248: tangis.

Aneh. Padahal ini bukan pertama kali aku menghantar dia pulang ke negara permastautinannya. Tetapi hari itu, berdirinya aku di atas lantai lapangan terbang itu, melihat dia menyeret bagasi berodanya yang berona putih bersih (gila, tinggal di Pulau Pinang hanya untuk tiga hari tetapi dia bawa baju seperti mahu pindah negara) membuat hatiku meruntun hiba. Mataku bergenangan air gratis yang terbit secara biologi dari pelupuk.

Mungkin perpisahan kali ini buat selamanya. Itu sering berlegar di benakku. Ya, ajal sememangnya di tangan Tuhan. Mungkin hari ini aku masih bernafas, makanya aku mampu melihat, menyentuh, mengucup dan mengusap dia. Tetapi mungkin esok aku sudah tiada.

Aku tidak tunggu sehingga kapal terbangnya berlepas. Usai dia melepasi gate berlepas, aku cepat-cepat keluar dari terminal, menuju ke deretan teksi-teksi cekik darah. Aku jalan lagi. Sehinggalah langkahku secara automatis terhenti di satu pintu gelongsor automatik yang menghala ke perut terminal. Aku kenal tempat ini. 

Di situlah pertama kali aku dan dia berpelukan saat dia mahu berangkat ke selatan semenanjung untuk mengusahakan diplomanya. Maklumlah, pertama kali berpisah ketika itu. Tahun 2003, bulan lima, tarikhnya aku sudah lupa. Cuaca pada ketika itu cerah secerah-cerahnya sehingga amat menyilaukan mata kalau kau mendongak. Aku ingat hari itu kami sama-sama pakai baju kotak-kotak rona biru yang kami beli di KBJ dua-tiga hari sebelumnya. Aku ingat dia pakai minyak wangi Versace yang aku pilihkan untuk dia ketika kami jalan-jalan ke Feringghi sebulan sebelumnya. Aneh sekali aku tidak ingat perincian-perincian sebegitu sebelum ini, tetapi fragmen memori itu akan datang sendiri pada ketika yang paling tidak terduga.

Dan hari ini dia sekali lagi berpisah denganku. Dan aku menangis lagi. 

Ulasan