Ada kenalanku beritahu yang aku harus segera habiskan baca mana-mana novel Fixi yang terbaru kerana dia hanya akan beli dan hadam novel tersebut berdasarkan ulasan dan usulanku. Son Complex karya Kris Williamson merupakan novel berbahasa Inggeris pertama terbitan FIXI di bawah imprint FIXI NOVO, diterbitkan bulan lepas dan merupakan novel yang paling pantas aku habiskan (aku selesai baca kurang dari tempoh 48 jam) setakat ini untuk tahun 2013.
Membaca sinopsis yang ada di laman Facebook-nya benar-benar membuat aku tergiur untuk segera habiskan, tetapi usai aku khatam novel setebal 248 halaman itu, apa yang aku boleh simpulkan adalah ia merupakan satu karya yang biasa-biasa saja tentang pencarian, tentang identiti, tentang konflik diri yang watak utama itu cari sendiri, tetapi gagal untuk mencari sebarang solusi yang berketepatan dan memuaskan hati dirinya dan juga pembaca.
Aaron, seorang lelaki berbangsa Inggeris berusia 23 tahun dari Amerika, merantau beribu-ribu kilometer jauhnya dan datang ke Malaysia dalam usaha untuk menjejaki ayahnya setelah dia kematian ibunya, hanya berbekalkan beberapa pucuk surat obskur yang ditinggalkan oleh mendiang ibunya. Ia ditulis dalam perspektif Aaron, makanya pembaca dibawa bersama untuk sama-sama keliru di tengah-tengah kota yang amat asing buat Aaron, dalam usaha Aaron mencari sekelumit maklumat daripada keluarga dan individu yang dia fikir boleh membantunya menjejaki siapakah ayahnya yang sebenar.
Aku nyaris tertipu sebenarnya tatkala melihat kulit depan novel ini. Ada siluet seseorang yang memakai topi dan memegang helmet, dan serta-merta mindaku melompat dan separa berharap ada babak menaiki jet pejuang (terus terbayang Tom Cruise dalam filem Top Gun) namun harapanku meleset kerana siluet lelaki itu adalah si Aaron dalam cubaannya untuk menyelami hidup seorang mat rempit (walaupun dia tidaklah memandu, sekadar membonceng). Apa-apapun, Son Complex berjaya membenarkan pembaca (khususnya yang memangnya berasal dari sini) seolah-olah merasai apa yang dirasai oleh seseorang yang berada di luar ruang-lingkup selesanya.
Jurang bahasa adalah antara permainan utama yang diketengahkan. Bahasa Malaysia Aaron nyata amatlah minumum, makanya timbul pelbagai senario lucu yang kita sendiri ambil mudah seperti memesan makanan di warung dan memberikan lokasi kepada pemandu teksi, tetapi mungkin sekali boleh membikin seorang bangsa asing berpeluh dahi (dan ketiak) apabila dirinya disalahertikan.
Jujurnya tiada apa yang menarik sangat akan novel Son Complex ini (yang mana judulnya aku kira diadaptasi daripada sebuah kelab yang dimasuki oleh Aaron, yang pada hemat aku novel ini lebih cocok dijudulkan sebagai 'The Journey' ataupun 'Being Foreign' berbanding judulnya yang aku fikir bukanlah suatu representasi spesifik kepada perkisahan yang dipaparkan). Aaron mencari kebenaran tentang identiti ayah kandungnya di negara yang serba asing buatnya, dan dalam proses itu dia melalui pelbagai pengalaman yang mungkin menarik buatnya, tetapi tidaklah sedahsyat atau menarik mana bagi kebanyakan rakyat tempatan. Ada salah guna dadah, mat rempit, cebis-cebis informasi tentang kepentingan kuasa dan susun-atur politik tempatan, dan juga tempat-tempat makan sekitar Kuala Lumpur.
Aku kira perkaitan antara surat-surat peninggalan Nora (mendiang ibunya si Aaron itu) nyata tidak begitu kuat dan meyakinkan untuk dia datang dan terpanggil mencari ayah kandungnya. Ini adalah kerana walaupun aku sudah ulangbaca beberapa kali segmen surat-surat yang diutuskan itu, aku sepertinya tidak tergerak untuk kurius mahu tahu lebih lanjut. Semacam hampir tiada misteri yang wujud di situ. Aku agak kecewa di situ. Alangkah bagusnya kalau penulis merungkaikan misteri identiti sebenar (atau separa merungkaikannya) lewat surat-surat yang dibaca, didedahkan kepada para pembaca sepucuk demi sepucuk agar pembaca terus berteka-teki akan siapakah ayah kandung Aaron yang sebenarnya.
Ulasan