399: [siri ulasan buku] #45 - pentas karya anuar shah.

Novel PENTAS tulisan saudara Anuar Shah yang setebal 244 halaman ini boleh disifatkan sebagai sebuah naskah yang factual-driven dan bukannya sebuah naskah yang banyak digerakkan oleh plot ataupun penceritaan. Struktur naratif novel PENTAS dibahagikan kepada tiga (Pentas Satu, Dua, Tiga) dan setiap satu daripadanya mengupas isu dan permasalahan yang pada hemat saya agak terpisah, menjadikan pergerakan cerita agak mengelirukan pembaca. PENTAS sarat dengan penceritaan fakta, terlalu banyak sehinggakan ada beberapa ketika saya sendiri tidak pasti kenapa penulis memilih untuk menghuraikan secara agak terperinci tentang sesuatu sekuens yang terkadang dibaca langsung tidak ada kena-mengena dengan watak utama (yang saya anggap merupakan Harut si ahli silap mata yang muncul di awalan naskah ini).

PENTAS pada hemat saya terlalu ‘memberitahu’ dan bukannya ‘menceritakan’, suatu garisan halus di mana pada pendapat saya apabila sesebuah naskah itu terlalu memberitahu dan tidak mempersembahkan cerita, ia saling tidak tumpah bagaikan membaca sebuah buku bukan fiksyen. Secara amnya, bahagian Pentas Satu memperihalkan tentang Harut si ahli silap mata dan pada penghujungnya bagaimana dia (mungkin?) telah tersilap percaturan sehingga telah menyebabkan pembantunya yang bernama Zulaika telah lenyap secara tiba-tiba. Pentas Dua pula memfokuskan cerita pada Harun, seorang wartawan muda yang berminat ingin mengkaji dan menulis sebuah rencana tentang kes perbicaraan Harut dan Pentas Tiga menceritakan tentang sesi perbicaraan Harut dan Dato Mah Rut di mahkamah. Secara teorinya, ringkasan di atas paling tidak akan menghasilkan suatu penceritaan naratif yang menarik.

Namun begitu, bahagian-bahagian ini ditulis dan dipersembahkan sebegitu rupa sehinggakan ia dibaca bagaikan agak terpisah dan tiada korelasi antara satu sama lain. Paling jelas adalah pada bahagian Pentas Dua di mana saya sendiri kurang jelas kenapa perlu diceritakan secara terperinci bagaimana Harun bermula menjadi seorang wartawan, hubungkaitnya dengan Mak Su pemilik restoran yang terkena sihir buatan orang dan segala macam backstory tentang Harun yang pada hemat saya tidak menggerakkan pergerakan plot secara baik.

Tamat membaca PENTAS, saya tidak boleh tidak daripada mempersoalkan kenapa begitu banyak hal yang dibangkitkan dalam novel ini dibiarkan tidak berjawab. Apa yang jadi dengan Harun dan Mak Su? Apa yang sebenarnya terjadi dengan Zulaika? Siapa sebenarnya Zulaika itu? Apa yang akan berlaku ke atas warga Kota Mega Kuala Lumpur?

Watak Ustaz Rasyid Idris yang merupakan key benefactor dalam novel ini pula anehnya hanya diceritakan sepintas lalu, dan hanya muncul sebagai watak sampingan yang wujud dalam ketiga-tiga bahagian Pentas. Tanpa mendedahkan begitu banyak spoiler, saya sendiri berasa hairan kenapa watak Ustaz Rasyid Idris ini tidak diketengahkan, dan kenapa watak Harun si wartawan yang muncul sebagai peran utama di Pentas Dua itu pula diberikan keutamaan sedangkan peranannya pada pembacaan saya kecil benar dan ada di beberapa bahagian dalam novel ini langsung tidak bermotif.


Namun begitu, walaupun PENTAS sarat dengan pergerakan fakta dan disjointed narration, saya tidak nafikan bahawa ia merupakan suatu penambahbaikan daripada PINJAM iaitu karya penulis yang terdahulu. Bahasa yang digunakan (walaupun agak banyak menggunakan terminologi undang-undang) ringkas, mudah, tepat dan berketepatan. Isu yang diketengahkan agak berat kerana ia merupakan adukan fiksyen dan agama. Patutlah kenapa sebelum ini novel ini pernah menjadi buah mulut apabila terbitannya tiba-tiba tergendala seketika. Saya fikir mungkin penulisnya ingin membaiki pengakhirannya agar ia menjadi lebih relevan dan boleh diterima pembaca. Mungkinlah. Saya tidak tahu. Hanya penulisnya, editor dan penerbitnya sahaja yang tahu hal sebenar yang berlaku. PENTAS berjaya memancing pembaca untuk meneliti dan mencambahkan rasa intrig dan ingin tahu sehingga tamat pembacaan, namun penceritaannya yang tersangkut-sangkut sedikit-sebanyak telah menjejaskan keseluruhan naskah yang mempunyai potensi untuk menjadi lebih bagus ini.

Ulasan

Nazifa Sulaiman berkata…
assalammualaikum. macam mana awak buang widget popular post awak?