Rasanya tak lengkap kalau tak
akhiri tahun 2011 kalau tidak membuat rangkuman tentang apa yang telah aku
lalui sepanjang tahun ini. Tak banyak, sedikit yang paling terkesan dalam hidup
aku, aku ingin kongsi bersama-sama rakan-rakan blogger dan pembaca tegar blog
ini.
Hehe…
Fragmen Tolong & Takdir Ilahi
tenaga produksi Fragmen Tolong (walaupun yg bekerja hanya sekelumit) |
Tahun 2011 dibuka dengan aku
memberanikan diri untuk duduk di kerusi pengarah, mendukung produksi teater
Fragmen Tolong, karya asal Marsli N.O. Ramai yang bilang aku berfikiran senteng
apabila membuat keputusan untuk mengangkat naskah absurd untuk ke pentas pertandingan Pekan Teater Universiti 2011,
namun aku tetap dengan pendirianku. Aku tahu kekuatan naskah ini dan kemampuan
keseluruhan produksi di bawah aku.
Menerajui sebuah kumpulan
produksi yang rata-ratanya diisi oleh muka-muka baru (kebanyakannya pelajar
tahun satu dan hanya aku dan beberapa sahaja pelajar tahun tiga yang masih lagi
mahu meneruskan perjuangan Kelab Teater Sanggar Mas Kolej Keris Mas UKM (SM)
ternyata merupakan cabaran terhebat yang pernah aku lalui. Tidak cukup tidur,
tekanan darah naik-turun, emosi tidak stabil dan entah macam-macam lagi berlaku
sepanjang sebulan lebih mempersiapkan diri menjelang hari pertandingan.
Aku tidak mengharapkan apa-apa,
menang jauh sekali kerana persembahan daripada kolej-kolej lain jauh lebih
hebat dan mampan. Sanggar Mas hanya kerdil hina di antara gergasi-gergasi
penggiat seni teater kolej di UKM. Sekadar menyertai sudah memadai bagi aku. Namun
aku puas, sebaik sahaja babak terakhir usai dan curtain call dimulakan, aku turun dan tunduk hormat dengan air mata
bergenangan di pelupuk. Betul-betul puas.
sebahagian daripada tenaga produksi Takdir Ilahi |
Tahun 2011 pula ditutup dengan
kenangan paling manis iaitu kejayaan paling besar dalam hidup aku setakat ini
dalam kegiatan teater, iaitu apabila memperolehi tempat ketiga di MAKUM 2011 dengan pementasan teater Takdir Ilahi. Siapa
sangka, Kelab Teater Rimba UKM yang kecil, bukan dari fakulti seni persembahan
seperti universiti-universiti lain mampu memberikan persaingan yang cukup
sengit sehingga mampu meraih tempat ketiga. Alhamdulillah, walaupun terpaksa menunggu hampir empat tahun untuk mengintai peluang menyertai MAKUM, aku boleh tandakan tick pada checklist 'menyertai pertandingan teater MAKUM' apabila beroleh peluang pada kali ini. Selalunya pertandingan teater MAKUM berlangsung ketika cuti semester. Oleh sebab itulah sebelum ini aku tidak berpeluang. Tetapi kali ini ia berlangsung pada pertengahan semester, makanya aku tidak berlengah untuk mensia-siakan peluang yang ada di hadapan mata.
bergambar dengan cek kemenangan tempat ketiga. poyo sekejap. |
Takdir Ilahi, walaupun masuk kali
ini sudah kali keempat dipentaskan, ternyata begitu istimewa dan menyengat. Aku
dipertanggungjawabkan sebagai pembantu pengarah dan ketua bahagian busana. Kerja
yang dikandar terlalulah banyak kerana begitu ramai yang cabut angkat kaki di
pertengahan persediaan ke pentas MAKUM. Empat belas hari bersisa sebelum hari
pertandingan, masing-masing korbankan cuti pertengahan semester untuk pulang
awal ke universiti untuk mempersiapkan diri menjelang hari pertandingan.
Anehnya malam persembahan
tersebut (16/11/11) aku langsung tidak gugup. Sebaik sahaja pengacara majlis
mengumumkan tajuk teater dan lampu pentas dinyala, gemuruh hilang berganti
keterujaan. Masa berlalu dengan pantas dan sedar tidak sedar kami sudah
menyempurnakan separuh perjalanan pementasan. Set rumah yang harus berganti usang/baru
berselang babak berjaya aku tukar dengan kemas. Busana pelakon-pelakon yang
terbabit juga sempat bersalin dengan pantas. Sedar-sedar sudah babak akhir dan
usainya sahaja penonton bertepuk dan curtain
call menyusul; sekali lagi air mataku
bergenangan tanda puas.
Anak buah baru
eekk. besarnya mata dia! =) |
Tahun 2011 juga menyaksikan
transisi aku ‘menaiki’ pangkat kepada seorang pakcik. Tanggal 30/10/11 menyaksikan
kelahiran Raeez Mujahid, anak sulung kepada abangku selamat dilahirkan. Gembira
bercampur syukur kerana dia dilahirkan sihat, selamat dan tersangatlah comel. Semoga
Mujahid membesar menjadi anak yang soleh, taat dan janganlah nakal-nakal
sangat. Hehehe…
(Hampir) bertemu cinta baru
Rasanya sudah agak lama aku single. Kali terakhir berpacaran adalah
ketika aku di tahun dua dahulu. Itupun putus di tengah jalan selepas hampir
lapan bulan bersama. Awal semester ini aku bertemu seseorang dan dipendekkan
cerita kami saling tertarik. Tidak lama selepas itu walaupun tiada sebarang
deklarasi masing-masing seperti mengiyakan yang kami merupakan an item. Namun kebelakagan ini dia
seperti tidak responsif. Dingin. Lantaran itu aku membuat keputusan untuk tidak
lagi mahu mengejar sesuatu yang tidak pasti.
Entahlah. Aku separuh berharap
agar 2012 akan membawa perubahan dalam hidupku. Memanglah semua orang mahukan
kebahagiaan, dan aku tidak terkecuali. Antara cepat atau lambat sahaja itu yang
tidak pasti.
Sudah di tahun akhir pengajian
Ini yang agak aku banggakan. Pejam
celik, pejam celik, hampir empat tahun aku berada di UKM. Sudah di tahun akhir
pengajian. 2011 menjadi penanda aras kepadaku sebelum aku menginjak ke semester
akhirku sebagai pelajar UKM. Masuk Februari tahun depan, aku bakal ke praktikum
dan habiskan hampir keseluruhan semester di luar bumi UKM.
gambar kelas ketika di tahun tiga. gila skema serius muka aku! =) |
Pastinya banyak yang bakal aku
rindui. Menaiki bas Kiffah saban pagi untuk ke kuliah, beratur untuk makan
tengah hari di kafe DTAMS, berhimpun dan gelak-gelak di foyer PBL, berteater di Bilik Budaya KKM, Panggung Seni, dan
semestinya Ameerali dan McDonald’s tempat wajib untuk berkumpul dan berjoyah.
=(
Rasanya ada lagi hal yang berlaku
sepanjang 2011 yang telah meninggalkan kesan di hatiku tetapi aku sudah lupa
(barangkali). Apa-apapun selamat tahun baru dan semoga 2012 membuka lembaran
baru untuk kita semua menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang.
=)
Ulasan
happy new year syai!