336: [siri ulasan filem] #08 - stoker.


My ears hear what others cannot hear. Small, far away things people cannot normally see are visible to me. These senses are the fruits of a lifetime of longing. Longing to be rescued. To be completed. Just as the skirt needs the wind to billow, I’m not formed by things that are of myself alone. I wear my father’s belt tied around my mother’s blouse and shoes which are from my uncle. This is me. Just as a flower does not choose its color, we are not responsible for what we have come to be. Only once you realize this do you become free. And to become adult is to become free.
- India Stoker


Sukar untuk meletakkan sama ada aku suka benar akupun tidak filem berbahasa Inggeris arahan Park Chan-wook (satu-satunya filem terdahulu beliau yang pernah aku tonton adalah Thirst) lakonan gandingan mantap Mia Wasikowska, Matthew Goode dan Nicole Kidman.

Apa yang aku boleh puji adalah pemilihan pelakonnya memang amat berketepatan sekali. Sinematografi dan suntingan filem ini juga cemerlang sekali, menjadikan ia antara filem paling 'indah' pernah aku tonton setakat tahun 2013 ini (selain Life of Pi dan juga Cloud Atlas).

Kematian mendadak ayahnya, menyebabkan hidup India Stoker (Mia Wasikowska) dan ibunya (Nicole Kidman) berubah sama sekali. Kemunculan adik kepada mendiang ayahnya (Matthew Goode) yang entah dari mana datang mula menimbulkan rasa curiga dan tidak senang duduk antara kedua anak-beranak yang sudah sedia maklum hanya menanti masa bahawa hubungan mereka yang suam-suam kuku itu bakal menjadi tambah renggang.

Naskah yang ditulis oleh Wentworth Miller ini pada luarnya cukup kuat, namun pada hemat aku gagal diinterpretasikan oleh pengarahnya dengan baik. Makanya kita hanya disajikan dengan syot-syot 'cantik' (seperti babak bagaimana India menghadapi kemurungan sebaik sahaja menyedari bahawa ayahnya itu pergi tidak kembali), bahkan babak-babak ganas yang dipaparkan juga bagi aku terlalu 'cantik' dan artistik untuk aku berasa loya dan takut, sebaliknya terpesona melihat manipulasi kamera yang bijak bagaimana (oh, ini mungkin merupakan sedikit spoiler) pakcik Charlie menanggalkan tali pinggangnya untuk digunakan sebagai senjata membunuh mangsanya.

Aku kira kalau diteliti semula dan dibiarkan watak India itu bersuara dengan lebih nyata, berbanding dengan hanya memaparkan gestur-gestur canggung pencarian identiti yang dialami oleh India sepanjang filem ini. Nyatanya, seperti yang diceritakan tadi, pemilihan pelakon yang memegang watak ketiga-tiga teraju utama filem ini memang amat bersesuaian lagi. Nicole Kidman yang kita semua sudah sedia maklum memang handal berlakon (antara lakonan beliau yang paling terkesan bagi aku mungkin sekali dalam filem The Others, The Hours, Rabbit Hole dan The Paperboy) walaupun hanya muncul dalam beberapa babak yang boleh dihitung dengan sebelah tangan sahaja sepanjang filem Stoker ini, namum kehadiran beliau nyata amat terserlah. Mia dan Matthew pula cemerlang memegang watak masing-masing dalam Stoker. 

India (Mia) yang terasa terasing dan terpinggir gara-gara kematian ayahnya, dan pakcik Charlie (Matthew) yang enigmatik, karismatik dan penuh misteri, dengan memek muka bersahaja dan beliakan matanya yang penuh kejam nyata berjaya menghidupkan filem yang berdurasi satu jam tiga puluh minit ini.
 
Apa yang boleh dipuji selain daripada syot-syot indah yang dipapar dalam Stoker, semestinya runut bunyi yang melatari filem ini berjaya menimbulkan rasa keterdesakan dan kekeliruan di antara ketiga-tiga watak utama berkenaan. Clint Mansell yang mendapat nominasi Grammy untuk susunan muzik beliau dalam filem hebat Black Swan pada tahun 2010 sekali lagi berjaya mengulangi signatur unik beliau untuk filem Stoker.

Filem yang aku tunggu-tunggu sejak pertengahan tahun lepas lagi nyata agak mengecewakan sebenarnya. Niat sebenar pakcik Charlie yang didedahkan pada klimaks cerita lewat revelasi imbas kembali serba tragis kisah Charlie di waktu kecil - dan itu sahaja yang benar-benar membuat aku tidak senang duduk tatkala menonton filem ini kerana tidak sabar-sabar hendak tahu apa yang bakal berlaku seterusnya.

Aku kira mungkin juga permasalahan kekangan bahasa yang timbul sepanjang proses menginterpretasi naskah berat ini yang menyebabkan filem ini agak mendatar. Visi dan suara Wentworth Miller nyata agak 'tenggelam' meskipun beliau sebenarnya yang menulis naskah ini. Mungkin kalau naskah skrip ini berada di tangan pengarah lain (Christopher Nolan, Francis Ford Copolla atau mungkin juga Alejandro González Iñárritu) ia boleh menjadi lebih baik.

Ulasan

Raz berkata…
apabila membaca ulasan anda, sy teruja untuk menyaksikannya. terima kasih
JL berkata…
Bagu juga ulasan you. I pun dah tengok filem nie.
www.jeffleemovies.com