325: [siri ulasan buku] #30 - sumbat karya faizal sulaiman.

Aku akui, sebenarnya agar sukar untuk menulis sesebuah karya yang menampilkan barisan watak, pelbagai plot yang bergerak serentak (lengkap dengan konflik, permasalahan dan peleraiannya yang tersendiri, sebelum bersatu di satu titik klimaks besar) tanpa a) meninggalkan aspek-aspek kualiti penceritaan dan naratif yang baik dan b) menghasilkan karya yang bebas loophole. Kalau adapun naskah yang sebegitu, pastinya tidak cukup untuk dipersembahkan dalam naskah yang hanya setebal sekitar 300 halaman. Aku terpanggil untuk mengingati novel Warisan karya Abdul Talib Mohd. Hassan, The Stand karya Stephen King, ataupun siri The Vampire Chronicles karya Anne Rice yang bagi aku berjaya mempersembahkan sebuah kisah multiple characters dengan watak-watak berselirat dan perkembangan naratif yang amat cemerlang sekali tanpa menjejaskan kualiti "pembinaan" watak itu sendiri.

Amaran awal: SUMBAT merupakan suatu naskah bacaan yang meletihkan. Kau bakal dijamu dengan watak-watak (yang aku kira ada sekitar kurang 20 kesemuanya) yang pelbagai kerenah, jalan cerita yang  tersengguk-sengguk dan nama makanan berjela-jela yang aku kira tak perlu pun disebut sebenarnya tetapi tetap juga disebut oleh penulis (mungkin kerana beliau mahu pembaca tahu dan sedia maklum bahawa dia seni kulinari?) sehingga menyebabkan terkadang kau rasa kalau buang nama-nama makanan dan cara-cara memasak entah apa yang termuat di dalam novel ini, pastinya ia lebih padat, mesra-pembaca dan mudah hadam.

"Hiburan melekakan budak-budak zaman sekarang!"
- Abdul Fakar, bab 8, halaman 71.

SUMBAT merupakan percaturan sulung Faizal Sulaiman dalam arena penulisan kreatif kontemporari, memaparkan konflik yang timbul selepas insiden Kafe Halia terbakar dan bagaimana tragedi itu memberi impak kepada watak-watak di sekitarnya. Lipatan-lipatan sejarah, rungkaian rahsia dan kisah-kisah lampau yang terjadi pada pekerja dan juga pengunjung kafe tersebut menjadi rencah dan tunjang utama kepada SUMBAT. Konspirasi balas dendam, kekasih gelap, amnesia, pertukaran identiti dan cinta tak kesampaian; semuanya diSUMBAT ke dalam novel terbaru keluaran FIXI ini. Bagi mereka yang rajin singgah ke blog penulis, semestinya sudah sedia maklum dengan gaya tulisan beliau yang sarat dengan anekdot sinikal yang terkadang harus dibaca berulang-kali untuk difahami. Kosa kata yang dimiliki oleh penulis ternyata amat luas, aku menemui banyak perkataan-perkataan deskriptif baru yang sama ada pertama kali aku baca atau sudah pernah baca tapi tidak terpanggil untuk mengugel maksudnya.

Membaca SUMBAT seolah-olah membuat kau akan berada di Wisteria Lane, tetapi versi Malaysia. Watak-watak archetypal klise sebuah komuniti masyarakat ada di dalam SUMBAT. Sejujurnya amat sukar untuk aku klasifikasikan sama ada aku suka atau tidak akan novel ini. Cliffhanger yang muncul pada penghujung hampir setiap bab terkadang membuat aku rasa sesak dan rimas untuk membaca kerana (bagi aku) ia agak mengganggu kontinuum penceritaan sesuatu watak. Sudahnya, belum masuk bab 5 lagi tapi sudah hampir lapan watak yang pada hemat aku 'pipih' dan 'tidak berjiwa' diperkenalkan'. Penulis sepertinya terlalu berusaha untuk mempersembahkan suatu kisah multiple plots yang berselirat semacam telenovela atau sinetron, namun ini secara tidak langsung menjejaskan persembahan perincian watak yang diperkenalkan. Kebanyakan watak terasa seperti out of place dan tidak begitu melekat di otak pembaca. Tetapi aku sedar, menjukstaposisikan tulisan Stephen King dan Anne Rice dengan Faizal Sulaiman adalah seperti membandingkan macaroons dengan cucur badak: dua hal yang jauh berbeza. Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan, punya penggemar dan kelemahan yang tersendiri.

Namun begitu, kelemahan ketara yang aku nampak dalam SUMBAT ada tiga.

  1. Latar masa naskah ini terkadang terasa seperti berlangsung pada sekitar pertengahan 80-an (dengan dialog berbaur drama televisyen seperti: "Kenapa kau susah sangat nak tolong mak? Dah tak ada ruang ke mak dalam hidup kau?" [halaman 43]), terkadang ada juga nuansa semasa kerana ada dialog monolog yang menyebut artis terkini seperti Lady Gaga dan Nicki Minaj. 
  2. Walaupun persembahan lenggok bahasa penulis adalah antara yang paling baik pernah aku baca, laras bahasanya juga terkadang agak kejung, dengan ada beberapa prosa dialog di dalam SUMBAT yang terasa seperti lebih sesuai dijadikan naskah teater. 
  3. Latar tempat dalam naskah ini juga sayangnya gagal diperincikan dengan baik. Pembaca dibiar 'mengisi tempat kosong' untuk menggambarkan suasana dan dekorasi Kafe Halia tersebut. Apakah ia sebuah high-end restaurant? Sebuah quaint cafe? Sebuah warung yang hidup segan mati tak mahu? Atau adalah ia sebuah restoran milik Bumiputera di mana lantainya simen dan dindingnya batu tanpa sebarang dekor eksklusif? Kebun Bunga, latar tempat utama dalam SUMBAT juga dibiar tidak dideskripsi dengan baik. Apakah ia semacam kawasan pinggir pekan seperti kawasan Durian Tunggal, Melaka? Atau apakah ia kawasan elit seperti Damansara Perdana? Berpagarkah rumah-rumah di situ, atau apakah kawasan perumahan itu bebas-pagar seperti di Putrajaya? Semuanya dibiar tidak dihuraikan, sehingga aku (ya, aku agak cerewet) terasa sukar untuk menggambarkan senario latar watak-watak yang sakan bersembang di Kebun Bunga itu.

Walaubagaimana pun, jangan salah faham. SUMBAT bagi aku merupakan satu naskah yang bagus. Cuma aku kira suntingan dan pencernaan wataknya kurang sempurna. Jadinya yang tinggal hanya pergerakan plot yang 'dilakonkan' oleh watak-watak yang kurang meyakinkan. Ditambah pula dengan sub-konflik yang berlapis-lapis (yang sememangnya sudah menjadi marque déposée Faizal Sulaiman) menyebabkan pembaca akan banyak kali garu kepala dan bertanya "Eh, ni cerita tentang apa? Kenapa ada kat sini?". Plotnya yang tidak linear juga akan membuat pembacaan terhenjut-henjut seperti menunggang unta. Sehingga ada di suatu ketika, seingat aku langsung tidak ada pun disebut oleh Eva (salah satu watak dalam SUMBAT) tentang keinginannya untuk membuka restoran baru, dan setibanya di bab 12, ada babak majlis pecah tanah restoran. Aku garu kepala. Apakah aku terlepas baca, atau adakah ia tidak diperjelaskan dengan baik?

Konsep 'memberitahu' dan bukannya 'menceritakan' yang wujud dalam SUMBAT menyebabkan perkaitan antara satu watak ke satu watak yang lagi satu dapat difahami dengan jelas. Itu kekuatan terbesar yang aku lihat. Penulis berjaya mengaitkan kesemua permasalahan yang timbul sedari awal bab satu novel setebal 314 halaman ini hingga ke epilog yang menutup kisah ceritanya dengan baik sekali. Kejutan demi kejutan yang akan membuat pembaca berkata; "Eh, dah mati ke perempuan ni?" berjaya memancing pembaca untuk terus duduk (atau baring seperti aku) dan habiskan membaca.

Moralnya, janganlah menderhakai ibu-bapa walaupun mereka sendiri punya sisi gelap yang kau mahu lupakan. Oh, dan dalam hidup ini kita harus bersederhana dalam apa jua situasi. Kerana yang tamak itu hanya bakal akan rugi di kemudian hari.

Apakah ini suatu naskah wajib baca bagi semua penggemar buku FIXI? Semestinya, ya! Tetapi adakah SUMBAT suatu naskah yang boleh diulangbaca, aku mungkin akan ambil sedikit masa dan jawab mungkin tidak. 

Ulasan

Grrrr.
Masih belum pegang lagi naskah ni.
shandye. berkata…
Saya dah habis baca...
(sambil flip rambut dgn angkuh)
HAHHAHAHAHAHAHAHAHAHA...
Mak aii.. review nya pun punya bahasa yang tinggi, takut pula nak baca. Apapun, sebuah review yang aku kira berada di tengah-tengah, macam Perak VS Johor aku lebih pilih VS. Eh! Thanks bagi gambaran awal. So, senanglah cket nak hadam nanti, tak payahlah lagi aku nak guling2 ala2 filem hindustan atau berehat di tepian pantai sambil tengok ombak beralun-alun, eh! So sorry tuan tanah, suka melalut tapi mmg fanatik nak baca review awak. kui, kui, kui.. ^_^
shandye. berkata…
tak tgk bola. so tak faham analogi yg awk guna. hahahahaha... #bimbo
Tanpa Nama berkata…
Aku pun baru bace Sumbat....ok lah utk pertaruhan novel pertama beliau...
Mcm perak versus selangor yg seri tu..ƗƗɑƗƗɑƗƗɑ"̮

Cerita2 dr fixi are fenominal...!!!

Acap
Acapsuur.blogspot
Aj Abdullah berkata…
Duh, aku suka baca review kau, bro. Feelnya seolah-olah air mata aku mengalir deras tanpa henti cam dalam anime Jepun jer. Aku setuju part kau membezakan antara memberitahu dan dan menceritakan tu. Hmmmmm
Minty Mints berkata…
tengah baca SUMBAT. Dah seminggu tak habis-habis. Kadang-kadang rasa lagi best buat benda lain dari teruskan membaca. so buku tertinggal atas meja tak berusik. tapi rugi lak kalau tak baca, sebab dah beli kan? hm maybe lepas dah baca sampai tengah-tengah baru start interesting kot ceritanya.
ms.broken berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
ms.broken berkata…
permulaan cerita agk slow...lpas tue semak....tiba2 aq jd xcited smpai sggup xtido utk abiskn SUMBAT nie...pergghhh....thriller upenyer....terbelit2 lidah aq baca perkataan...tabik la kt pngarang