352: [siri ulasan buku] #34 - ilusaniti karya adib zaini.

Aku sebenarnya jauh lebih teruja hendak membaca karya sophomore tulisan Adib Zaini setelah sekian lama dia menyepi sejurus selepas novel sulungnya ZOMBIJAYA yang diluncurkan pada penghujung 2011. Apa yang pasti, ILUSANITI kekal dengan laras bahasa santai, sedikit ditaburi dengan profaniti (yang aku kira perlu untuk menambah rencam realism kepada cerita ini) dan masih lagi mengekalkan trademark Adib Zaini yang berjaya menyerlahkan minatnya yang mendalam terhadap rujukan budaya pop Barat (baca: elemen kultus dan muzik-muzik metal).

Sebagai seorang self-proclaimed geek, Adib Zaini sekali lagi bijak mengadunkan elemen kisah-kisah lagenda perbandaran (baca: urban legend, wah... alihbahasa langsung katanya!) Barat ke dalam nuansa lokal, seperti mana yang telah beliau berjaya lakukan dalam novel beliau yang terdahulu. Penulis juga banyak bersandarkan kepada pengaruh tulisan H.P Lovecraft dan juga permainan World of Warcraft, di mana sayangnya kedua-dua hal ini merupakan penulis dan permainan yang aku gemari. Aku tahu tentang hal Adib Zaini sedang mengusahakan sebuah manuskrip baru yang mengambil dua elemen ini sebagai tunjang utama kepada intipati ceritanya lewat temubual beliau di sebuah radio internet [KLIK SINI UNTUK DENGAR].

ILUSANITI bermula dengan beberapa sahabat atas talian yang memutuskan untuk bertemu buat pertama kalinya dalam satu sesi menonton wayang bersama-sama. Apa yang terjadi selepas itu merupakan rentetan domino effect usai mereka berpisah daripada menonton wayang tersebut. Kesemua mereka mulai didatangi mimpi-mimpi aneh, dan satu persatu daripada mereka mulai mati secara mengejut dan tragis. Keadaan mulai semakin terdesak apabila mereka mulai merungkai misteri yang menyelubungi persamaan yang wujud dalam mimpi-mimpi mereka dan suatu organisasi jahat yang berselindung di sebaliknya.

Nuansa 'gelap' dan dark-humour yang diselitkan dalam pergerakan plot yang pantas nyata memberikan suatu keterujaan kepada pembaca untuk terus membaca dan mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Fariz dan rakan-rakannya demi untuk menyelesaikan misteri yang sedang membelenggu mereka.

Cumanya bacaanku sedikit terganggu dengan nama-nama watak yang agak mengelirukan pada awalnya. Acapkali aku harus belek halaman-halaman terdahulu untuk mengetahui who is who kerana setiap satunya punya dua nama (satu nama sebenar, dan satu lagi nama atas talian). Namun masuk sahaja suku pertama aku sudah boleh membiasakan diri dengan watak-watak yang ada dalam ILUSANITI. Walaupun tidak diperincikan sedalam mungkin, watak-watak yang ada dalam ILUSANITI nyata terasa amat realistik dan believable.

Ketepikan langgam bahasanya yang agak terbatas, ketepikan juga code-switching dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris yang acapkali menjadi pilihan naratif mahupun dialog-dialog pertuturan di kalangan watak-watak yang dipaparkan, dan berikan sepenuh tumpuan kepada bagaimana Adib Zaini berjaya 'menipu' pembaca sehinggalah ke helaian habis akhir novel setebal 318 halaman ini.

Ya, ILUSANITI bukanlah karya sastera yang mampan (itu kau boleh mohon baca koleksi Usman Awang atau Arena Wati) dan aku masih lagi berdiri dengan pendirian lamaku dalam ulasan terhadap ZOMBIJAYA bahawa novel kedua Adib Zaini ini tidak pretentious, tetapi membawa halwa segar dalam dunia penulisan urban tanah air.

ILUSANITI - antara ilusi dan sanity kau, mana satu yang menjadi taruhan?

Ulasan