya aku bukanlah orang yang paling ampuh untuk berbicara tentang aspek penulisan kerana aku sendiri akui yang karya-karya aku yang (alhamdulillah) setakat ini telah tersiar teramatlah sedikit sehingga boleh dibilang dengan sebelah tangan sahaja jumlahnya. Namun ada yang datang kepadaku dan bertanyakan tentang bagaimana aku selaku seorang penulis menjalani proses menzahirkan apa yang terbenam di dalam otak ke dalam ruang sempit segi empat bercetak bernama kertas yang ditatap dan dibaca oleh khalayak umum.
Baiklah. Membebel panjang tidak berguna, mari kita teruskan membaca.
Seperti yang kita sedia maklum, menulis cerpen (atau novel) memerlukan naratif dan penggerak kepada naratif itu merupakan watak-watak yang bermain di dalam suatu susunan plot yang menceritakan apa yang watak itu lalui, buat dan sebagainya. Tidak perlulah aku ceritakan tentang pelbagai jenis naratif atau point of view (orang pertama serba tahu, orang pertama terbatas, orang ketiga serba tahu, orang ketiga terbatas, dll), watak (protagonis, antagonis, watak sipi, dll) dan pelbagai jenis gaya menyusun plot (in medias res, secara kronologikal, imbas muka, imbas ke hadapan, dll) kerana aku anggap pembaca yang membaca entri ini sekurang-kurangnya sudah tahu serba sedikit tentang ini semua. Kalaupun tidak tahu, mohon digugel dan baca sendiri.
=)
Pertama sekali, bekas pensyarahku ketika di peringkat ijazah sarjana muda dulu pernah berkata yang seorang penulis lazimnya mengalami proses berbentuk seperti segitiga.
Di bahagian puncaknya, dinamakan sebagai "Menulis apa yang anda sedia ada tahu".
Di tengah-tengahnya pula "Menulis tentang apa yang watak anda tahu dan mahu tahu".
Dan akhir sekali di penghujung dasar segitiga itu wujudnya "Menulis tentang apa yang anda dan watak anda mahu pembaca tahu".
Sehingga kini aku rasa apa yang bekas pensyarah aku kisahkan ini ada betulnya dan sangat efektif bagi aku untuk menjadikan sebuah cerita yang menarik. Mari kita lihat ketiga-tiga fasa ini dengan lebih terperinci.
1. Menulis apa yang anda sedia ada tahu
Sebelum mula membuka Microsoft Word (atau apa-apa perisian menulis yang kau guna untuk menulis) selalulah ingat bahawa sebaiknya ambil satu aspek yang anda sedia ada tahu dan mulakan kembangkan aspek itu.
Aku ambil satu contoh. Rasanya semua orang pastinya kenal akan John Grisham, novelis prolifik yang terkenal dengan novel cereka fiksyennya yang berjudul 'The Firm'. Beliau merupakan seorang peguam yang berjaya sebelum menempah nama sebagai seorang penulis terkenal bergenre legal thriller di mana novel beliau terjual dan diulang-cetak beratus-ratus juta salinan ke serata dunia.
Nampak apa yang aku cuba sampaikan?
Seorang peguam, menulis novel yang berkait-rapat dengan hal-ehwal perundangan, yang sememangnya menjadi makanan rujinya. Ini adalah kerana dengan bermula dengan idea atau aspek yang penulis itu sendiri sudah selesa dan sedia maklum, idea sokongan dan jalan cerita dengan sendirinya akan secara 'magisnya' akan mengalir keluar dari otak dan dipindahkan ke jari-jemari yang menaip di papan kekunci.
Bayangkan John Grisham, seorang peguam yang mempunyai pengalaman berbelas-belas tahun dalam bidang perundangan mahu menulis sesuatu tentang amat asing baginya, sebagai contoh tentang navigasi pelayaran. Semestinya belum sempat dia mahu kembangkan idea itu dia sendiri akan menemui jalan buntu kerana banyak hal tentang aspek pelayaran laut yang dia tidak tahu.
2. Menulis tentang apa yang watak anda tahu dan mahu tahu
Apabila sudah mendapat idea atau konsep tentang apa yang mahu ditulis, mula bentukkan suatu perkisahan daripada konsep tersebut. Aku ambil contoh novel sulung aku, BISIK. Watak utamanya, Mikael, seorang graduan UKM yang tinggal di Bangi, menepati hampir kesemua aspek yang aku sendiri lalui. Aku sendiri seorang graduan UKM, tinggal sudah lebih empat tahun di Bangi; makanya latar tempat watak yang aku bentukkan ini dengan mudah sahaja aku visualisasikan dan terjemahkan ke dalam ayat-ayat di dalam novel tersebut. Begitu juga dengan tempat-tempat lain yang Mikael kunjungi dan naiki di dalam novel itu, hampir kesemuanya aku sendiri pernah aku lalui.
Seterusnya, kembangkan lagi perincian watak yang ada itu dengan memasukkan apa yang watak itu tahu dan apa yang dia mahu tahu. Anggap watak yang sedang kau bentukkan itu sebagai sebiji balang kosong yang boleh diisi dengan apa jua jenis cecair atau pepejal yang kau mahu. Aku visualisasikan Mikael itu seorang graduan, tinggal di kawasan Bangi, bekerja sebagai seorang penulis, punya beberapa kawan (watak sokongan, yang aku bangunkan berdasarkan intipati dan perwatakan beberapa individu di sekelilingku yang aku kenal).
Nah, wataknya sudah mulai 'terisi' dan apa yang tinggal hanyalah ditiupkan 'rohnya' saja. Bagi aku, aku hanya akan letakkan watak yang aku bangunkan ini kepada suatu situasi yang biarkan dia dengan bebasnya berinteraksi dan berbuat semahunya di dalam situasi yang aku bentukkan itu.
Faham? *bunyi cengkerik*
Mikael, seorang penulis yang baru sahaja memulakan kariernya, dilanda tragedi aneh apabila dia menyaksikan teman serumahnya jatuh dari balkoni dan mati di tempat kejadian. Apa yang berlaku seterusnya? Apa yang Mikael, penulis muda itu bakal lakukan?
Aku biarkan Mikael ini 'berinteraksi' dengan situasi yang aku bangunkan tersebut. Dia tahu yang kedai serbaneka 7-Eleven ada menyediakan papan kenyataan yang menyediakan iklan rumah atau bilik sewa. Nah, selebihnya aku biarkan Mikael meneruskan langkahnya yang berikut. Jujur aku katakan sebenarnya penceritaan dalam BISIK itu awalnya langsung tidak seperti apa naskah akhir yang dicetak dan dijual sebagai novel yang (terima kasih!) dibeli dan dihayati oleh anda semua. Awalnya, aku andaikan Mikael akan berbuat ini, ini dan ini... Nah, apabila aku biarkan dia berinteraksi dan bersosial dengan latar tempat, masa dan apa yang berlaku ke atasnya, lain pula yang jadi.
Bagi aku, dengan membenarkan watak yang dibangunkan tadi berinteraksi dengan latar tempat, masa dan apa yang berlaku di sekelilingnya, secara tidak langsung aku memberikan kebebasan kepada watak itu untuk meneroka dan menjalani hidupnya secara lebih realis.
Sama prinsipnya seperti permainan video The Sims.
Kau sediakan latar tempat, masa dan segala macam yang sewajarnya, dan kau 'campak' watak kau ke dalamnya dan perhatikan apa interaksi yang bakal dia lakukan. Secara creepy-nya watak kau itu (dalam kes akulah!) akan mulai 'hidup' dengan sendirinya dan menjalani kehidupan di dalam dunia yang kau bangunkan itu.
Nah, secara tidak langsung kau akan mula menulis tentang apa yang watak kau mahu tahu.
3. Menulis tentang apa yang anda dan watak anda mahu pembaca tahu
Selepas membangunkan watak berdasarkan ciri-ciri dan perihalan yang kau tahu, letakkannya di dalam latar tempat, masa dan berinteraksi secara automatisnya di dalam dunia ciptaan kau itu, langkah seterusnya akan menjadi amat mudah sekali.
Apa yang pada penghujungnya mahu kau capai, watak kau lalui dan pembaca kau dapat tahu hasil daripada membaca cerita yang kau tulis ini.
Untuk "kebaikan" mereka yang masih lagi belum mendapatkan dan membaca BISIK, aku enggan membuat spoiler di sini. Namun, apa yang aku boleh cakap ialah, pada penghujung cerita ini, aku mahu pembaca tahu yang Mikael itu sebenarnya......... ha, isilah sendiri.
***
Nah, tiga fasa yang aku lalui untuk menulis yang aku sendiri amalkan dan sehingga kini alhamdulillah membuahkan hasil penulisan yang aku kira baik, walaupun pada hemat aku, masih terlalu banyak lagi perkara yang aku mahu pelajari tentang teknik-teknik menulis yang baik.
Aku harap dengan huraian entri ini maka serba-sedikit terjawablah soalan ramai orang yang bertanya apakah proses yang aku lalui dalam menghasilkan sebuah karya fiksyen.
Sekian, terima kasih.
=)
Ulasan