klik SINI untuk rembat senaskah sebelum kau orang makan rumput! |
Syukur cerpenku yang kedua selamat diluncurkan lewat kompilasi Antologi Cerpen BOLA terbitan FIXI. Seperti juga KOPI, ini juga merupakan edisi terhad dan khabarnya sehingga entri ini ditulis sudah separuh habis selamat dijual. Jadinya jangan menangis tak berlagu dan gigit hujung tiang gol kalau anda terlewat untuk mendapatkan koleksi edisi terhad ini, sementara stok masih sedang banyak dan laris dijual.
Apa-apapun, Sabtu lepas antologi bersaiz comel berkulitkan padang bola ini selamat dilancarkan di kedai buku Silverfish, di mana aku berkesempatan menjengahkan diri membuat kemunculan serba sederhana.
Sejujurnya, berbanding dengan kumpulan cerpen KOPI, aku akui menghadapi kesukaran yang amat kritikal untuk mencernakan idea mengarang sebuah cerpen yang kukira cukup-cukup mapan untuk berkongsi halaman dalam koleksi ini. Apa tidaknya, kesemua 19 cerpen yang terkandung sama ada berkisar tentang bola sepak, atau setidak-tidaknya intipati sukan kegemaran kebanyakan pria di luar sana berkait-rapat dengan sebiji sfera yang disepak-terajang untuk disumbatkan ke kotak gol. Aku pula sudahlah tidak minat bola sepak, tidak arif benar tentang selok-belok dan peraturan sukan tersebut, ternyata jenuh mencari ilham untuk menulis.
Sedar tidak sedar, slot untuk turut serta dalam antologi ini pantas terisi dan aku antara yang terakhir menghantar cerpenku ke meja editor. Alhamdulillah, rezeki masih lagi berpihak kepadaku dan akhirnya cerpen 'Aku Yang Kegersangan' bakal menjadi jamuan mata kalian yang memilik naskhah buku bersaiz poket ini.
Antologi kali ini aku kira agak hambar (mungkin tema yang menjadi tunjang naskahnya bukan makanan rujiku?) kerana ada beberapa cerpen yang pada hemat aku kurang berbisa rembatannya. Berikut merupakan ulasan serba ringkas dariku tentang kesemua cerpen-cerpen yang terkandung di dalam Antologi Cerpen BOLA. Mohon baca dengan hati dan mata yang terbuka, kerana mungkin agak pedas bercili, mungkin.
=)
10 Langkah - Adib Zaini
Kenangan kisah silam masa kecil terimbas semula oleh dua orang sahabat. Ceritanya manis, mudah hadam dan terkadang membuat kau akan fikir, masih sempatkah kau untuk hidup melihat anak kau membesar?
Rodong - Hasrul Rizwan
Saudara Hasrul Rizwan mengambil sisi perspektif dan naratif yang tidak tersangkakan. Objek sfera bernama bola sepak bukan digunakan sebagai alat permainan, sebaliknya pelampung yang bakal menentukan hidup-mati seorang pelarian yang ingin kembali ke negara asalnya. Satu cerpen yang kukira digarap dengan kemas.
Liga Mandrem - Dayang Noor
Kelakar. Walaupun pada hemat aku agak klise sebenarnya mengaitkan bola sepak dengan bomoh-membomoh (kerana sudah banyak benar cerita dan berita yang berkait) namun jenaka yang diselitkan dalam bait-bait dialog yang dilontarkan kadang-kadang membuat kau berfikir tentang ketelusan hidup kau sebagai seorang manusia di bumi ini.
Diari - Raja Faisal
Penulis yang tidak terlepas daripada menulis kisah-kisah fiksyen sains yang memerlukan daya imaginasi yang agak tinggi. Bayangkan darurat di masa akan datang, bayangkan kancah janaan tenaga baru, bayangkan ayah yang terpisah daripada anaknya yang membesar tanpa mengenal benar ayahnya sendiri. Agak meruntun jiwa, dan aku kira kalau dikembangkan menjadi sebuah novella pun amat bagus sebenarnya.
Sesaat Ke Gawang - Faizal Sulaiman
Tajuknya agak misleading. Aku sendiri sampai ke sudah tidak faham kenapa tajuknya begitu. Maaf kalau aku tulis spoiler, tetapi ini kisah seorang fidofilia yang laparkan daging muda. Naratifnya agak mengelirukan kerana awalan ceritanya memungkinkan pembaca fikir ke arah lain. Entahlah. Maaf, Faizal tapi pada hemat aku cerpen kali ini tidak seinzal cerpenmu dalam KOPI.
Bola Api - Arif Zulkifli
Satu lagi cerpen yang menjengah ke genre fiksyen sains, membayangkan bagaimana kalau negara yang kita anggap aman damai ini dijajah (mohon dijauhkan!) semula dan bola sepak merupakan permainan hiburan bagi kelas yang menindas. Aku cuma agak kecewa dengan bagaimana ia disudahkan. "Eh, macam tu je habis?"
Mohon penulisnya pertimbangkan usulanku untuk kembangkan cerpen ini untuk setidak-tidaknya menjadi satu novella yang kukira bakal menggiurkan.
Satu Sama - Asyraf Bakti
Salah satu daripada tiga cerpen yang bagi aku kurang menyengat. Entahlah. Kisah tentang perancangan sekumpulan orang kampung untuk payback terhadap seorang kenamaan yang mahu menziarah terasa seperti tidak cukup 'ummph'. Walaubagaimana pun, ceritanya bagus. Naratif dan dialognya membuat aku senyum dan ketawa sendirian ketika sedang membacanya.
Menjadi Tuhan - Fikri Misti
Spoiler: ini kisah Maradona, jagoan bola sepak yang dikagumi seantero dunia. Itu sahaja. Yang anehnya kenapa di awalan cerita ketika watak utama digambarkan masih kanak-kanak, dia berbicara dalam loghat utara? Kesengajaan yang menerujakan kerana secara tidak langsung aku belajar fakta bola sepak lewat pembacaan cerpen yang digarap dengan baik ini.
Burger Bola Special - Hani Amira Suraya
Comel yang klise. Kisah 'boy likes girl, boy wants to propose to girl, girl delay the response' ala novel chic-lit.
Rusdi, Pemain Simpanan SK Parit Kering - Mim Jamil
Aku gambarkan watak Adam Sandler versi kanak-kanak persis dalam filem The Waterboy bila membaca cerpen ini. Rusdi budak bawah umur yang menaruh hati terhadap Siti Normah, si PBSM yang memakai bra merah jambu. Agak keterlaluan sebenarnya bila aku bayangkan, wujudkah perasaan sebegitu kuat dari seorang budak lelaki bawah umur yang baru beberapa tahun berkhatan? Seingat aku ketika aku seusia Rusdi, aku tiada masa untuk fikir itu semua melainkan main teng-teng dan tuju kasut bersama rakan-rakan seusia. Eh.
Keychain Bola Berbaju Pink - Zulaikha Sizarifalina Ali
Moral ceritanya, jangan ambil kutip barang yang ditemui (melainkan wang atau telefon bimbit. Eh!) kerana khuatir hidupmu akan jadi kucar-kacir seperti apa yang berlaku ke atas Zam. Dia diintai dua lelaki kacak yang sepertinya berselera untuk mendekati Zam. Kelakar, cuma aku kira plotnya bergerak terlalu laju sehingga ada beberapa perincian seperti kurang dijelaskan. Kalau ditulis semula dan dikembangkan, pastinya akan tambah kemas dan lucu.
Aku Bookie Bolasepak - Nama Nami
Pembaca ikut tumpang mengikuti kisah seorang bookie. Tiada apa yang menarik, melainkan ia sarat dengan 'ulasan' perlawan bola yang pada hemat aku agak membosankan.
Jersi Bola 7 - Shafaza Zara Syed Yusof
Kehebatan Lord Zara dalam menyusun dan mempersembahkan jalan cerita bukan linear memang tidak dapat disangkal lagi. Aku asyik terbayangkan wajah kacak Remy Ishak apabila watak Dzail muncul. Eh. Suatu peringatan untuk saudari Zara, bau kondom strawberi tidak sekuat mana, ya? Melainkan kalau kau lumur-lumurkannya ke wajahmu. Eh.
Oleh Bir Dan Bola - Mohd Azmen
Antara cerpen kegemaranku. Retorik jukstaposisi pengharapan watak utama dengan realiti sebenar dirinya ternyata suatu tempelakan buat mereka di luar sana yang mahu sihat/sasa tanpa berusaha.
Misi Bola Gila - Julie Anne
Satu lagi cerpen kegemaranku. Terbayang Gol & Gincu versi 'akak-akak'. Namun jujurnya penyudahnya buat aku pekup mulut tahan sebak hampir menangis. #iniserius
Bukan Sebab Bola - Nadia Khan
Pembaca sekali lagi disajikan dengan terma-terma medikal yang mengujakan. Siapa yang minat Manchester United (ada kenalanku bilang hanya gay yang minat MU sebab sebutannya mirip 'men's chest jer..' #garukepala) pasti akan terasa sipi-sipi. Eh.
Aku Yang Kegersangan - Syaihan Syafiq
Eh. Cerpen sendiri. Perlu diulaskah? *senyum malu-malu sambil pintal rantai leher dengan loket teddy bear*
Sepak Bola - Ridhwan Saidi
Cerpen daripada penulis FIXI kegemaranku ini sekali lagi mengungguli carta senarai sebagai cerpen yang paling aku gemari. Ya, cakaplah aku biased atau apapun, Ridhwan Saidi bagi aku merupakan seorang penulis yang amat-amat berbakat kerana dia mampu hasilkan tulisan yang bikin kau sebut "What the eff?"
Bahlul vs Beautiful - Shaz Johar
Si mangsa memakan pemangsa yang mencuba untuk memangsakan mangsa. Ha, cukup tersirat tak ulasan aku? Two thumbs up untuk cerpen kreatif ini.
dari kiri: Nama Nami, Dayang Noor, Faizal Sulaiman, Zulaikha Sizarifalina Ali, *siapa entah, tak kenal*, Shafaza Zara Syed Yusof & Shaz Johar (gambar dirembat dari blog jejaka anggun tanpa kebenaran beliau. eh.) |
Aku beri tiga bintang daripada lima. Banyak cerpen yang aku suka sebenarnya walaupun tema bola sepak ini susah untuk aku hadam (sebab tak suka, barangkali?).
nota kaki: aku cemburu dengan rambut editor Antologi Cerpen BOLA ni. #kthnxbai.
Ulasan