Aku sebagai salah seorang penulis yang menyumbang cerpen di dalam Antologi Cerpen FIXI ketiga ini mungkin sekali antara mereka yang paling lewat memiliki buku kecil berwarna ungu dengan kulit dihiasi lilin-lilin comel ini.
Apa-apapun, berikut merupakan ulasan serba ringkas untuk kesemua cerpen yang dimuatkan dalam naskah edisi terhad ini.
Mohon kepada sesiapa yang masih belum mendapatkannya boleh segera membelinya di Pesta Buku Antarabangsa 2013 nanti, khuatir ia habis kerana seperti 2 antologi FIXI yang terdahulu, KLCC hanya dicetak sebanyak 1,500 salinan sahaja.
1. Jangan Terjun - Nadia Khan
Aku seperti dapat merasakan ini merupakan suatu spin-off daripada novel Nadia Khan yang berjudul 'Kelabu' itu, mungkin sekali kerana nama-nama watak yang ditampilkan mirip benar dengan novelnya yang terdahulu. Cerita yang mudah: tentang cinta, pengharapan dan apa yang tidak pasti di masa akan datang.
2. Ground Zero - Khairul Nizam Khairani
Pertama kali membaca karya tulisan beliau lewat novel 'Gergasi' terbitan FIXI. Tiada yang istimewa sangat, naratif sisi idea cuplikan situasi sebenar 9/11. Namun begitu, aku suka laras bahasa yang digunakan. Penyudah yang sedikit menggigit, aku suka!
3. Mata - Shaz Johar
Bagaimana rasanya jika orang yang kau harapkan sebenarnya berkorban demi untuk kebahagiaan kau? Perit, bukan? Begitulah dengan kisah yang terpapar dalam 'Mata'. Salah satu cerpen kegemaran aku sebenarnya.
4. Nyawa - Raja Faisal
Kekal dengan identiti beliau, cerpen pasca-apokaliptik bahana global warming ini sangat-sangat imaginatif. Aku angkat topi kepada penulis kerana berjaya menggarap cerita sebagus ini. Asyik terbayang gabungan cerita 'Children of Men', '2012' dan 'Deep Impact'.
5. Ripuk - Hasrul Rizwan
Pertama kali membaca judulnya, aku garu kepala - tidak tahu maksudnya sehingga harus belek kamus. Nyata langgam bahasa sang penulis jauh sekali meninggalkan aku yang kerdil ini. Ceritanya mudah sahaja, tentang maruah, tentang penghormatan, tentang sejauh mana kau mahu memperjuangkan apa yang kau rasa betul sehingga kewarasan kau dijentik. Bijak.
6. Warisan - Julie Anne
Penulis berkali-kali memberi amaran kepada aku bahawa cerpennya ada berbaur seperti iklan Petronas sedikit. Aku tidak nafikan hal itu. Nama-nama watak menggenapkan elemen 1Malaysia, jalan cerita seperti iklan tahun baru Petronas. Namun yang pastinya berjaya buat aku seka air mata yang berkumpul di pelupuk (jujur!).
7. Dalam Tangan Papa - Adib Zaini
Cerpen yang bertunjangkan sukan gusti ini nyata menyuntik elemen sentimental dan kemanusiaan yang amat mendalam. Jukstaposisi antara berani kerana benar, atau akur kepada kehendak orang lain diadun dengan amat bijak sekali. Salah satu cerpen kegemaran aku dalam antologi ini.
8. Takdir - Hani Amira Suraya
Mengambil elemen saduran daripada filem 'Final Destination', cerpen ini biasa-biasa saja buat aku. Namun penyudahnya aku kira mencuba untuk lari dari acuan klise, bagus dan tersendiri.
9. Gadis dan Dua Menara - Faratira Aimiza
Klise dalam genius. Terbayang narator dalam novel 'The Lovely Bones'.
10. Empat - Mim Jamil
Reaksi aku usai membaca cerpen ini: "HUH? Eww, hedonisme tahap tinggi! Eh."
11. Kalau Lapar Cari Chomet - Syaihan Syafiq
Cerpen sendiri. Ada yang bertanya, apakah kisah ini bertunjangkan elemen LGBT, namun ingin saya jelaskan cerpen ini harus dibaca mengikut kefahaman dan latar peribadi pembaca itu sendiri. Tak semestinya watak Chomet dalam cerpen itu seorang homoseks. Dia mungkin juga seorang gadis, pondan atau janda. Saya karang cerpen ini dengan harapan pembaca sendiri yang membentuk dan memberikan pakaian kepada watak-watak dan kisah yang terpapar menurut pengalaman pembaca sendiri.
Apa-apapun, identiti sebenar Chomet itu biarlah rahsia. Khabarnya dia masih lagi bahagia bersama abangnya itu. =)
12. 2 Tiang, 1 Jambatan - Shafaza Zara Syed Yusof
Aku benci tweethandle @Zara_Syed ini kerana sekali lagi menyajikan cerpen yang benar-benar handal dari segi editorialnya. Tanpa membaca nama penulisnya aku sudah boleh jebak ini mesti cerpen Zara kerana teknik narrative splicing yang digunakan oleh beliau membuat pergerakan plot terasa laju dan menggigit, walaupun atas dasar cerita yang sebenarnya biasa-biasa sahaja. Salah satu cerpen kegemaranku, dan ingin sekali dilihat dikembangkan untuk dijadikan sebuah novella (atau drama bersiri?).
13. Penjaga - Dayang Noor
Usai membaca cerpen kak Dayang aku tidak boleh tidak membayangkan Victoria Secret's Angels. Gabungan saifai, realisme dan teknologi masa hadapan menjadikan garapan cerpen ini antara yang paling tidak terduga. Syabas!
14. Izzaq - Faizal Sulaiman
Nyatanya penulis novel 'Sumbat' ini bangkit dari kritikan yang aku berikan lewat cerpen beliau yang terdahulu di dalam 'Antologi Cerpen BOLA'. Izzaq menampilkan kisah *spoiler* dilema seorang suicide bomber antara menyudahkan misinya atau membatalkan sahaja niat memperjuangkan fahamannya itu. Genius!
15. Serikandi Malaysia - Arif Zulkifli
Aku kira cerpen ini paling terlalu mencuba. Ceritanya bagus, cuma aku kira terkadang terlalu terikat dalam ruang-lingkup klise hubungan ayah-anak yang diikat agak longgar. Mungkin kalau dikemaskan dari segi naratif kerana terasa seperti ditulis agak terburu-buru. Namun begitu, ini merupakan satu cerpen yang bagus. Lain dari yang lain.
16. Koc Lampau Capai Cakerawala - Azura Mustafa
Satu lagi cerpen yang menggunakan akronim KLCC seperti cerpen aku. Cerpen saifai ini sepertinya suatu tempelakan halus kepada situasi politik yang sedang dialami oleh negara kita ketika ini. Itu apa yang aku rasalah.
17. Nek Som, KLCC dan Kucing Bernama Zorg - Azrin Fauzi
Kau tak boleh tulis cerpen dengan tajuk yang lebih panjang lagi ke, Azrin? Apa-apapun aku tergelak sendiri membaca keletah kucing bernama Zorq yang mampu berkata-kata, Nek Som yang seorang penggemar tulisan karya A. Samad Said, dan elemen saifai yang digarap dengan baik sekali.
18. Jemput Makan - Zulaikha Sizarifalina Ali
Mulanya aku fikir *spoiler* ini kisah seorang pengamal kanibalisma. Rupanya aku tertipu. Celaka! Syabas buat Siz atas cerpen yang baik seperti ini.
19. Gerbang Neraka - Ridhwan Saidi
Aku agak kecewa sebenarnya dengan nukilan penulis kegemaranku kali ini. Gabungan elemen psikedelik, ketuhanan, absurdism dalam cerpen ini nyata meninggalkan aku dengan menggaru kepala dan meletakkan buku berwarna ungu ini ke samping kerana tidak begitu memahami cerpen yang dipaparkan. Ah, mungkin aku tidak se-deep penulisnya barangkali.
***
Apa yang pasti, usai membaca Antologi Cerpen KLCC ini, pastinya ramai antara kalian yang bakal melihat bangunan pencakar langit mercu tanda Kuala Lumpur itu dari perspektif yang berlainan, mungkin sekali lewat kaca mata berona ungu!
=)
Ulasan