@XSTROLOGY: #Cancer's find hard to let go of their past relationships. They will find way to remain friends with their exes.
- dipetik dari Twitter.
Yang pertama bermula pada tahun 2000, dan berakhir kira-kira lima tahun kemudian. Kami masih lagi bersahabat hingga kini walaupun dia bekerja di Kota Singa dan jarang sekali ketemu. Walaubagaimana pun, kami berjanji akan sentiasa luangkan masa di Skype atau YM dan kalau kebetulan dia ada mahu ke Malaysia, dia tidak akan teragak-agak untuk hubungi aku dan kami akan makan malam bersama, bertukar-tukar anekdot tentang apa yang telah berlaku ke atas diri masing-masing sejak terakhir bertemu.
Yang kedua bermula pada tahun 2005, dan tamat sekitar sembilan bulan berikutnya. Tanpa sedar aku sekadar rebound untuknya. Setahun juga aku merawat luka. Akhirnya kini masih lagi boleh bersembang lewat Facebook dan Whatsapp walau tahu masing-masing pernah punya lipatan sejarah tersendiri.
Yang ketiga bermula pada tahun 2006, hanya bertahan satu semester. Yang ini paling terkesan buat aku. Kalau tidak, masakan aku dedikasikan satu label khas buatnya di blog ini. Entahlah, ada sesuatu yang dia lakukan yang membuat aku amat sukar untuk memadam perasaan ini terhadapnya. Kini aku tidak tahu status aku bersama dia: sahabat, kenalan siber, atau hanya dua orang asing yang tidak lagi punya kesempatan untuk bertemu.
Yang keempat bermula pada tahun 2009, bertahan hanya setahun. Hanya si dia yang aku enggan dan tidak mahu kekal bersahabat (walaupun ada juga cubaan separa masak darinya untuk hubungiku). Entahlah. Dengan yang ini hatiku nyata remuk redam dan tidak dapat terima hakikat yang aku ditinggalkan layak sampah sahaja.
Yang kelima. Ah, aku masih lagi menanti yang kelima (dan harapnya yang penghabisan) untuk muncul. Aku sudah letih benar mahu mencari.
Ulasan