354: ada apa dengan hari guru?

bittersweet.

itu saja yang aku mampu ucap kalau orang tanya aku tentang pengalaman merai atau dirai bersempena dengan hari guru. ya, hari guru tidaklah se-majestic  atau se-fancy hari kekasih atau hari raya, tapi aku punya rasa peribadi yang amat dekat kalau teringat akan hari guru.

aku terpanggil untuk teringat akan satu senario yang mustahil untuk aku lupa sampai aku mati. ini serius. pertama ketika aku di sekolah rendah. aku budak kurus keding yang duduk di baris habis belakang dalam kelas yang payah benar hendak bercakap sebab aku sendiri tidak yakin yang aku sebenarnya eloquent dalam senyap (baca: kuat membebel dalam hati). 

ketika di sekolah rendah aku tidak punya ramai kawan. mereka yang tegur dan bercakap dengan akupun aku boleh kira dengan sebelah tangan. bilangannya tersangatlah sedikit. sebenarnya dalam diam, aku menyedari yang aku sebenarnya seorang yang gagap. kau boleh bayangkan kata-kata yang kau janakan di dalam otak kau itu sejelas-jelasnya, tapi bila kau buka mulut patah-patah kata itu tersangkut-sangkut payah benar hendak terzahir. makanya oleh sebab itulah aku memilih untuk diamkan diri sahaja.

kemudian entah dari mana datang beraninya, ketika aku di darjah empat (atas dorongan cikgu Bahasa Inggeris aku yang aku sudah lupa namanya siapa) aku mencuba untuk memasuki kumpulan koir sekolah. ya, mungkin kedengaran seperti kisah saduran dari cerita Glee, tapi itulah hakikatnya. aku hadirkan diri pada sesi ujibakat terbuka kumpulan koir sekolah dan tatkala Cikgu Lily (ya, cikgu berbangsa Cina dengan rambut potongan babydoll dan sering datang ke sekolah memakai dres bunga-bunga) siap sedia di piano, dia tanya aku mahu nyanyikan lagu apa.

aku bisikkan ke telinganya lagu 'The Rainbow Connection'.


 


sebenarnya aku sudah banyak kali pernah dengar lagu ini di televisyen ketika aku kecil benar, dan aku pernah terjumpa liriknya dalam sebuah majalah yang aku simpan. aku tak tahu kenapa, lagu itu terasa dekat benar di hati aku. Cikgu Lily melarikan jemarinya pada kekunci piano, ketiak aku terasa basah berpenuh, belasan (atau mungkin hampir dua puluh?) pasang mata tertumpu pada aku. gemuruhnya rasa seperti kalau ada lubang di sisi tempat aku berdiri itu aku tidak teragak-agak untuk terjun ke dalamnya dan kambuskan diri.

apa yang terjadi selepas itu aku kurang pasti. seakan adukan magis, khayalan dan mungkin sekali aku pitam sebenarnya. aku tidak tahu. tapi ramai yang bersorak, menepuk tangan dan Cikgu Lily juga ujar yang suara aku bernada tinggi sekali (iyalah, masih belum akil baligh, mestilah boleh capai nada-nada yang tinggi itu, ya tak?). minggu berikutnya aku dipanggil untuk latihan koir, dan aku ditempatkan dalam kumpulan Alto.

aku tidak tahu kami berlatih untuk apa sebenarnya, sehinggalah minggu terakhir kami berlatih, barulah Cikgu Lily beritahu yang lagu-lagu yang sedang giat kami latihkan itu akan dipersembahkan ketika hari guru. empat lagu kesemuanya, termasuklah satu nyanyian solo dengan iringan ahli koir yang lain menyanyikan lagu 'The Rainbow Connection'.

siapa lagi yang harus menyanyi secara solo itu kalau bukan aku.

ya. aku.

bangga campur gugup campur rasa hendak terkencing sebenarnya. mulanya aku ingat kami berlatih lagu itu hanya untuk memanaskan peti suara dan bukannya untuk dipersembahkan di seluruh khalayak sekolah. sangkaanku meleset. betapa naifnya aku ketika itu.

berkat dorongan rakan-rakan dalam kumpulan koir dan Cikgu Lily, perlahan-lahan aku berjaya menakluki masalah gagapku.

syukur.

walaupun terkadang hingga ke hari ini aku seperti dapat rasakan gagap itu masih ada sedikit-sedikit ketika aku bertutur, tetapi rasanya tidaklah seketara dan sejelas ketika aku kecil dulu.

aku benar-benar berterima kasih kepada Cikgu Lily dan semua warga pendidik yang pernah mengajarku. tanpa mereka mustahil untuk aku menjadi seperti ini sekarang, mustahil aku berani untuk mempercaturkan bakat menulisku dan menghantar manuskrip pertamaku ke Fixi.

aku mungkin tidak lagi boleh menyanyi (kerana suara sudah pecah dan tidak secomel Nobita lagi untuk menyertai kumpulan koir), tetapi aku amat-amat berterima kasih kepada hari guru kerana berjaya menyedarkan aku bahawa warga pendidik merupakan mereka antara yang paling berharga di muka bumi ini.

selamat hari guru semua.

assalamualaikum.

Ulasan