307: [siri ulasan buku] #26 - gergasi karya khairul nizam khairani.

Khairul Nizam Khairani (KNK) bukanlah satu nama asing dalam dunia penulisan tempatan. Cuma mungkin genre penulisan yang beliau ceburi itu membuat namanya agak terpencil daripada gergasi-gergasi penulis lain di Malaysia yang lebih cenderung akur kepada bentuk penulisan yang tertakluk pada ruanglingkup budaya popular yang ternyata diakui jauh lebih menguntungkan. Namun, harus aku akui bahawa KNK merupakan seorang penulis yang berbakat besar, dan teramat rugilah kalau bakatnya itu dipandang sepi oleh masyarakat, khususnya penggemar novel tempatan.

Gergasi merupakan percaturan KNK yang terbaru di bawah penerbitan FIXI selepas tiga novel beliau yang terdahulu iaitu Kudeta Intro, Kudeta Klimaks dan Anarkis. Tiga novel beliau yang terdahulu diterbitkan di bawah penerbit lain, dan setelah bertahun-tahun manuskrip untuk Gergasi ini tersadai, akhirnya FIXI berani untuk mengambil dan menerbitkan novel bergenre fiksyen sains ini.

Sejujurnya harus aku perjelaskan bahawa nama KNK jatuh ke telingaku dan kedengaran agak janggal. Mungkin seperti apa yang aku jelaskan tadi, KNK menulis dalam genre fiksyen sains yang tidaklah sebegitu gah dan popular bagi demografik pembaca Malaysia jika hendak dibandingkan dengan genre cinta dan kemanusiaan. Apa-apapun, aku harus angkat topi kepada kedua-dua FIXI dan KNK kerana tegar dan berani untuk menampilkan sesuatu yang segar dan berbeza untuk generasi Y masa kini yang mahukan bahan bacaan yang berbeza.

Baiklah. Cukup-cukuplah dengan mukadimah yang meleret-leret. Gergasi memperkenalkan pembaca kepada Rizal, protagonis tidak cukup kacak yang pada mulanya dilihat agak out of place dari plot asas cerita ini kerana dia digambarkan sebagai seorang programmer yang agak ambiguous dan tidak banyak sejarah tentang Rizal yang didedahkan kepada pembaca melainkan yang dia seringkali dihinggap sakit kepala, pitam dan tidak sedarkan diri pada ketika-ketika yang tidak disangkakan. Tambah aneh apabila kemunculan sebuah (atau seorang?) gergasi yang disebut-sebut sebagai Batara Waja tiba-tiba muncul di tengah-tengah kota dan seolah-olah mengambil-alih tugas polis dalam membanteras penjenayah kerana ada beberapa cubaan pihak berkuasa untuk memberkas sekumpulan penjenayah ini ternyata sia-sia dek kemunculan gergasi bernama Batara Waja ini.

Plot cerita dalam Gergasi agak bercampur-aduk dan kadang-kadang mengelirukan pembaca sebenarnya kerana terlalu banyak yang berlaku dalam satu-satu bab. Ini menyebabkan aku agak (maaf) terganggu untuk membaca sebab aku ini seorang pembaca yang perlahan dan aku acapkali berhenti baca di hujung sub-bab, letak naskah ini dan buat kerja-kerja lain (memasak, contohnya) sebelum sambung baca ke sub-bab seterusnya dan momentum dan terkadang aku terlupa apa yang berlaku sebelumnya. Ini menyebabkan aku harus belek kembali beberapa halaman terdahulu untuk mengetahui yang "Oh, aku dah baca perenggan ni sebenarnya!". Setiap bab dalam Gergasi mempunyai pecahan-pecahan sub-bab berlainan lokasi, watak dan terkadang latar masa dan ini sedikit-sebanyak membikin Gergasi bukanlah suatu bacaan yang mudah (sekurang-kurangnya tidak bagiku). Namun, aku sedar mungkin penulis ada alasan yang tersendiri kerana dia mahu tampilkan sisi sebanyak sudut yang mungkin untuk membolehkan pembaca 'tenggelam' dan menikmati dunia Gergasi yang diciptanya. Oleh itu, sebenarnya adalah elok kalau pembaca yang ingin beli naskah Gergasi ini sediakan sedikit masa senggang untuk habiskan baca novel setebal 320 halaman ini dalam sekali duduk sahaja, jangan jadi macam aku yang banyak kali berhenti baca untuk buat kerja lain dan akhirnya tak faham apa yang aku baca.

Oleh kerana susunan plotnya yang pada hemat aku agak terpotong-potong dan tidak linear seperti kebanyakan novel konvensional lain, kekurangan kedua yang aku nampak dalam Gergasi adalah dari segi perkembangan watak yang diperkenalkan di dalam novel ini. Satu: terlalu banyak watak yang diperkenalkan sehinggakan aku sendiri sukar untuk berasa 'tenggelam' dan dekat dengan jalan cerita untuk memahami mereka dengan lebih baik. Ambil contoh perkaitan Anwar-Nuraini-Rizal yang terbina pada penghujung suku pertama novel. Ya, mungkin Anwar dan Nuraini bukanlah leading characters seperti Rizal, namun aku kira perincian yang diberikan kepada mereka teramatlah kurang sehingga aku rasakan hubungkait antara mereka bertiga agak mendatar dan tiada dinamik yang kukuh. Dua: disebabkan terlalu banyak watak yang diperkenalkan, pada hemat aku, penulis seperti tidak dapat untuk memperincikan perwatakan setiap watak yang diperkenalkan sehingga ada beberapa watak yang aku anggap agak papery thin dan mendatar dan two-dimensional.

Namun kelemahan plot yang aku anggap agak menyusahkan pembaca dan sengaja berterabur itu ditutup dengan cerita yang kemas, teliti dan asli, dan menampakkan bahawa penulis banyak membuat penyelidikan demi untuk memastikan accuracy dan elemen-elemen sains fiksyen yang diperkenalkan serealistik dan selogik mungkin. Mungkin ramai yang sudah membaca Gergasi akan terbayangkan robot-robot seperti Transformers atau Iron Man divisualisasikan sebagai Batara Waja tetapi entah kenapa aku asyik kerap terbayangkan Kamen Rider versi lokal. Entahlah. Mungkin aku dibesarkan menonton siri Kamen Rider, barangkali.

Gergasi aku beri dua setengah daripada lima (di Goodreads aku beri tiga kerana tidak boleh meletakkan setengah bintang pada rating-nya) atas sebab-sebab yang aku jelaskan di atas. Mungkin rating yang agak rendah ini aku berikan disebabkan aku membaca sebuah karya yang bukan genre kegemaranku. Ya, mungkin sekali faktor itu yang mempengaruhi aku agar untuk menjadi agak biased dalam menulis ulasan ini. Apa-apapun, bagi penggemar fiksyen sains dan pengumpul novel-novel FIXI, rasanya tak perlulah aku canang lebih-lebih kerana novel ini memang harus dijadikan koleksi peribadi.

Ulasan

ErnieFaizal Siti berkata…
Hmmm...mungkin betul kata awak. Perlu diulangbaca kemudian nilai dari sudut yang lain pula. Tapi saya tak ulangbaca kut...haha..jarang saya nak baca balik novel yang sama kecuali novel abang RAM.
Aj Abdullah berkata…
Ya, sama gak. Aku baca then rehat sehari then baca balik dan rehat seminggu then baca balik. Ini review aku:

http://mynameisnazir.blogspot.com/2012/12/gergasi-book-review.html