Aku seorang pembaca yang sukar
untuk dipuaskan. Benar, itu aku tidak sekadar mereka-rekakan fakta. Tanyalah kepada
kenalan rapatku, pastinya mereka sedia maklum kalau ada naskhah novel yang baru
selesai aku baca, jika ditanyakan soalan “Jadi apa kau rasa terhadap novel
(masukkan nama judul novel tersebut) yang kau baru baca tu?” pastinya ada
sahaja ulasan panjang-lebar yang akan aku bebelkan sehingga terkadang tidak
cukup kalau duduk dengan hanya berbekalkan secangkir kopi panas.
Jadi, apabila aku memperoleh naskhah
SERONOK nukilan Saat Omar, sebenarnya aku punya satu perasaan skeptikal yang
agak tinggi terhadap novel yang berkulit agak *ehem* kontroversial ini. Pertama,
dan ini pernyataan habis ikhlas daripada aku, aku langsung tidak mengenali
penulisnya. Aku tidak tahu latar-belakangnya, umurnya berapa, tinggalnya di
mana dan segala macam hal lagi yang berkaitan dengannya. Kedua, novel ini telah
terbit September yang lalu dan aku baru sahaja berpeluang untuk membacanya,
sudah tentulah sudah ramai pembaca tegar dan kipas-susah-mati Fixi uar-uarkan
dan mendiskusikan tentang novel ini; makanya aku tidak dapat mengelak daripada
sedikit-sebanyak sudah pun mempunyai sedikit prior knowledge tentang apa
yang aku patut jangkakan ketika membaca novel setebal 318 halaman ini.
SERONOK kisahnya ringan, namun
usah anggap ceritanya ‘seringan’ apa yang dipaparkan. Sebagai seorang pelajar
kesusasteraan, aku secara tidak langsung telah dilatih untuk melihat apa yang
terselindung di sebalik anekdot dan cynicism yang dipaparkan dalam novel
SERONOK ini. Bukan hendak memuji atau bersifat biased, tetapi jujur aku
katakan SERONOK adalah antara naskhah ‘ringan’ terbaik dari Fixi yang pernah
aku baca setakat ini. SERONOK sarat dengan dark humour dan tempelakan
masyarakat dan naskhah ini secara tidak langsung membuat kau berfikir tentang
tanggapan peribadi kau terhadap sesuatu isu dan tanggapan keseluruhan masyarakat
terhadap isu yang sama.
SERONOK dimulakan dengan memperkenalkan
pembaca dengan Amirul, seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Rozilla,
isteri kepada Bakar, seorang pelakon televisyen yang terkenal. Rozilla mengupah
Amirul untuk mengintip Bakar yang kononnya sedang main kayu tiga di belakang
Rozilla. Apa yang wanita itu tidak tahu adalah bahawa Amirul dan Bakar
sebenarnya punya lipatan sejarah yang tersendiri dan sebenarnya sudah pun saling
mengenali kerana mereka merupakan rakan sebilik ketika di universiti lagi, dan
sebenarnya mereka berdua bukan sekadar rakan sebilik malah lebih daripada itu.
Jengjengjeng…
Aku suka bagaimana penulis
menyuntik simbolisme melalui watak-watak yang dipaparkan dalam SERONOK. Bakar ini
disimbolkan sebagai epitome kepada bintang filem tanah air. Perilakunya saling
tidak tumpah seperti kebanyakan artis (artis?) tanah air yang sibuk mengejar
populariti tetapi pada masa yang sama hidup dalam kepura-puraan dan bagaikan
tidak mahu mengaku dan kononnya mahu hidup berlandaskan bagaikan norma orang
kebiasaan. Ini klise kehidupan. Amirul pula wataknya punya konflik diri,
konflik perasaan love-hate-relationship antara dirinya sendiri, antara
dirinya dengan sejarah Bakar yang terdahulu dan antara dirinya yang mahukan perubahan,
suatu anjakan paradigma yang amat-amat dia perlukan dalam hidupnya. Dia bagaikan
tersepit dalam bayang-bayangnya tersendiri. Dia antara mahu mengaku
seksualitinya bahawa dia seorang homoseks, ataupun menidakkan fakta itu dan
mencuba untuk berubah, ataupun terus-terusan menipu dirinya sendiri, ibunya,
masyarakat dan juga Tuhan. Rozilla pula dicerminkan sebagai seorang yang clueless,
habis bimbo namun percaya bahawa cinta itu wujud, maujud, dan apa yang perlu
hanyalah keilkhlasan dan ketegasan untuk cinta itu datang. Konflik segi tiga antara
Amirul-Rozilla-Bakar aku kira amat dinamik sekali, walaupun terkadang aku
rasakan ketiga-tiga watak ini dibina agak tipis.
Aku suka apabila penulis bijak
menggunakan referens kepada filem-filem tertentu dan lagu-lagu tertentu untuk
mengukuhkan latar dan konstruksi sesebuah babak. Itu bijak. Bagi aku, pembaca
yang ingin (atau sedang) membaca SERONOK harus bijak untuk bukan sahaja
menikmati jalan cerita yang terhidang, malah harus secara kritikal mengupas dan
meneliti setiap apa yang berlaku kerana teras utama cerita ini adalah
berlandaskan dark comedy (humor yang menjenakakan sesuatu hal yang
berat). Sebab itulah aku bilang naskhah ini adalah sebuah naskhah yang bagus.
Ada beberapa babak dalam SERONOK
yang mungkin pembaca akan anggap sebagai nonsense dan suatu lelucon biasa,
tetapi sebenarnya ia sedang memperihalkan sesuatu yang lebih berat dan serius. Aku
ambil contoh [SPOILER] babak paling akhir dalam SERONOK apabila Rozilla dan
Amirul bertemu di rumah Rozilla dan mereka mulai bergocoh: beradu
tumbuk-terajang sehingga berdarah-darah dan kedua-duanya terhumban ke atas meja
kaca hingga pecah berderai sebelum kedua-duanya ketawa berdekah-dekah dan
menganggap bahawa itulah ‘cinta definisi baru’ mereka. Babak ini bagaikan homaj
kepada satu babak bergocoh dalam filem ‘Mr. & Mrs. Smith’ lakonan Brad Pitt
dan Angelina Jolie. Pada hemat aku, babak krusial ini sebenarnya menunjukkan
bahawa pertembungan dua identiti yang berlainan fahaman (Amirul dan Rozilla)
ini merujuk kepada penerimaan antara satu sama lain akan kelebihan dan
kekurangan yang lagi satu dan kesediaan antara satu sama lain untuk forgive
and forget akan apa yang berlaku antara keduanya pada masa lampau. Nah,
tidak faham? Abaikan sahaja bebelan aku ini.
Antara babak lain yang mencuit
aku adalah babak di hadapan pintu bilik hotel Rahim (seorang lagi pelakon yang
ingin menyaingi Bakar untuk berebut jawatan presiden persatuan pelakon) apabila
Amirul dipertemukan semula dengan ‘orang minyak’ yang pernah datang menerjahnya
ketika dia di universiti dulu, bagaimana orang minyak itu berjaya membuat
Amirul percaya akan kewujudan magisnya yang mampu membantu dia untuk “masuk” ke
dalam bilik hotel Rahim dengan cara Amirul harus berbogel dan memeluk orang
minyak itu dan merempuh masuk ke dinding. Bagi aku ini tidak lain tetapi
merupakan suatu tempelakan bahawa masyarakat kita, 1) masih lagi percaya kepada
hal yang karut-marut dan tidak masuk akal, 2) sanggup memilih jalan mudah untuk
mendapatkan sesuatu, 3) percaya kepada ‘kekuasaan’ makhluk halus seperti orang
minyak (walaupun sudah berada di ambang 2014).
SERONOK juga mengetengahkan
isu-isu berat lain seperti ceteknya pengetahuan dan rasa kebertanggungjawaban
masyarakat untuk mengambil-tahu tentang (bukan sahaja kebajikan, malah)
psikologi, perasaan dan konflik yang dilalui oleh orang yang mengalami krisis
identiti dan kecenderungan seksual di luar tabii. Aku ambil contoh watak Pak
Halim, jiran kepada Amirul, ayah kepada Sazali, seorang lelaki yang kurius
ingin tahu tentang masalah dan permasalahan yang dialami oleh golongan
homoseksual (kerana dia dalam diam mencurigai seksualiti Sazali). Pak Halim ini
bagi aku simbolisme kepada masyarakat Malaysia secara amnya. Rata-rata mendabik
dada memberitahu dunia bahawa mereka ini seorang yang terbuka, tetapi berapa
ramai yang akan kekal terbuka apabila hal ini berlaku kepada diri anda sendiri?
Andaikan situasi yang terjadi kepada Pak Halim berlaku kepada anda, apakah anda
akan bertindak sedrastik dia, seterbuka dia, atau adakah anda akan mengambil
langkah yang sebaliknya? Itulah yang SERONOK ingin anda fikirkan.
Peleraian SERONOK [SPOILER] juga
aku kira sesuatu yang berat. Tidak ramai orang di luar sana yang tahu sengsara
dan aib yang harus disorok oleh mereka yang menghidap HIV, dan hal ini disentuh
dan dipaparkan dengan baik sekali dalam SERONOK. Sekali lagi naskhah ini
membuat aku berfikir jauh, mengenangkan pastinya ramai mereka di luar sana yang
sedang melalui hari-hari sengsara dalam senyap kerana khuatir diri mereka tidak
diterima oleh masyarakat. Aku sedar dan aku sendiri sedia maklum bahawa tahap
penerimaan dan kesediaan masyarakat kita terhadap golongan yang hidup dengan
HIV masih lagi di tahap yang rendah, dan kesedaran yang sewajarnya seharusnya
diberikan kepada masyarakat secara amnya dan secara totalnya.
SERONOK, suatu naskhah yang bukan
sekadar dibaca untuk seronok-seronok; tetapi sebenarnya mengajak pembaca untuk
berfikir di mana letaknya diri anda di koordinat masyarakat. Ini satu naskhah yang
bijak (aku tidak cukup untuk mengulang perkataan ini) dan seharusnya dibaca
oleh semua orang.
Ulasan