360: [siri ulasan buku] #36 - cerpen faizal sulaiman karya faizal sulaiman.

Faizal Sulaiman kembali lagi dengan percaturan kedua beliau selepas debut novel beliau, SUMBAT, laku keras di pasaran. Kali ini, beliau tampil dengan sejumlah koleksi cerpen (30 kesemuanya) yang dimuatkan dalam antologi yang berjudul ‘Cerpen Faizal Sulaiman’. Kekal dengan trademark koleksi antologi cerpen yang terdahulu, FIXI kali ini mengekalkan konsep kulit berwarna kelabu. Faizal Sulaiman seharusnya berasa bangga kerana kini nama beliau sebaris dengan penyumbang-penyumbang siri antologi cerpen yang terdahulu seperti Khairul Nizam Bakeri, Nadia Khan dan Shaz Johar. Hai, entah bilalah koleksi cerpen aku hendak cukup banyak seperti mereka ini agar dapat menerbitkan antologi cerpen sendiri pula… #berangan #optimis

Antologi yang memuatkan 30 buah cerpen yang menurut Faizal Sulaiman merupakan koleksi beliau sejak lima tahun yang lalu mempersembahkan rencah kisah yang pelbagai. Sukar untuk meletakkan satu label khusus yang dapat merangkumkan tema cerpen-cerpen yang termuat di dalam antologi ini, tetapi pada hemat aku, kebanyakannya cerpen yang terkandung di dalam koleksi berkulit secangkir latte ini banyak bertunjangkan kemanusiaan. Tiga cerpen terakhir yang termuat di dalam antologi ini pernah disiarkan di dalam antologi cerpen lain (KOPI, BOLA dan KLCC) iaitu Kopi Julia, Sesaat Ke Gawang dan Izzaq; makanya dalam ulasan kali ini aku tidak akan mengulang-ulas ketiga-tiga cerpen tersebut.

Nah, berikut merupakan ulasan serba ringkas terhadap setiap cerpen yang terkandung di dalam antologi Cerpen Faizal Sulaiman ini. Semoga ulasan ini sedikit-sebanyak membantu penggemar buku-buku FIXI di luar sana untuk menilai dan seterusnya mengangkat senaskhah antologi cerpen ini untuk dibaca dan dijadikan koleksi peribadi. Maaf kalau ulasan ini agak bersifat teknikal dan banyak memperkatakan tentang naratif, konstruksi cerita dan hal-hal teknikal dan bukannya berkisar kepada plot setiap cerpen semata-mata.

=)


1.      IRI
Aku agak bersetuju antologi setebal 279 halaman ini dibuka dengan cerpen yang berjudul ‘IRI’ ini. Bagi aku, ini adalah antara cerpen (walaupun pendek, hanya sepanjang 3 setengah halaman) namun naratif yang digarap cemerlang sekali. Faizal Sulaiman bijak bermain dengan psikologi pembaca dan membuat seolah-olah apa yang dilakukan oleh Azraq itu bukanlah suatu dosa, malah suatu kemestian untuk kelangsungan hidupnya demi meneruskan hidupnya yang berlandaskan iri. Nah, bebas spoiler bukan ulasan cerpen ini? Hahahaha…

2.      JANGAN JERUT
Judul cerpen ini agak misleading bagi aku. Sampai ke sudah aku tidak nampak celah manalah yang menidakkan perbuatan ‘menjerut’ itu sebenarnya berlaku. Entahlah. Apa-apa pun, sekali lagi Faizal Sulaiman bijak dengan percaturan naratif dari sisi yang amat-amat tidak disangka-sangkakan. Satu cerpen yang bagus, cuma bagi aku mungkin boleh diperpanjangkan lagi untuk membuatkan lebih banyak elaborasi dan ruang untuk watak-watak yang ada berkembang. Aku suka cerpen ini.

3.      KERANA DIA
Ini cerpen sentimental. Bagi mereka yang sudah selalu singgah ke blog Faizal Sulaiman pastinya sudah sedia maklum bahawa Faizal Sulaiman nyatanya handal menulis kisah-kisah kemanusiaan. Bagi aku, Faizal merupakan pemerhati sosio-psikologi manusia yang bagus. Beliau mampu melihat apa yang di sebalik seseorang manusia, dan sekali gus menerapkan apa yang beliau lihat ke dalam tulisannya. Jalan cerita cerpen ini agak mudah; dua orang kenalan bertukar-tukar pendapat tentang cinta dan hala tuju hidup masing-masing. Namun pengakhirannya bagi aku cukup manis, seperti latte di kulit hadapan buku ini.

4.      SULAI
Aku bertanyakan kepada Faizal Sulaiman, apakah maksud ‘Sulai’, dan beliau hanya tertawa dan minta aku baca hingga selesai cerpen ini untuk mengetahui jawapannya. Usai membaca cerpen ini, aku tidak boleh tidak daripada tersenyum sendirian. Cerpen ini boleh dikatakan suatu tribut kepada insan yang paling Faizal sayang dan hargai di dunia ini, iaitu ayahandanya. Indah. Aku suka cerpen ini.

5.      SOSOK DAN MAYAT
Abaikan nama watak yang berbaur klise dalam cerpen ini, abaikan juga naratif tergesa-gesa yang wujud dalam cerpen ini. Plot cerpen ini sudah bagus, tetapi entah di mana silapnya, selesai aku membaca, aku tersebut: “Eh, macam tu je habis?”

Banyak hal yang disebut dalam plot cerpen ini yang tidak dirungkaikan sehingga selesai, dibiarkan melenyap dan itu yang membuat aku sedikit terganggu sebenarnya. Cerpen ini boleh menjadi bagus, sayangnya ia bagaikan nasi goreng kurang garam, tidak begitu menyelerakan.

6.      JALAN AKHIR
Cerpen ini membuatkan aku terpaksa ulangbaca sebanyak dua kali. Bacaan pertama, aku tidak faham susun-atur kronologi plot yang dipersembahkan. Bacaan kedua, aku tandakan sebagai salah satu cerpen yang biasa-biasa sahaja. Sukar untuk meletakkan genre yang sesuai kepada cerpen ini. Psychological thriller bukan, horror-thriller pun bukan. Sekejap kau akan fikir ini kisah hantu, tetapi penyudahnya tidak pula seperti mana kisah hantu sepatutnya ditamatkan. Entahlah, aku keliru dengan cerpen ini. Terlalu banyak elemen yang disumbatkan (no pun intended) ke dalam cerpen ini.

7.      ISKANDAR, ISADORA
Membaca tajuknya sahaja telah membuatkan aku terus meletakkan mindset bahawa ini paling tidak pastinya kisah cinta ala-Romeo dan Juliet. Nyatanya sangkaanku jauh meleset. Penceritaannya bagus, tetapi pada hemat aku bagaikan ditulis hendak cepat siap. Plotnya sudah bagus, menggigit. Kisah lelaki psikotik yang payah hendak melepaskan rasa cintanya terhadap seseorang. Tetapi, seperti yang aku cakapkan tadi, kenapa ringkas sangat?

8.      RODA
Ini cerpen tipikal Faizal Sulaiman. Bagi aku, beliau ini seorang yang gemar menulis kisah asam-garam laki-bini barangkali (jangan marah ya, bang Pejal…). Naratif yang digunakan baik dan susunan plotnya kemas sekali. Benarlah kata-kata lapuk klise; “Karma is a bitch, but history has a way repeating itself.”

9.      ROMANTIKA BOULEVARD KE KOTA TIMUR
Masya-Allah… letih hendak menghabiskan pembacaan cerpen ini. Cerpen yang mengangkat tema cinta antara dua dunia ini bagus, cumanya pada hemat aku ia ditulis agak longgar dan tidak kemas, menyebabkan pembaca (hanya aku, barangkali?) menghadapi kesukaran untuk mengikut kronologi plot yang dipersembahkan. Kisah cinta Khusairi dan Liyana yang terpisah antara dua tahun dan latar tempat yang berbeza ini mengingatkan aku akan filem ‘The Lake House’ dan ‘You Got Mail’, cumanya ini versi Melayu.

10.  BELAKANG, NIAT, TUTUP
Ini satu lagi pada hemat aku cerpen yang tajuknya agak misleading, tetapi dalam hal yang baik. Aku suka langgam bahasa yang digunakan dalam cerpen ini, lain dari yang lain dan terkadang terasa bagaikan suatu satira tempelakan kepada masyarakat desa sebenarnya kalau diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam. Apa yang pasti, aku suka watak Deraman dalam cerpen ini. Dia kelakar!

11.  BALAS
Aku sudah pernah baca cerpen ini di blog peribadi Faizal Sulaiman sebelum ini, jadinya tiada sebarang kejutan atau pembaharuan dalam versi ini. Kisah lelaki kecewa yang hendak secara literalnya membalas dendam terhadap bekas kekasihnya yang datang beraya.

12.  ADHA
Cerpen ini juga pernah aku baca di blog Faizal Sulaiman (nampak tak yang sebenarnya aku ini seorang stalker yang comel?). Kisah kemanusiaan don’t judge a book by its cover yang pada hemat aku digarap cemerlang, cuma ceritanya biasa-biasa sahaja. Alah, biasalah typical mindset orang macam kita senang cerita.

13.  HULUBALANG
Nah, ini raja kepada segala raja tajuk cerpen misleading dalam antologi cerpen ini. Aku tahu Hulubalang ini merujuk kepada nama restoran yang dimiliki oleh Amir, Fir dan Zizul dalam cerpen ini, tetapi entahlah… aku masih rasa tajuknya macam tak kena dengan cerita. Oh, dan aku bagaikan dapat menghidu yang ini merupakan spin-off kepada novel SUMBAT, betul tak abam Pejal?

14.  PINTAS
Cerpen ini mengaplikasikan Hukum Senapang Chekov. Introduksi awal memperkenalkan pembaca kepada kotak permainan yang akhirnya akan digunakan untuk tujuan yang lebih gelap sebenarnya. Satu cerpen yang bagus.

15.  BIARKAN AWAN ITU BERWARNA MERAH JAMBU
Maaflah Faizal, ini merupakan cerpen yang paling aku tidak suka dalam antologi cerpen ini. Mungkin kerana nama-nama wataknya yang kelakar dan seperti tak kena tempat, mungkin kerana ia bergenre saifai (kan?), mungkin juga kerana ada elemen penipuan di penghujung cerita ini yang menyebabkan aku hendak tertawa dan mempunyai perasaan yang berbaur terhadap cerpen ini, sama ada aku hendak suka kerana Faizal Sulaiman berjaya ‘menipu’ aku yang comel ini, ataupun tidak menyukainya kerana berasa tertipu. Ahaks.

16.  JEFF
Aku tidak boleh tidak merasakan kemiripan cerpen ini dengan novel sulung aku, BISIK. Entahlah, mungkin sebab ada adegan yang melibatkan kucing, mungkin.

17.  TUMPANG
Ini antara cerpen yang paling pendek. Tidak puas baca. Banyak kisah tidak selesai. Kasut merah dalam cerpen ini mengingatkan aku akan lagu ‘Gypsy’ nyanyian Lady GaGa. Okay, aku melalut.

18.  KASIH SUCI
Cerpen ini kalau diperpanjangkan menjadi novella (atau novel) aku kira ada kebarangkalian aku akan beli (atau pinjam) dan baca. Plotnya bagus, cukup bagus sebenarnya untuk diangkat menjadi drama bersiri 20 episod di TV3. Eh, aku komplimen secara jujur, tahu? Oh, dan aku jujur kasihan terhadap Suci, betul-betul aku kasihan akan dia.

19.  UMPAN
Kisah anak ikan memerangkap rakan-rakannya yang lain yang mencuba untuk membuat onar. Menarik, tetapi terlalu ringkas. Oh, dan aku tertanya-tanya, apa benar kertas soalan peperiksaan universiti (atau kolej) disimpan di dalam bilik kebal yang sulit? One could only wonder…

20.  PELANGUI
Aku pernah ternampak tajuk cerpen ini di blog Faizal Sulaiman tetapi entah kenapa aku tidak terpanggil untuk membacanya ketika itu. Ketika aku terlihat yang cerpen ini termuat dalam antologi ini, terus sahaja aku meng-Google apalah yang dimaksudkan dengan ‘Pelangui’ namun aku menemui jalan buntu. Rupa-rupanya ia merupakan suatu mythical creature, suatu hantu yang mengganggu ibu yang sedang sarat mengandung. Pelangui ini lebih kurang macam Penanggal, betul tak Faizal Sulaiman?

21.  TIGA LELAKI DAN CANGKIR KOPI
Wah wah wah… tajuknya agak mirip dengan tajuk cerpen aku yang termuat dalam antologi KOPI. Nah, ini kisah cinta kontemporari yang aku suka. Plotnya simple tetapi penyudahnya sempurna sekali. Salah satu cerpen kegemaran aku. Cerpen ini sedikit-sebanyak mengingatkan aku akan drama ‘Kopi dan Dia’ yang pernah disiarkan di televisyen suatu ketika dahulu.

22.  SEKUFU
Sekufu kalau merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat merujuk kepada situasi sama taraf. Cerpen ini dibaca bagaikan separuh siap, macam minum teh tanpa seketul kiub gula. Kurang kick. Sayang sekali.

23.  NOIR
Noir menurut kamus Merriam-Webster bermaksud ‘crime fiction featuring hard-boiled cynical characters and bleak sleazy settings’ (fiksyen jenayah yang menampilkan watak sinikal dan latar yang tidak begitu jelas ß pandai-pandai je aku translate). Cerpen ini menggunakan teknik epistolary (yang tak tahu apakah teknik epistolary, sila Google sebab ini bukan kelas teknik naratif sastera, ya?).

Sebenarnya aku agar sangsi dengan judul cerpen ini. Apakah kerana nama watak cerpen ini Noir atau apakah Faizal Sulaiman ingin mempersembahkan sebuah kisah yang berlandaskan maksud ‘noir’ itu sendiri. Mungkin aku yang terlebih fikir sehingga membuat pelbagai andaian sebegini. Apa-apa pun, cerpen ini bagus, lain dari yang lain. Suatu percubaan berani yang berjaya buat Faizal Sulaiman.

24.  ADAM
Ini satu lagi cerpen tipikal Faizal Sulaiman. Nah, jelas seperti apa yang aku katakan, Faizal Sulaiman memang gemar menulis kisah kemanusiaan yang bertunjangkan elemen ukhwah kekeluargaan dan silaturahim antara anak-beranak dan ibu-bapa. Wah, Islamik pula komentar aku kali ini. =)

25.  SICK BAY
Cerpen ini mengingatkan aku akan cerpen Fatrim Syah yang termuat dalam antologi FOBIA terbitan BUKU ROMAN. Kemiripan jalan ceritanya wujud dalam satu ikatan benang yang samar-samar sahaja. Kisah hantu. Nah, itu sahaja ulasan aku tentang cerpen ini. Oh, bunyi cakar-cakar kaca itu seram ya? (Sebab aku ada pengalaman peribadi yang hampir serupa. #eh #asrama #uitmmerbok)

26.  LAKON LAYAR TERAKHIR (Bahagian 1 & 2)
Aku rangkumkan sekali dua cerpen ini kerana cerpen ini bersambung antara kedua-duanya sebenarnya, kiranya ala-ala sekuel gitu. Cerpen ini sebenarnya boleh jadi lebih bagus, tetapi entahlah… sebaik sahaja aku habis baca aku mengeluh kerana (walaupun ia sudah diceraikan kepada dua bahagian, aku masih lagi merasakan banyak hal yang dibiar tidak diceritakan dengan baik). Komposisi cerpen ini pada hemat aku sesuai kalau digarap dan dikembangkan untuk menjadi novella (atau novel?) agar watak-watak dalam cerpen ini dapat dikembangkan dengan lebih baik dan seterusnya disudahkan dengan lebih sempurna. Sayang sekali, ini antara cerpen yang berpotensi untuk menjadi cerpen kegemaran aku tetapi atas kekurangan ini menyebabkan aku rasa tidak puas hati. Faizal, do something! (Eh, tertinggi suara pulak. Maaf abam Pejal…)

Nah, ulasan pendek-pendek (pendek ke?) kesemua cerpen yang terkandung dalam antologi ini (kecuali tiga yang terakhir kerana pernah aku ulas dalam review sebelum ini). Apa yang pasti, apakah aku bakal menyogok kalian untuk pergi mendapatkan antologi ini?

Jawapannya semestinya ya, kalau anda penggemar dan pengikut tegar penulisan Faizal Sulaiman, dan kalau anda salah seorang pembaca tegar FIXI yang menyukai novel debut beliau, iaitu SUMBAT.

Ulasan