365: [siri ulasan buku] #39 - kasyaf karya khairi mohd.

** ulasan ini mempunyai mini-spoiler. Jadi bagi sesiapa yang belum membaca KASYAF sila baca hingga habis dahulu sebelum baca ulasan ini. Terima kasih daun keladi **

KASYAF ditulis oleh saudara Khairi Mohd, yang (menurut biodata ringkas yang tersedia di halaman permulaan novel) merupakan seorang jurutera; makanya tidak begitu menghairankanlah jika novel berat ini agak terdorong ke arah situ. Mulanya aku kira KASYAF itu adalah nama salah seorang watak yang terdapat di dalam novel tersebut, namun sepertiga selesai membaca novel ini barulah aku tahu apa maksud sebenar perkataan sepatah itu. Susah bagi aku untuk mengklasifikasikan suatu genre khusus buat KASYAF, jadi mungkin ia sesuai diklasifikasikan sebagai sebuah introduksi metafiksyen sains kepada dunia Kasyaf. Ceritanya dikomposisikan dalam ruang lingkup kurang lebih 48 jam kacau-bilau yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur, Bangi dan kawasan yang sama waktu dengannya, gara-gara kewujudan seorang makhluk bernama Lakhus yang sedang memburu  seorang wanita bernama Hasnitah, yang dikhabarkan merupakan kunci kepada sesuatu yang dibutuhkan oleh kerajaan syaitan. Bunyinya menarik, bukan?

Usai membaca novel KASYAF yang setebal 424 ini, ada beberapa kesimpulan yang dapat aku nyatakan. Pertama, penyudahnya bagaikan agak tergesa-gesa dan sedikit ‘lari’ dari komposisi asal teras ceritanya. Kedua, ia banyak meninggalkan tanda tanya yang dibiarkan tidak berjawab, menyebabkan membaca naskhah tebal terbitan FIXI ini bagaikan suatu hal yang tidak lengkap. Naskhah ini aku kira bagaikan sebuah companion reading, sebuah stand-alone sequel kepada suatu siri cerita daripada tulisan-tulisan sebelumnya daripada penulis kerana banyak sungguh perkara yang aku jumpai dalam KASYAF yang bagaikan dinyatakan sepintas lalu seakan rangkuman atau rumusan kepada kisah sebelumnya. Dalam erti kata lain, novel KASYAF ini merupakan sekuel kepada karya terdahulu penulis.

>> nota tambahan: sudah disahkan di Goodreads bahawa penulis pernah menulis kisah-kisah yang dinyatakan secara sepintas lalu dalam KASYAF menerusi tulisan beliau yang terdahulu (menggunakan nama pena yang berlainan iaitu Xarine). rujuk sini


Profesor Aleem Zufry atau lebih dikenali sebagai Zack pula muncul sebagai protagonis yang dideskripsikan oleh penulis sebagai seorang bijak pandai yang sihat tubuh badannya dan mempunyai kelebihan Kasyaf ini, dan hanya dia (Zack) yang mampu untuk menghalang Lakhus daripada memburu dan membunuh Hasnitah. Premisnya tampak menarik, ditambah pula dengan ritma plot yang bergerak “tersangatlah laju sehingga kau tak sedar sudah baca dua belas bab”, mengingatkan aku akan keserupaan teknik dari pergerakan plot seperti yang wujud dalam novel PECAH dan GERGASI. Terlalu banyak hal yang berlaku dalam satu-satu situasi sehingga terkadang aku selaku pembaca berasa letih untuk kejar dan hadam kesemuanya. Watak demi watak diperkenalkan dengan baik, dengan introduksi ringkas (dan secara berperingkat-peringkat lewat teknik imbas kembali) menjadikan setiap satu daripada watak yang diperkenalkan terasa maujud. Ditambah pula dengan latar tempat yang amat-amat realistik dan deskriptif, aku tidak perlu berimaginasi banyak (atau kuat) untuk membayangkan latar lokasi cerita ini berlangsung. 

Nyatanya penyelidikan dan perincian yang khusus dan mendalam telah dilakukan oleh penulis sebelum memulakan rangka asas novel ini kerana aku betul-betul kagum dengan ketelitian beliau dalam memperincikan latar tempat yang berlangsung dalam KASYAF ini. Suatu hal yang amat-amat aku puji. Banyak informasi tentang hal-ehwal nuklear, susunan geografi latar tempat di mana KASYAF berlangsung, sehinggalah kepada hal-hal berkaitan dengan kejuruteraan dipersembahkan dengan jelas dan teliti, terkadang aku rasa macam baca buku teks Fizik pun ada juga. 

Namun apa yang kurangnya dalam novel ini adalah pada hemat aku, oleh sebab plotnya yang bergerak terlalu laju, ia bagaikan menganaktirikan perkembangan watak dengan baik. Setiap satu watak yang diperkenalkan tadi bagaikan statik dan tidak mengalami sebarang perubahan drastik (baik dari segi fizikal, mental atau rohaninya) melainkan Lakhus sehinggakan terkadang aku merasakan yang Zack ini bukanlah hero atau watak utama dalam KASYAF, tetapi Lakhus. Setiap satu watak yang diperkenalkan punya cerita serba sedikit untuk beberapa ketika, dan kemudiannya untuk sebahagian besar seterusnya watak itu seakan-akan ‘mati fungsi’ di situ sahaja tanpa sebarang penyudah yang konklusif. Aku ambil contoh watak kakak kepada Hasnitah yang dirasuk oleh sesuatu dan menjadi agen kepada kuasa jahat, Hasnitah dan dilemanya yang tidak tahu mengapa dia harus diselamatkan dan tentu sekali Nealoffa (okey, nama ini lucu sedikit pada hemat aku) yang kematian ayahnya – apakah kesudahan bagi kisah mereka? Zack selaku teraju utama novel ini sebaliknya diperkenalkan dengan baik sekali di awalan cerita, tetapi sehingga ke halaman terakhir tidak banyak yang pembaca tahu tentangnya melainkan dia berasa bertanggungjawab untuk menyekat Lakhus daripada memburu Hasnitah dan seterusnya memasuki Lab Four di Agensi Nuklear Malaysia, Bangi. 

Dalam tempoh sesingkat 48 jam modus operandi Lakhus yang mulanya (berdasarkan fahaman akulah, kalau salah mohon dibetulkan, ya?) bertujuan hendak menjejaki Hasnitah yang dikhabarkan merupakan kunci kepada kekuasaan yang hendak Lakhus perolehi. Tetapi separuh pembacaan KASYAF, watak Hasnitah itu bagaikan langsung tiada fungsi kerana objektif Lakhus telah pun bertukar kepada hendak menceroboh masuk Lab Four. Jadi, Hasnitah yang diperkenalkan di awal novel itu seakan-akan hilang fungsinya dan lebih menghairankan lagi langsung tidak menjadi aset penting lagi sehinggalah ke penghabisan cerita yang [SPOILER] disudahkan dengan kehadiran makhluk asing. Oleh sebab terlalu banyak hal yang berlaku pada satu-satu masa dan banyak sungguh watak-watak diperkenalkan, perkembangan setiap satu daripada watak penting dalam novel ini dirasakan agak pipih dan terasing. Namun begitu, aku andaikan bahawa berpadananlah watak-watak dalam KASYAF ini tidak begitu berkembang memandangkan ruang masa keseluruhan durasi latar tempat dalam novel ini berlangsung hanya kurang lebih daripada dua hari, menjadikan bukan watak itu sebagai fokus utama tetapi ceritanya. Jadi masuk akallah juga barangkali.

Oh, menyebut akan Hasnitah, ada satu kecanggungan kontinuasi yang aku kesan dalam novel ini. Ia wujud ketika babak ada dia di dalam komuter, tudungnya tertanggal, tetapi sebaik sahaja selesai gerabak itu berlanggar dia elok sahaja bertudung, tanpa ada sebarang indikasi (atau mungkin sekali lagi aku terlepas pandang) yang tudungnya itu dikenakan semula. Maaflah kalau aku tersalah baca, tetapi itulah apa yang aku kesan.

Dek kerana kepantasan pergerakan plot cerita dalam KASYAF ini, aku acap kali berasa letih dan akhirnya meletakkan novel ini ke samping untuk memberi ruang kepada otakku menghadam apa yang sebenarnya berlaku kepada Zack dan rakan-rakannya, dan apa yang bakal dilakukan oleh Lakhus seterusnya sehinggalah ada suatu ketika aku merasakan bagaikan plot ceritanya menjadi kurang menggigit dek kerana aku sudah boleh jebak dari awal apa yang bakal berlaku selepas itu (tambah-tambah lagi apabila [SPOILER] Nealoffa mendapati bahawa mata ayahnya telah ditukar, secara automatis aku sudah boleh teka yang mata ayah si Nealoffa itu bakal digunakan sebagai kunci di bab mendatang, berketepatan dengan hukum Senapang Chekhov).

Novel KASYAF ini adalah antara novel FIXI yang ‘terbersih’ (baca: bahasa kesat yang amat minimum dan unsur seks yang hampir tiada) walaupun tema dan kisah yang disampaikannya mungkin agak berat dan payah untuk dihadam oleh pembaca kurang matang. Langgam bahasa yang dituturkan oleh watak-wataknya pula segar dan terkadang mempunyai ‘punch-line’ yang agak kelakar sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila membaca dialog yang dituturkan oleh Nik dalam loghat Terengganu dan salah-faham yang berlaku antara watak-watak lain yang cuba untuk memahami lidahnya yang pekat itu. Ini adalah antara novel rare yang di mana aku lebih terdorong untuk menyokong dan menyebelahi antagonis iaitu Lakhus, dan ingin tahu apa yang dia bakal lakukan seterusnya dan langsung tidak mempedulikan akan kisah Zack dan rakan-rakannya dan juga Hasnitah. Cumanya, seperti yang aku jelaskan di awal tadi, penyudah novel KASYAF ini terasa bagaikan tergesa-gesa dan tidak mengimbangi kemantapan awalan ceritanya yang bagi aku antara introduksi terbaik dalam senarai novel-novel keluaran FIXI. Habis ke halaman 424, aku berkata, “Eh, punyalah si Zack dengan member-member dia dok berkejaran bagai nak hentikan si Lakhus, last-last habis macam tu je? Bersambung pulak tu… Ceh, geram betul!”

Bagi peminat novel seperti PECAH dan GERGASI barangkali bakal menyukai apa yang Khairi Mohd sampaikan di dalam KASYAF, kerana bagi aku ritma laju plotnya serupa. Aku benar-benar usulkan novel ini kepada sesiapa yang mahu bahan bacaan yang sedikit mencabar dan informatif. Yang pastinya, novel ini berada di dalam kelompoknya yang tersendiri daripada barisan sedia ada novel-novel terbitan FIXI yang selebihnya.

Ulasan