340: [siri certot] #07 - makcik aminah si tukang cuci asrama.

Ini sebenarnya percubaanku untuk kontes ASRAMA
Tak menang. 
Tak apalah. 
Rasanya certot aku ini bukan sedap mana pun.

=)

*

Nama makcik Aminah Talib. Makcik dah lama kerja sini, berbelas tahun. Kalau nak diikutkan, makcik tak berapa suka kerja makcik, tapi nak buat macam mana, makcik bukannya belajar tinggi macam budak-budak yang tinggal kat sini. Makcik kerja tukang cuci asrama je kat sin, itu je yang makcik tahu buat.

Apa yang makcik tak faham ialah macam mana budak-budak yang tinggal kat asrama ASPURA dua blok ni betul-betul mencabar kesabaran dan iltizam makcik untuk kerja bersungguh-sungguh. Dia orang ni betul-betul menjengkelkan makcik. Tak faham betul, dia orang ni macam tak ada adab sivik langsung! Cuba kamu tengok tandas ni; tahi bersepah-sepah, air kencing merata-rata. Susah sangat ke nak tarik pam dan pancutkan air kasi bersih sikit supaya orang lain selesa nak kongsi tandas ni? Kat singki tu, macam tak reti nak cucur air lepas dia orang ni bercukur atau buang kahak. Jijik sungguh!

Hari Jumaat lepas makcik tak berapa sihat, jadi makcik tak datang bersihkan asrama. Hujung minggu makcik tak kerja jadi Isnin berikutnya bila datang, tong sampah sebelah dengan bilik air tu dah penuh pepak dengan segala macam sampah sarap, siap melimpah-limpah dan berkumpul kat lantai. Terpaksalah makcik kutip pakai tangan, masukkan dalam plastik sampah, ikat kemas-kemas dan usung satu-satu bungkusan sampah tu ke tempat kutipan sampah kat belakang blok.

Tapi yang pastinya makcik kasihan kat Senah yang minggu lepas kena bersihkan blok ASPURI kat seberang padang sekolah sana. Jenuh dia nak uruskan tandas-tandas tersumbat gara-gara ada budak bodoh yang campakkan tuala wanita kat dalam lubang jamban tu. Apa punya banganglah budak-budak ni.

Minggu ni giliran makcik bersihkan blok ASPURI pulak. Makcik baru je usung baldi yang berisi segala kloroks, berus penyental dan segulung paip getah bila –

“Aaaahhhh!!!”

- alah, dah kenapa budak perempuan berkemban tu lari lintang-pukang? Tak pernah nampak makcik tukang cuci tak ada kepala ke?

Ulasan