Baiklah.
*teguk kopi*
Memandangkan aku berasa agak akademik dan ala-ala ilmiah hari ini, mari kita belajar serba-sedikit tentang naratif penceritaan dalam sesebuah penulisan fiksyen.
Mana-mana yang rasa entri kali ini agak berat sila beredar cepat, sebab aku rasa entri ini agak panjang sebenarnya.
Kau telah diberi amaran.
Seperti yang sedia maklum, naratif adalah suatu susunan kejadian yang dilaporkan (atau dipersembahkan) sama ada mengikut kronologi kejadian itu berlaku ataupun tidak. Info selebihnya sila gugel sendiri sebab ini bukan kuliah Kesusasteraan 101.
*ehem*
1. Ketahui 'suara' naratif kau
Benda pertama yang kau patut tahu ketika kau tulis sesuatu cerita ialah, siapa yang menceritakan cerita ini? Adakah watak kau yang bernama Mahmud itu menceritakan dalam suaranya sendiri? Atau ada suara lain yang mempersembahkan cerita si Mahmud ini kepada dia? Atau adakah kisah si Mahmud ini diceritakan oleh beberapa watak sampingan iaitu rakan sekelas Mahmud yang sebenarnya dalam diam mahu tangkap dia dan tambat budak busuk itu ke sebuah dahan dan bogelkan dia? Atau adakan kerusi kayu dengan penyadar sumbing yang Mahmud si gemuk busuk itu duduk ceritakan dan laporkan apa yang dia buat saban hari di sekolah?
Sebenarnya, boleh saja kau tulis sesebuah cerita tanpa 'suara' naratif ini, tapi sewajarnya kau patut tahu secara automatik 'suara' naratif kau pada pengakhiran perenggan pertama cerpen/novel/trilogi/saga yang kau sedang tulis itu, atau kau bakal tulis suatu cerpen merapu-rapik macam orang tengah high LSD tulis dan sekaligus akan membuat pembaca rasa menyampah (sebab obviously tak faham apa yang kau tulis) dan koyak cerpen/novel/trilogi/saga yang kau tulis dengan gigih itu.
2. Tahu beza perspektif pandangan pertama (first-person point of view) dengan perspektif pandangan orang ketiga (third person POV)
Baiklah. Kau dah siap tulis perenggan pertama tentang kisah Mahmud si gemuk busuk kuat kentut itu. Untuk memudahkan kau, first-person POV ini selalunya menggunakan kata ganti nama pertama, iaitu "saya" atau "aku". Contohnya; (Aku masuk kedai buku tu dan nampak Mahmud si gemuk kuat kentut itu. Aku tendang bontot dia laju-laju sampai dia terjatuh. Aku tengok dia tak nangis tapi bangun dan kejar aku sambil koyak baju dan seluarnya macam The Incredible Hulk). Third-person POV pulak bila kau guna kata ganti nama ketiga macam "dia", "mereka", "Mahmud". Contohnya; (Dia kejar budak kurus kering itu dengan kelajuan 100 kilometer sejam. Tak semena-mena, dia ditahan polis trafik yang membuat road-block di tengah-tengah koridor yang menuju ke kantin sekolah).
3. Ada juga perspektif pandangan orang kedua (second-person POV)
Yang ini menggunakan kata ganti nama "kau". Pada hemat aku, menggunakan 'suara' second-person POV ni bijak, tapi agak susah hendak ceritakan sebenarnya. Susah nak terangkan, kau kena cuba tulis sendiri baru kau tahu betapa susahnya nak tulis naratif dalam POV ni. Contohnya; (Kau rasa perlahan-lahan badan kau mengembang, baju kemeja putih dengan seluar biru sekolah kau mula tetas. Kulit kau bertukar jadi hijau!)
4. Antara menonton dengan melaluinya adalah dua hal yang amat berbeza.
Kau pernah tonton wayang? Tengok drama Korea kat laptop? Ah, membaca sebenarnya sama saja pengalaman macam menonton filem, cuma durasinya (kalau novellah maksud aku) jauh lebih panjang daripada sejam empat puluh minit yang kau bazirkan ulang tengok Winter Sonata lepas tu nangis sorang-sorang kat dalam bilik.
Third-person POV ni kau kena anggap macam sebiji kamera yang tergantung ala-ala pakcik crew kamera yang ikut watak kau ke mana saja dia pergi dan melaporkan apa yang watak kau tengah buat. Kadang-kadang pakcik crew kamera ni penat jadinya dia berhenti rehat kat bangku sekejap tapi masih usyar rapat kat watak tu dari jauh, kadang-kadang dia suka zoom dekat-dekat sampai nak masuk dalam lubang hidung si Mahmud tu. Dalam erti kata lain, macam menonton.
First-person POV pulak macam kau bagi kamera tu kat salah seorang watak dalam cerita tu, (contohnya si Mahmud) atau kau sumbat je kamera tu dalam lubang hidung si Mahmud tu dan rakam apa yang si Mahmud tu nampak. Dalam erti kata lain, si Mahmud tu sendiri yang jadi pakcik kamera yang bertanggungjawab merakam dan melaporkan apa yang dia lalui. Faham? Oh, second-person POV pun sama jugak macam first-person POV cuma kali ni kamera tu kau jolok masuk dalam mata kau sendiri dan kau tekan punat merah yang rakam apa yang kau nampak dan lalui. Yay!
5. Berapa banyak yang patut pembaca 'patut' tahu.
Persoalan ini agak tricky tapi mustahak sebenarnya. Kau sebagai penulis patut hadkan berapa banyak yang patut pembaca kau tahu tentang sesuatu perkara yang berlaku dalam naratif kau. Sebagai contoh, first-person POV, pembaca hanya didedahkan oleh apa yang Mahmud si gemuk busuk tu fikirkan, rasa pedas nasi goreng yang dia telan tu, sakit hatinya bila Julia tolak pelawaan dia untuk tengok wayang bersama. Tapi kalau third-person POV, pembaca boleh tahu buah fikiran semua watak yang tengah kejar Mahmud yang mencuri rambutan kat dusun Pakcik Dollah yang fidofilia itu. Atau kau, sebagai penulis, langsung tak dedahkan buah fikiran mana-mana watak yang tengah belasah Mahmud separuh mati, tapi sekadar melaporkan ala-ala Karam Singh Walia untuk TV3.
6. Anggap pembaca macam tengah mengendap kau menulis - gaya objektif
Gaya objektif ni boleh diibaratkan macam kau letak dua-tiga ekor anak kucing dalam kotak kasut, lepas tu kau ajak pembaca kau jenguk tengok keletah anak kucing tu sambil kau duduk bersimpuh kat sebelah dan ceritakan yang Tommy Hilfiger yang bertompok tu tengah mengiau, Coco Chanel yang warna oren tu tengah jilat tapak tangannya, Miuchia Prada yang warna hitam legam tu selamba kodok kencing kat satu sudut dalam kotak kasut tu.
7. Pembaca seorang psikik, otak dia 'bercantum' secara telepatik dengan salah satu watak - gaya subjektif
Kau bagi alat kawalan jauh kamera yang kau jolok dalam hidung si Mahmud tu kat pembaca kau dan biar pembaca kau 'rasa' apa yang Mahmud tu rasa. Lebih mesra gittew sebab pembaca boleh 'nikmati' apa yang Mahmud rasa secara intelektual, emosi dan rasa kecewa bila Julia yang hot gila tu suka hati je reject offer si Mahmud nak tengok wayang sebab Julia tu sebenarnya seorang lesbian (eh, macam kenal je...)
8. Gaya Omniscient (aku tak tahu perkataan ni dalam BM apa) - pembaca macam tuhan yang tengah usyar rapat dari atas.
Gaya ni aku perhatikan menjadi pilihan banyak penulis kat luar sana; Stephen King salah satu daripadanya. Tak cukup dengan alat kawalan jauh kamera dalam hidung si Mahmud, pembaca disajikan dengan remote kepada semua watak yang tengah beraksi, jadi pembaca boleh rasa secara majmuk apa yang watak-watak dalam cerita tu tengah lalui, sebijik macam tuhan.
9. Perspektif orang ketiga terbatas.
Perspektif orang ketiga terbatas dinamakan sebegitu sebab had apa yang 'diketahui' oleh orang ketiga itu dibatasi oleh sesuatu batasan yang ditetapkan oleh penulis, selalunya dihadkan kepada hanya satu watak tunggal, berbanding dengan lambakan remote control dalam gaya omniscient kat atas. Gaya perspektif orang ketiga terbatas ni selalunya diaplikasikan kepada hanya satu watak dalam kolektif naratif cerita yang penulis tengah karang untuk timbulkan unsur 'rapat' dan intimasi dengan pembaca.
Contohnya, ambil senario orang kampung tengah kejar Mahmud yang tengah melarikan diri dengan seikat rambutan tadi. Julia, gadis kampung yang dikhuatiri seorang lesbian tu usyar dari jauh je kejadian kejar-mengejar tu, dia boleh je join sekaki, sadung kaki si Mahmud gemuk busuk tu, tapi dia memilih untuk tidak sebab dia nak tengok apa yang orang kampung buat kat Mahmud lepas tu. Adakah Julia keluarkan iPhone dan rakam sebab nak simpan video, atau tengok live, terpulang kepada banyak masa informasi yang penulis hendak pembaca (baca: Julia) tahu dan buat. Faham?
10. Gaya episodik - kuasa 'melihat' berubah-ubah ikut watak dalam cerita.
Kalau korang dah pernah baca novel Hilang karya kak Dayang Noor, kau akan perasan yang setiap bab berselang, POV naratifnya bertukar dari seorang lelaki kepada seorang lelaki kepada satu lagi watak, sebelum POV-nya kembali kepada watak lelaki tadi.
Semacam kau silih-tukar remote control antara kamera Mahmud dengan Julia. Lebih menarik sebenarnya sebab pembaca ada variasi keintiman (ok, sedikit lain macam ayat ni).
11. Padangan orang pertama subjektif - sisi dalam first-person POV.
POV jenis ini yang paling umum dalam banyak-banyak jenis pandangan orang pertama. Sebabnya, ia membenarkan pembaca tahu setahu-tahunya tentang watak yang satu ini, seolah-olah pembaca berada dalam otak watak utama tersebut, menyebabkan thrill dan tahap keterujaan pembacaan agak tinggi sebenarnya. Ini adalah jenis POV yang aku cuba adaptasi dalam novel sulung aku iatu 'Bisik'. Dalam erti kata lain, pandangan orang pertama subjektif ni tak lain macam sang penulis benar-benar menjiwai watak utama dalam penceritaannya itu, lengkap dengan memakai busana dan gestur tubuh sang watak tersebut tatkala dia sedang menaip cerita tersebut.
12. Teknik penceritaan objektif.
Pernah baca surat khabar atau manuskrip teater? Nah, teknik penceritaan ini sama macam itulah. Teknik penceritaan objektif menyingkirkan semua perincian terhadap perasaan dan gelodak jiwa yang dilalui oleh watak-watak dalam naskah dan hanya menceritakan apa yang dilihat. Sisi perincian emosi watak adalah tertakluk kepada interpretasi pembaca itu sendiri. Sebenarnya, ia juga tertakluk kepada penulis itu juga - berapa banyak yang dia (selaku penulis) mahu simpan dan biarkan atas tafsiran pembaca itu sendiri. Semakin naratif itu bersifat objektif, semakin tinggilah beban tafsiran pembaca.
13. Teknik pandangan pertama omniscient
Macam huraian #8 tadi, gaya penceritaan omniscient ni menganggap pembaca macam tuhan, dia tahu semua yang berlaku, cuma naratif ayatnya dalam ayat pandangan orang pertama. Setakat ini aku hanya perasan teknik ini wujud dalam dua novel iaitu The Lovely Bones dan My Name is Red. Tak banyak penulis (pada hemat akulah) boleh menulis dalam naratif ini dengan baik sebab naratif ini agak tricky untuk dibangunkan sebenarnya. Macam dalam The Lovely Bones, watak utamanya seorang gadis yang sudahpun mati, makanya agak 'logik' jugalah kalau perspektifnya agak omniscient. Sesebuah jalan cerita yang menggunakan teknik ini (sekali lagi, pada hemat aku) harus mempunyai watak yang 'bijak' kerana kalau watak itu bukan seorang psikik, hantu, tuhan atau roh yang merayau-rayau mungkin sekali naratifnya agak jadi agak janggal.
14. Narator sisi pandangan orang pertama yang pelbagai.
Ada juga novel yang aku baca punya banyak first-person POV. Bab pertama diceritakan dari mata Mahmud, bab kedua dari Julia, bab ketiga dari Pak Dollah. Apa yang pasti, setiap satu 'suara' naratif ini harus boleh dibezakan dengan mudah oleh pembaca.
15. Jadi, mana satu POV yang paling popular?
Pada hemat aku, naratif yang paling popular dan diguna oleh kebanyakan penulis adalah first-person subjective dan juga third-person limited. Pandangan orang pertama lazimnya menjadi pilihan di kalangan novel remaja kerana ia memberi ruang keintiman yang cukup-cukup makan kepada pembaca untuk memancing pembaca terus membaca dan habiskan novel tersebut.
16. Saya mahu novel say ditulis dalam perspektif pandangan pertama, dan kemudian dalam bab berselang ditukar dengan pandanga orang ketiga, boleh tak?
Tak ada masalah. Itu tulisan kau pulak. Tapi harus diingatkan, menukar POV secara bergilir dalam sesebuah manuskrip bakal menjadi sangat-sangat rumit kalau ia tidak ditulis dengan berhati-hati. Mungkin kau punya logik yang tersendiri mengapa kau mahu persepektif berselang begitu makanya terserahnya. Asalkan ada sebab kau buat begitu. Adakah teknik persepektif berselang itu kerana kau mahu buat segmentasi episod (baca: imbas kembali, imbas ke hadapan) atau kau sekadar mahu sesuatu yang maha kompleks seperti membaca novel ini. Terserah.
17. Harus konsisten, harus jelas.
Pilihlah mana POV sekalipun, yang penting dua hal ini MESTI ada. Harus konsisten, harus jelas.
18. Anggap pembaca macam boneka dan POV itu seperti tali-tali yang mengawal boneka itu.
Jujurnya tugas seorang pencerita (baca: penulis) bukanlah menjadi 'rakan' kepada pembaca. Sebaliknya pencerita ini hanya menjalankan tugasnya mencerita, tidak lebih dari itu. Ini adalah kerana sebanyak mana informasi yang pembaca tahu atau peroleh dari pembacaannya itu benar-benar bergantung kepada si pencerita. Kurangkan penceritaan, maka kuranglah apa yang pembaca tahu. Lebihkan penceritaan, maka banyaklah yang pembaca akan tahu. Kadang-kadang wujud juga pencerita yang berselindung di sebalik naratif yang tidak berguna, menceritakan perihal yang 'bohong' belaka kepada pembaca, hanya untuk didedahkan oleh satu lagi naratif baru di hujung naskah yang memberitahu bahawa pencerita pertama yang sepanjang novel setebal 1368 halaman itu telah menipu pembaca hidup-hidup dengan kisah pembohongan yang didedahkan oleh pencerita kedua pada halaman 1366, iaitu di halaman epilog. Rupa-rupanya si pencerita pertama tu orang gila yang sedang bercerita kepada pembaca. Genius, bukan?
19. Perbezaan perspektif boleh timbulkan unsur ketegangan.
Pandangan orang ketiga membenarkan pelbagai watak dalam naskah untuk sedar akan perincian dan kejadian yang berlaku dalam satu-satu bab, pembaca juga sedia-maklum akan hal ini. Pandanga orang ketiga omniscient pula membenarkan pembaca tahu lebih banyak tentang kejadian yang diceritakan.
Bezakan senario ini:
Orang kampung tidak tahu akan apa yang setiap satu daripada mereka fikirkan, tapi kau (pembaca) tahu, jadinya kau (pembaca) tahu yang Julia sebenarnya merancang untuk menculik Mahmud dan menjual ginjalnya kepada pasaran gelap, dan Mahmud tidak tahu tentang hal ini.
Dengan senario ini:
Mahmud berasa sangat cuak dan curiga apabila melihat Julia mula membuat beberapa siri panggilan telefon. Disusuli oleh perbualan yang tidak begitu jelas kerana Julia dikerumuni orang kampung. Mahmud hampiri Julia, cuba untuk menguping perbualan telefon itu, hanya untuk disepak-terajang oleh Julia. Sah, Mahmud syak mesti ada sesuatu yang tidak kena pada Julia.
Nampak beza naratif antara kedua-dua senario di atas? *sengih*
20. Kalau tidak pasti, padam dan tulis semula.
Ini hal habis akhir yang aku sering amalkan. Aku akui, dua-tiga bab awal manuskrip Bisik ditulis dalam POV orang ketiga omniscient. Masuk bab keempat, aku rasa 'suara' Mikael itu sebenarnya lagi 'dekat' dengan aku berbanding dengan yang lain-lain. Makanya aku rombak semula, tulis balik dalam POV Mikael. Nah, hasilnya banyak pembaca aku yang datang dan bilang mereka suka akan naratif aku sebegitu. *sengih lagi*
Ulasan