210: [siri ulasan filem] #06 - songlap.

Aku jarang berpuas hati apabila menonton filem tempatan. Kali terakhir aku keluar dari panggung menonton filem lokal dan berkata, “Aku suka gila kot cerita ni. Tengok sekali lagi pun aku sanggup!” adalah ketika aku menonton Talentime dulu. Songlap ternyata merupakan sebuah filem bukan konvesional yang cuba untuk lari daripada acuan archetypal filem tempatan. Naratifnya tidak linear, plotnya (walaupun aku kira tidaklah original) tetapi boleh dianggap baru, lakonan pelakon-pelakonnya segar dan meyakinkan dan teknik penyampaiannya menggigit.

Am (Sheheizy Sam) dan Ad (Syafie Naswip) tersepit di antara mahu dengan tidak. Adik-beradik ini terlibat dalam sindiket penjualan bayi yang didalangi oleh seorang perempuan bernama Mama. Am dan Ad punya perspektif hidup yang berbeza; Am hanya mahu kelangsungan hidup mereka diteruskan dengan jalan pintas wang mudah yang mereka perolehi daripada bekerja dengan Mama, walhal Ad sebolehnya mahu pergi jauh-jauh dari sini dan mulakan hidup baru.


Ada beberapa plot yang berlangsung secara selanjar (yang aku perasan) dalam cerita ini:
  • Kisah Ad mahu keluar dari kepompong hidup sedia ada dengan mencuba nasib menyertai pertandingan B-Boy (yang bagi aku macam pointless untuk diketengahkan sebab tak bawa apa-apa pemberat kepada keseluruhan cerita)
  • Kisah Ad berjumpa dengan ibunya (Normah Damanhuri), seorang pelacur yang tidak kenal Ad itu adalah anaknya yang dibuang dahulu (sekali lagi, ini pun aku rasa pointless sebab sampai ke sudah ia tiada peleraian. Mulanya aku fikir akhirnya si ibu akan tersentak dan somehow menerima anak-anaknya, paling tidak mengakui bahawa Ad adalah anaknya, tetapi ternyata plot Ad-Am-Ibu tamat begitu sahaja)
  • Kisah Am yang mahu mengelak daripada gencatan kuasa samseng yang menaunginya apabila kematian Abang Mat
  • Konflik Hawa-Pak Din. Kisah sumbang-mahram yang hanya diketahui dalam lingkungan keluarganya sendiri. Hawa (Sara Ali) tersepit antara mahu lari membawa kandungan anak haramnya itu pergi mencari kakaknya di Kuantan, atau tinggal dan menanggung siksa fizikal dan mental daripada ayahnya yang berperangai iblis itu. Menyedari bahawa anak perempuannya sudah lari dari rumah, Pak Din tidak berlengah untuk menjejakinya dan akhirnya bertemu dengan Hawa dan Ad. 
  • Kisah Hawa-Ad yang bertemu secara kebetulan. Hawa yang gagal ke Kuantan terkandas di Kuala Lumpur dan dibawa untuk bertemu Mama. Ad dan Am datang untuk menguruskan Hawa dan Ad menyedari bahawa Hawa dan Razak (bff Ad yang mati overdose dadah di awal cerita) adalah adik-beradik dan bertekad untuk menyelamatkan perempuan lawa tetapi pucat itu.
  • Kisah Am-Ad sendiri. Yang satu sudah selesa dengan cara hidup sebegitu, yang satu lagi mahu tinggalkan segalanya dan mulakan hidup baru. Apa yang tinggal tanda tanya buat aku adalah untuk apa sejumlah wang yang disorok di dalam tin biskut itu? Apa Am punya rencana tersendiri untuk lari dari Kuala Lumpur? Tidak pula terjelas sehingga ke sudah.


Titular definition Songlap hanya membawa erti selepas sejam cerita berjalan – apabila Abang Mat (Hasnul Rahmat) selaku ketua kongsi gelap (eh, yeke?) yang menaungi Am tiba-tiba mati disembelih ketika sedang leka menonton sambil bertaruh atas satu perlawanan bola sepak (Malaysia vs Vietnam, kan?). Sebaik sahaja Abang Mat mati, seluruh komposisi kongsi gelap yang disertai oleh Am menjadi hilang punca kerana ketiadaan ketua. Masalah demi masalah datang menimpa-nimpa kedua-dua adik-beradik itu sehinggalah dalam keterdesakan itu mereka bertekad untuk membuat sesuatu yang di luar batasan kemampuan mereka.

Aku sebenarnya tidak begitu ambil pusing tentang revelasi cerita pelacuran, salah-guna dadah dan sindiket jual orang yang dipaparkan dalam Songlap. Bagi aku itu memang permasalahan azali yang sehingga kini tidak selesai. Namun apa buat aku tegakkan sandar pada tempat duduk dan berikan perhatian pada Songlap adalah bagaimana isu-isu ini dipersembahkan dengan berjaya mengheret Ad dan Hawa ke tengah segala kekalutan ini dan menjadikan mereka mangsa keadaan. Itu bijak. Hawa tidak tahu apa-apa, Ad tidak mahu apa-apa perkaitan. Kedua-duanya saling melengkapi. Itulah yang menyebabkan Ad bersetuju untuk membantu Hawa lari (ketika dia selamat melahirkan anak di klinik doktor yang bersubahat dengan sindiket Mama) dan berusaha membawanya ke Kuantan.

Aku angkat topi untuk watak Chipun (Fauzi Nawawi). Walaupun hanya watak tempelan selaku tuan punya sarang pelacuran namun wataknya kelakar dan meyakinkan. Sara Ali yang memegang watak Hawa, walaupun dialog untuk keseluruhan filem aku kira tidak sampai dua halaman, menyampaikan lakonan yang cukup kuat dan menggigit.

Aku suka bagaimana Songlap digarap dengan nuansa independent kuat terikat. Penggunaan syot dari sudut ganjil, sekejap dekat sekejap jauh dan kabur, muzik latar yang bukan konvensional dan entah apa-apa (scene kejar-kejar dua buah kereta dengan muzik latar lagu ceria, tak masuk akal tapi kalau diamati lirik lagu tersebut kena benar dengan situasi tegang tersebut) semuanya membuat Songlap seperti sebuah filem pendek indie yang telah melalui proses remake untuk ke arus perdana.

Ad-Am-Hawa-Pak Din-Geng Kongsi Gelap bertemu dalam klimaks cerita yang kemas. Lima pihak yang punya objektif tersendiri berselisih dan bertemu dalam situasi yang tidak dirancang.

Ada orang mati, ada orang hampir mati dan ada orang berjaya melarikan diri. Cuma aku kurang puas hati kenapa Toyol (Fared Ayam) mati begitu sahaja (eh, spoiler pulak!)


Songlap amat-amat aku rekomendasikan untuk ditonton. Serius. Ada sebab mengapa Songlap dihadkan untuk mereka yang 18 tahun ke atas sahaja. Berbaloi sebelas ringgit aku tengok cerita ni. Lima bintang penuh!

Ulasan

Cik Bambam berkata…
tuh ar..cerita mcm best.. nk tgk gak.. sbb pelakon n plot cerita mcm menarik utk ditonton.. :P